Geng Bas Sekolah

May 20, 2015

CABARAN MEDIA SOSIAL


BARU-BARU ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kerajaan tidak akan mengambil langkah menyekat laman media sosial seperti Facebook dan Google walaupun berdepan cabaran ledakan kandungan negatif di Internet. Sebaliknya menurut beliau, kementeriannya akan sentiasa memantau dan mengambil tindak­an terhadap penyebaran kandungan negatif.

Dalam era masyarakat yang sentiasa mengejar pembangunan untuk merealisasikan impian ke arah kehidupan lebih moden, Internet telah mencetuskan gelombang perubahan dalam proses sosialisasi dan kehidupan masyarakat. Perubah­an ini termasuklah perubahan terhadap gaya hidup berorientasikan teknologi dan kemajuan maklumat yang memberikan kesan dan menjadi cabaran terhadap pemikiran, ideologi dan budaya tanpa batasan sempadan serta kawalan.

Menurut laman web Internet Lives Stats, seramai tiga bilion atau 40 peratus daripada penduduk du­nia menggunakan Internet. Di Malaysia terdapat hampir 20 juta atau 67 peratus rakyat menggunakan Internet dan lebih daripada 15 juta orang akses kepada Facebook.

Media sosial dijadikan tempat berinteraksi, menyampaikan maklumat dan propaganda, ruangan iklan, mencari rakan lama, interaksi keluarga, bertukar pendapat serta sebagai wadah pembelajaran dan sumber rujukan yang interaktif dan kreatif.

Media sosial juga telah membuka dunia komunikasi dengan lebih luas tanpa sempadan dan kaedah ini menjimatkan waktu. Melalui Internet, apa sahaja yang diperlukan boleh diperoleh jawapan dengan mudah.

Justeru, dalam keghairahan masyarakat menggunakan media sosial sebagai keperluan hidup terdapat juga segelintir masyarakat menyalahgunakannya untuk kepentingan peribadi, merosakkan dan menjatuhkan individu lain, melakukan jenayah siber serta mempermainkan isu keselamatan rakyat dan negara. Perbuatan ini akan mendatangkan kesan negatif, menjejaskan integriti diri dan me­nyalahi undang undang.

Di samping itu, statistik kadar jenayah siber juga amat membimbangkan. Malah, seolah-olah memberi ancaman baharu kepada masyarakat.

Masyarakat harus berwaspada dengan jenayah siber yang semakin berleluasa ketika ini. Paling membimbangkan, isu jenayah siber te­lah mengheret pelbagai peringkat usia, termasuk kanak-kanak dan remaja ke kancah berkenaan sehingga boleh meruntuhkan integriti generasi muda jika tidak dikekang.

Kebanyakan pengguna Facebook di Malaysia berusia antara 25 hingga 34 tahun. Mereka sangat bebas terlibat dalam jenayah siber, termasuklah menyebar berita sama ada palsu atau pun yang tidak, judi siber, skim cepat kaya, pornografi dan penggodam yang kini semakin berleluasa.

Hakikatnya, tindakan sindiket penipuan siber khususnya dalam kalangan rakyat Afrika di negara ini menunjukkan peningkatan menggerunkan apabila jumlah kerugian yang direkodkan sepanjang tahun lepas mencecah nilai hampir satu bilion ringgit.

Mereka menipu mendapatkan keuntungan wang, menjadi kasanova mencari teman sembang yang akhirnya menjadi mangsa rogol pada hari pertama pertemuan atau pemindahan wang secara haram daripada akaun bank mangsa.

Modus operandi jenayah siber yang digunakan oleh warga Afrika sungguh mudah iaitu membuat laman web palsu, menjual aksesori telefon bimbit, kertas fotostat atau bank palsu.

Walaupun telah banyak didedahkan dalam media massa, masih ramai menjadi mangsa terutama dalam kalangan suri rumah di samping golongan profesional seper­ti pegawai tinggi, doktor dan pensyarah.

Yang lebih menyedihkan terdapat lambakan laporan tidak sahih dan khabar angin menerusi media baru berhubung dengan isu-isu kese­lamatan yang boleh menimbulkan kesan negatif seperti persepsi tidak baik serta mengganggu operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Sudah tentu, penyebaran maklumat palsu di laman sosial boleh menjejaskan imej negara dan rak­yat seharusnya membiarkan pihak berkuasa menjalankan tugas mereka. Selain itu, perkara itu sedikit sebanyak boleh menjejaskan ekonomi negara apabila pelancong dan pelabur asing tidak berani mengambil risiko apabila membaca pelbagai cerita sedemikian sedangkan hal berkenaan tidak benar sama sekali.

Walau bagaimanapun, pengguna media sosial juga perlu ingat bahawa mereka tidak kebal daripada tindaan undang-undang. Undang-undang jenayah memperuntukkan begitu banyak kesalahan yang mungkin boleh disabitkan di sesawang Internet tanpa disedari.

Media sosial mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat dan patut beroperasi mengikut undang-undang dan berlandaskan hak asasi individu.

Seseorang yang menyalahgunakan rangkaian media sosial atau media baharu seperti laman sesawang, WhatsApp, Twitter, portal, Facebook, blog, webtv, dan untuk menyebar berita palsu, lucah, meng­ancam keselamatan dengan niat menyinggung perasaan, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan jika didapati bersalah, boleh didenda RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Untuk membendung kegiatan penyalahgunaan media sosial, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada mana-mana pihak yang berhasrat melakukan perkara yang sama.

No comments: