Geng Bas Sekolah

May 25, 2015

IS - PERANG YANG TIADA KESUDAHAN


Sejak kebangkitan fenomena Arab spring, pelbagai masalah mula muncul di Timur Tengah. Bermula Tunisia, Mesir, Libya, Syria dan sekarang Yaman. Kejatuhan pemimpin negara berkenaan mengakibatkan kemunculan pelbagai kumpulan militan. Dan yang paling popular sekali adalah kumpulan Islamic State atau IS.

Pergolakan Syria telah melahirkan kumpulan IS. Sehinggalah IS meluaskan kuasa ke Iraq, barulah badan dunia mula memberikan perhatian terhadap ancamannya namun sudah terlambat. IS sudahpun mengukuhkan kuasa dan kedudukan.

Kumpulan militan Negara Islam (IS) dilaporkan sudah menawan sebahagian besar wilayah Syria, susulan kejayaannya menguasai sepenuhnya bandar purba Palmyra.

Kumpulan militan IS kini dilaporkan menguasai timur dan utara Syria, kawasan yang bukan merupakan lokasi utama penduduk seperti di Damsyik dan beberapa bandar utama lain yang kebanyakannya berada di bahagian barat negara ini iaitu berhampiran dengan sempadan Lebanon.

Pemerhati Hak Asasi Manusia bagi Syria, Rami Abdulrahman berkata, IS kini menguasai pangkalan tentera udara, penjara dan ibu pejabat unit risikan di bandar Palmyra, selepas melancarkan serangan besar-besar, semalam.

Kata Rami, berdasarkan maklumat sumber terdekat sekurang-kurangnya 100 askar kerajaan terkorban dalam pertempuran tersebut.

Namun, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada berlaku sebarang kemusnahan ke atas tinggalan sejarah di bandar itu. Rangkaian televisyen Syria lewat malam semalam melaporkan, pasukan keselamatan pro-kerajaan berjaya melarikan diri selepas berjaya mengeluarkan kebanyakan penduduk di bandar berkenaan.

Dalam kekalutan Syria berhadapan IS, Arab Saudi juga menerima nasib yang sama apabila IS sudah mula meletupkan sebuah masjid.

Kira-kira 30 orang maut dan 50 orang lagi cedera apabila seorang penyerang berani mati meletupkan diri di sebuah masjid di timur Arab Saudi ketika jemaah sedang solat Jumaat.

Laman web al-Jazeera melaporkan seorang saksi berkata, satu letupan besar berlaku di Masjid Imam Ali di sebuah kampung di wilayah Qatif ketika lebih 150 orang sedang bersolat.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri berkata, seorang individu meletupkan bom yang disembunyikan dibawah bajunya ketika solat Jumaat di masjid di Kuedih, Qatif tersebut.

Gambar disiarkan di media sosial didakwa kawasan kejadian berkenaan menunjukkan mayat-mayat bergelimpangan di lantai masjid dan kaca bertaburan di luar masjid berkenaan.

Seorang saksi, Kamal Jaafar Hassan berkata, mereka sedang bersolat apabila terdengar bunyi letupan yang kuat.

Arab Saudi, kelmarin mengesahkan serangan itu mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS), dalam apa yang disifatkan oleh Kementerian Dalam Negeri sebagai cubaan untuk mewujudkan perpecahan.

Ia merupakan serangan terburuk di negara ini pada tahun ini dan merupakan kali pertama kumpulan militan IS melancarkan serangan ke atas Arab Saudi.

“Namanya (penyerang) ialah Salih bin Abdulrahman Salih al-Ghishaami, seorang warga Arab Saudi,” kata Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan. Dia (Salih) dikehendaki oleh pasukan keselamatan kerana terlibat dalam sebuah pertubuhan pengganas dan menerima arahan daripada Daesh di luar negara,’’ merujuk kepada nama IS dalam bahasa Arab.

Kumpulan militan IS mengaku melakukan serangan itu di Masjid al-Qadeeh, ketika jemaah mengerjakan solat Jumaat di bandar Qatif, wilayah Timur Arab Saudi Jumaat lalu, tetapi ia mendedahkan nama penyerang itu sebagai Abu Amer al-Najdi.

“Pertubuhan itu dibongkar pada bulan lalu, dan setakat ini 26 anggotanya, kesemua warga Arab Saudi telah ditahan,” kata Kementerian Dalam Negeri dengan menyatakan bahawa jumlah mereka yang cedera dalam serangan itu meningkat daripada 81 kepada 101 orang.


Arab Saudi sekarang tengah berperang dengan Syiah Yaman. Bila IS serang negara mereka, askar Arab Saudi sudah kelam kabut. Arab Saudi lebih banyak bergantung kepada tentera upahan dan serangan udara. Baru ini sebuah lagi jet Arab Saudi ditembak. Tak tahulah berapa lama Arab Saudi boleh bertahan.

Iraq dilihat cuba menguasai semula wilayah yang diduduki oleh IS. Mesir menutup sempadan dan mengawal ketat sempadan mereka. Turki juga menutup sempadan dari pelarian Syria. Pakistan menolak pelawaan Arab Saudi dalam perang Yaman. Lagipun Pakistan berdepan serangan Al Qaeda membuatkan mereka lebih menumpukan perhatian menjaga keselamatan sendiri. Libya masih bergolak. Mungkin IS juga akan beralih kepada Libya sebab Libya tiada Kerajaan yang kuat. Qatar dan Kuwait masih berdiam diri, melihat perkembangan semasa dan memperkukuhkan sempadan masing masing.

Malaysia pun sekasrang sudah menjadi sasaran IS. Berpuluh pengikut IS berjaya ditangkap setakat ini. Tetapi tiada jaminan yang dibuat untuk mengelakkan serangan mengejut seperti yang berlaku di negara Timur Tengah sebab kawalan sempadan negara Malaysia sebenarnya amat lemah. Pendatang asing boleh masuk dengan mudah dan menjadikan keselamatan negara sekarang sebenarnya terancam.

No comments: