Geng Bas Sekolah

May 20, 2015

1MDB TIADA MASALAH TETAPI TETAP PERLU DISELAMATKAN ?


Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Kementerian Kewang­an boleh membuktikan bahawa langkah-langkah yang diambil untuk memulihkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh mencapai matlamatnya.

Perdana Menteri berkata, walaupun berdepan kritikan tentang isu itu, beliau yakin Kementerian Kewangan boleh bersama-sama memastikan kejayaan pelan pemulihan syarikat tersebut.

“Saya percaya langkah-langkah pemulihan boleh kita lakukan untuk kurangkan hutang 1MDB, inilah perkara yang sedang diusahakan pihak kerajaan,” katanya dalam perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Timbalan Menteri Kewang­an, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah.

Kementerian Kewangan sebagai pemegang saham tunggal 1MDB pada Mac lalu telah mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas bagi memastikan kejayaan pelaksanaan kajian strategik syarikat itu, selain menyediakan segala bantuan yang diperlukan untuk memastikan nilai maksimum dihasilkan.

Najib yang juga Menteri Kewang­an berkata, cerita-cerita negatif tentang 1MDB akan terjawab dalam sedikit masa lagi apabila Jabatan Audit Negara membentangkan laporan audit mereka kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Saya amat berharap supaya semua pihak tunggu laporan PAC," katanya.

Sementara itu, ketika mengulas tentang pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), Najib berkata, langkah atau dasar penambahbaikan yang diperkenalkan kerajaan perlu dikekalkan untuk menampakkan kesan baiknya.

“Kita mesti ada keyakinan dan keberanian. Walaupun dipukul ombak dan badai, kapal bahtera kita mesti belayar terus ke destinasi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata, pelaburan swasta suku pertama 2015 pada harga semasa meningkat sebanyak 13.6 peratus kepada RM51.5 bilion sementara jumlah pelaburan langsung asing (FDI) mencatat peningkatan aliran bersih sebanyak RM9.9 bilion.

“Prestasi ekonomi ini membuktikan keyakinan para pelabur yang semakin teguh di dalam ekonomi negara serta mencerminkan keberkesanan kerajaan dalam mengurus ekonomi dan kewangan negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan telah menerbitkan sukuk glo­bal bernilai AS$1.5 bilion (RM5.38 bilion) dan kejayaan itu menempa sejarah kerana buat kali pertama, sukuk berdaulat bertempoh matang 30 tahun diterbitkan.

Beliau berkata, transaksi sukuk global 2015 berjaya menarik minat pelabur dengan langganan melebihi AS$9 bilion (RM32.27 bilion) iaitu sukuk bertempoh matang 10 tahun melebihi langganan hampir tujuh kali manakala sukuk bertempoh matang 30 tahun melebihi langganan hampir enam kali.

“Kejayaan transaksi ini menunjukkan sentimen pelabur antarabangsa terhadap kredit Malaysia adalah amat teguh dan positif,” katanya.

No comments: