Geng Bas Sekolah

March 31, 2015

GAJI MINIMUM - ADAKAH SWASTA MAHU MEMBANTU RAKYAT ?


Pertubuhan Pri­­bumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa ke­rajaan me­ningkatkan kadar gaji minimum daripada RM900 kepada RM1,200 bagi membantu rakyat menghadapi kos kehidupan yang semakin meningkat.

“Rakyat bimbang dengan pe­laksanaan GST kerana mereka sedar bahawa gaji yang diperoleh kini adalah rendah dan tidak seimbang dengan kos hidup serta per­belanjaan harian. Sehubungan itu, Perkasa meng­gesa kerajaan untuk meneliti semula skim gaji minimum yang telah ditetapkan demi kebaikan rakyat dalam jangka panjang,” katanya dalam sidang akhbar berhubung GST di sini hari ini.

Ibrahim berkata, Malaysia merupakan negara ‘sweatshop’ iaitu hampir 80 peratus pekerja di negara ini mencari pendapatan bukan untuk kegunaan sendiri, tetapi lebih menyumbang kepada keuntungan tempat bekerja.

Jelasnya, apabila skim gaji mini­mum meningkat, keresahan rak­yat apabila situasi harga barangan naik turut dapat dikawal.

“Apabila harga barang naik, tapi gaji tak naik, macam mana nak seimbangkan perbelanjaan dan menanggung kos sara hidup, terutamanya di bandar. Jadi, bila harga barang naik, gaji pun perlu naik agar rakyat tidak rasa terbeban,” ujarnya.

Sementara itu, beliau menyatakan bahawa meningkatkan jumlah gaji minimum juga sebagai persediaan Malaysia untuk mencapai status negara maju menjelang 2020. - SUMBER

Soal gaji minimum sudah lama diperkatakan. Tidak lama dahulu, gaji minimum dinaikkan kepada RM900. Tetapi dengan kenaikan kos sara hidup, nilai RM900 itu sudah tidak dirasai lagi. Dan sekarang Perkasa mencadangkan gaji minimum dinaikkan kepada RM1200. Cadangan ini sebenarnya sudah lama dicadangkan oleh NGO dan Kesatuan Kerja lain tetapi ianya masih tiada lagi apa apa maklum balas.

Yang menjadi persoalan, jika Kerajaan bersetuju dengan saranan ini, apakah majikan swasta pula akan bersetuju dan mahu mematuhi had gaji RM1200 ini ? Pihak swasta seperti yang semua rakyat maklum, mereka sentiasa mahu menjimatkan kos. Ini kerana mereka berniaga, dan mahu untung.

Jika Kerajaan bertegas dengan gaji minimum baru ini, besar kemungkinan pihak swasta akan mengurangkan pekerja tempatan sebaliknya mengambil pekerja warga asing terutama warga asing tanpa izin. Jika ini berlaku, yang mendapat rugi adalah pekerja tempatan itu sendiri kerana kehilangan mata pencarian. Itu belum campur dengan majikan swasta yang berkemungkinan "gulung tikar" kerana tidak mampu menanggung kos yang tinggi berikutan gaji minimum yang baru ini.

Bukan hendak menafikan hak pekerja mendapat pembelaan yang lebih baik. Tetapi untuk meningkatkan jumlah gaji minimum, memerlukan lebih banyak penelitian dan kajian yang lebih mendalam. Jangan kerana mengejar sesuatu yang belum pasti, akhirnya pekerja tempatan sendiri yang akan rugi.

No comments: