Geng Bas Sekolah

February 23, 2015

SELAMATKAN HAK RAKYAT


Tapak-tapak perumahan awam sedia ada perlu digazetkan untuk kekal sebagai kawasan perumahan awam de­ngan tanggungjawab pembangunan semula hanya diberikan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi geran peruntukan daripada kerajaan.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, penglibatan pihak swasta dalam pemba­ngunan semula mesti hanya sebagai kontraktor dan bukannya sebagai pemaju bagi mengelakkan golongan berkenaan mengambil sebahagian tanah-tanah tersebut untuk keuntungan komersial.

Katanya, pembangunan komersial di atas tapak perumahan awam akan mengakibatkan penawaran perumahan awam di takuk yang lama, sedangkan permintaan untuk rumah-rumah perumahan awam sudah mencecah lebih 40,000 unit.

“Pembinaan perumahan awam ini tidak akan menguntungkan, oleh sebab itu, kerajaan perlu menyediakan geran khas kepada DBKL untuk membangunkan semula rumah-rumah perumahan awam ini dan menyewakannya semula kepada mereka yang berpendapatan rendah.

“Rumah-rumah perumahan awam ini tidak boleh dijual dan mesti dikhaskan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah di bandar raya Kuala Lumpur,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kata beliau, sekiranya pembangunan semula dilakukan terhadap perumahan awam sedia ada yang uzur, penambahan rumah-rumah perumahan awam dijangka melebihi 15,000 unit.

“Kalau PR1MA (Perbadanan PR1MA Malaysia) boleh diberi geran tahunan RM1.3 bilion untuk membina rumah mampu milik, mengapa tidak DBKL? Jika tugas ini diberi kepada pihak swasta, sudah tentu agak sukar kerana mereka terpaksa memikirkan keuntungan.

“Syarikat swasta perlu dihalang daripada mengambil tanah-tanah perumahan awam ini bagi tujuan komersial seperti mana yang berlaku ke atas Flat Perumahan Awam Jalan Pekeliling, sebanyak 12 blok perumahan awam dirobohkan bagi tujuan komersial namun sehingga kini selepas 13 tahun masih terbengkalai,” katanya.

Katanya, antara perumahan awam yang uzur dan dicadangkan untuk pembangunan semula adalah Flat Sri Selangor, Flat Sri Sarawak, Flat Hang Tuah, Flat Loke Yew, Flat Sri Melaka, Flat Sri Johor, Flat Sri Pulau Pinang dan Flat Sri Perlis.

1 comment:

Anonymous said...

Tinggi sungguh angan2 ko minta be end selamatkan HAK RAKYAT.