Khusus ditujukan kepada pesara kerajaan, sama ada bergelar atau tidak, ketika berada di atas puncak kuasa dahulu, apa yang kamu buat untuk menjaga kepentingan agama bangsa dan negara. Adakah kamu berkhidmat dengan penuh ikhlas? Atau.... Tuhan sahaja yang tahu.
Saya amat setuju dengan cadangan Perkasa, ‘25 Melayu berpengaruh ini (pesara kerajaan) atau menteri atau pemimpin parti, mengisytiharkan harta mereka. Sekadar bekerja dengan kerajaan, setinggi manapun jawatannya, malah jawatan menteri sekalipun, tidak akan menjadikan kita kaya-raya. Jika ada yang kaya-raya, bermakna adalah benda yang tidak kena. Kecualilah, asal-usul mereka memang kaya.
Ini tidak, kadangkala, bukan sahaja pesara kerajaan itu kaya, adik-beradik dan anak-beranaknya pun turut kaya. Dari mana mereka dapat duit?
Justeru, muhasabah diri. Fikirkan kembali. Bertaubatlah jika terlanjur. Mengapa hari ini, selepas pencen, kamu menjadi begitu lantang dan berani, tanpa terlebih dahulu membuat sedikit penelitian atau penyelidikan terhadap mereka yang bertungkus-lumus berjuang mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara, sama ada pihak berkuasa kerajaan mahupun NGO-NGO berkaitan?
Bukan bermakna di penghujung usia ini kita tidak bercakap langsung. Tetapi biarlah bertempat. Pastikan tindak-tanduk kita menguntungkan Islam.
Pernahkah terfikir, tatkala mata semakin kabur, kulitpun dah kendur, gigi mula berterabur, rambut banyak gugur, makanpun dah makan bubur, dan tidak lama masuk kubur, banyak persediaan perlu dilakukan menuju ke alam akhirat.
Maklum sahajalah, sudah menjadi lumrah, masa muda kita redah segala-galanya, tidak kira halal haram. Bila dah tua nanti barulah bertaubat. Sebab itu, ramai yang tidak berani pergi menunaikan haji waktu muda, kerana takut tidak boleh buat dosa lagi.
Maka ditunggu sampai ke tua, agar boleh cuci dosa sebelum mati. Moga-moga masuk syurga. Itu pun ramai yang tidak insaf lagi, pergi haji dan umrah berkali-kali, balik, masih gondol lagi. Ingat, tiada jaminan bahawa balik atau mati di Mekah boleh masuk syurga.
Jika itulah tandanya, paling ramai masuk syurga nanti, adalah orang Arab, sebab rumah mereka semuanya dekat dan mengadap Kaabah. Hari-hari boleh buat umrah dan setiap tahun boleh buat haji dan juga mati di sana.
Rugilah kita menjadi umat yang jauh dari Kaabah sebab tidak dapat mati di sana, berumrah dan berhaji. Jelasnya, jauh atau dekat kita dengan Kaabah, itu bukan penentu ke syurga. Hatta, jika tidak pernah sekalipun ke Mekah, ada jaminan syurga. Yang penting, kita beriman dan tidak, semasa hidup.
Hari ini, sepatutnya, kamu melakukan muhasabah diri. Campur tolak dosa dan pahala.
Pertama, bertaubatlah kepada Allah SWT, menyesali segala dosa yang dilakukan selama ini. Qada semula solat telah kami pernah ditinggalkan. Dekatilah masjid dan surau.
Kedua, jika masih belum menutup aurat, pergilah kedai-kedai tudung (kopiah). Carilah yang bersesuaian untuk menutup kulit dan rambut yang semakin dimamah usia.
Jika tidak percaya kepada aurat (rambut) bagi yang wanita, mungkin jawapan agamawan sudah dijangkakan. Apa kata pergilah bertanya kepada artis-artis yang telah berhijrah. Tanyalah mereka kenapa bertudung?
Jangan jadi seperti orang kampung. Apabila makcik-makcik ditanya kenapa masih tidak pakai tudung, maka jawapannya, “makcik dah tua, pakai tudung buat apa, siapa yang nak pun” Tidak mengapalah makcik kampung. Tetapi kamu orang bijak pandai. Malangnya kepandaian kamu masih belum dapat menyedarkan kamu.
Ketiga, luang masa untuk mentelaah al-Quran, Hadis dan kitab-kitab muktabar. Jika bacaan al-Quran masih gagap dan tidak betul, pergilah belajar.
Saya amat bimbang dengan perkumpulan wanita yang mendakwa dirinya Islam, tetapi jahil dalam memahami al-Quran. Mereka bercakap banyak tentang Islam, tetapi membaca al-Quran sekadar terjemahan. Sudahlah begitu, mengaku pula diri pandai. Bukan apa, takut sesat jadinya.
Keempat, jika ada anak dan cucu, jagalah mereka dengan baik. Pastikan mereka membesar dengan iman dan Islam, berindentitikan Melayu, jika itulah bangsanya.
Saya amat bimbang generasi hari ini, lahir dari ibu bapa Melayu,tok nenek semua Melayu, tetapi sikap, perangai, tingkah laku langsung tidak serupa Melayu. Mereka kelihatan lebih barat dari barat. Maklumlah pernah jadi duta luar negara atau belajar di sana.
Kelima, Jika ditakdirkan, khidmat kamu diperlukan selepas pencen, maka kamupun dilantik memegang jawatan ini dan itu, sama ada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, itu bukan kerana kamu terlalu bagus, sehingga menjadi kamu berlagak dan kondem orang lain.
Itu tandanya Allah masih beri kamu peluang. Maka gunakan peluang tersebut untuk menebus dosa-dosa yang lalu. Manfaatkan jawatan untuk agama, bangsa dan negara.
Keenam, jika kamu ada mengambil duit rakyat atau duit haram semasa memegang jawatan, banyakkanlah bersedekah sebelum Allah cabut nyawa kamu.
Jangan pandai menuding jari, orang itu ekstrim dan orang ini ekstrim. Sendiri mahu ingat. Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga. - SUMBER
No comments:
Post a Comment