Geng Bas Sekolah

November 11, 2014

BURU PENDATANG SAMPAI MATI


Siasatan awal Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapati kebanjiran pendatang asing di Cameron Highlands, Pahang berpunca daripada pembabitan sin­diket ejen pekerja asing.

Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, agensi-agensi di bawah kementeriannya akan meng­gerakkan jentera penguatkuasaan bagi menjejaki ejen pekerja asing berkenaan.

“Sekarang pasukan kita sedang mencari ejen-ejen itu kerana kita tidak mahu pemerdagangan manusia berlaku di negara ini.

“Sesetengah ejen terlibat bukan saja menipu pekerja, malah mengambil keuntungan yang ba­nyak untuk digunakan bagi kerja-kerja yang tidak mendapat keizi­nan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Baru-baru ini Utusan Malaysia mendedahkan kira-kira 30,000 warga asing dengan 80 peratus adalah warga Bangladesh yang tidak mempunyai permit terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk membuka kedai runcit dan memiliki kebun sayur.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga meminta Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan peman­tauan setiap masa bukan sahaja di kawasan berkenaan tetapi beberapa lo­kasi lain yang menjadi tempat pengumpulan pekerja asing tamat tempoh.

Katanya, jika ejen berkenaan didapati terbabit membawa pekerja itu secara haram, tindakan segera kepada mereka perlu dilakukan termasuk pendakwaan di mahkamah.

“Saya tidak akan berkompromi jika ada unsur-unsur dalaman be­kerjasama dengan ejen-ejen ber­ke­naan apatah lagi jika ada dokumen yang dikeluarkan untuk pekerja tanpa izin itu.

“Kita lihat kepentingan negara hendaklah diutamakan ter­utamanya apabila sesuatu kawasan itu tidak mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri ataupun pihak Pejabat Tanah Daerah untuk aktiviti perladangan,” katanya. - SUMBER

No comments: