Menonton berita televisyen dua hari lalu, lima laporan utama adalah berhubung situasi huru-hara politik, perkauman dan keagamaan di beberapa negara di Asia, Eropah dan Asia Barat.
Thailand, kerajaan terpaksa melanjutkan tempoh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi membendung puak pembangkang yang mahu mengguling kerajaan secara kekerasan dan mengancam proses pilihan raya umum yang akan diadakan Februari depan.
Minggu lalu, beberapa bom diletupkan di kawasan tumpuan ramai di Danok, selatan Thailand. Di Kiev, Ukraine, ribuan demonstran menutup jalan dan mengganggu perkhidmatan awam untuk memaksa kerajaan mengikut desakan dan tuntutan mereka.
Di Iraq, perbalahan puak Syiah dan Sunni berterusan. Sepanjang tahun ini, lebih 8,000 terbunuh dalam pertempuran antara penganut dua aliran ini. Di Mesir, Ikhwanul Muslimin dilabel kumpulan pengganas ekoran insiden pengeboman yang membunuh orang ramai dan mengakibatkan kerosakan awam.
Apa yang berlaku di negara berkenaan boleh menjadi realiti di Malaysia. Di negara kita, ada puak yang mahu mengguling kerajaan dengan menganjurkan himpunan haram Selasa ini, menyambung huru-hara dan protes gerakan reformasi 14 hingga 15 tahun lalu dan demonstrasi jalanan yang berlaku pada 2008 hingga 2012.
Di Iraq, perbalahan puak Syiah dan Sunni berterusan. Sepanjang tahun ini, lebih 8,000 terbunuh dalam pertempuran antara penganut dua aliran ini. Di Mesir, Ikhwanul Muslimin dilabel kumpulan pengganas ekoran insiden pengeboman yang membunuh orang ramai dan mengakibatkan kerosakan awam.
Apa yang berlaku di negara berkenaan boleh menjadi realiti di Malaysia. Di negara kita, ada puak yang mahu mengguling kerajaan dengan menganjurkan himpunan haram Selasa ini, menyambung huru-hara dan protes gerakan reformasi 14 hingga 15 tahun lalu dan demonstrasi jalanan yang berlaku pada 2008 hingga 2012.
Ancaman pelampau politik, puak militan dan golongan ekstremis agama yang taksub semakin serius sehingga mendorong penilaian semula perlunya ISA dihidupkan kembali. Ramai bersetuju keselamatan, kestabilan dan keamanan di negara ini sudah dikompromi berikutan pembubaran ISA tahun lalu.
Pasti ada yang tidak bersetuju dengan premis ini. Namun, ini tidak mengalih hakikat bahawa ramai percaya indeks jenayah yang menaik, bertambahnya insiden penghinaan agama dan institusi Raja-Raja Melayu, kurangnya hormat kepada institusi kehakiman dan polis, wujudnya penunjuk perasaan yang semakin liar serta lunturnya perasaan selamat dan damai dalam kalangan majoriti rakyat ada kena mengena dengan ketiadaan ISA.
Malah, tidak kurang yang ‘merindui’ keamanan dan kestabilan pada waktu pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyumbang kepada kemakmuran ekonomi rakyat dan pembangunan negara.
Keberkesanan ISA sejak kewujudannya lebih 50 tahun lalu sebagai mekanisme pencegahan kepada anasir yang boleh menggugat keselamatan awam tidak dinafikan. Ia berjaya membendung kegiatan komunis, anarkis, pelampau agama dan politik serta puak militan. Antara 1960 dan 1969, seramai 1,119 orang ditahan di bawah ISA kerana bergiat dalam Parti Komunis Malaya (PKM).
Antara 1970 dan 1979, seramai 1,713 penyokong PKM ditahan. Pada 1978, 22 aktivis Parti Buruh ditahan di bawah ISA kerana kegiatan sama. Sepanjang 30 tahun antara 1980 dan 2010, ISA digunakan hanya beberapa kali, termasuk Operasi Lalang pada pertengahan 1980-an, penahanan 10 aktivis reformasi pada 2001 dan beberapa ahli Kumpulan Militan Mujahidin (KMM).
Dalam memelihara kepentingan awam dan negara, tiga faktor yang dipertimbang ialah pertama, perlunya dipelihara dan dipertahan kemerdekaan, kedaulatan dan keutuhan wilayah negara bangsa Malaysia. Kedua, perlu dipelihara cara hidup rakyat majmuk dan demokratik. Ketiga, dipelihara dan dipertahan keselamatan perekonomian negara. Jika tiga faktor ini boleh diterima, mudahlah bagi kita untuk memahami keperluan ISA bagi rakyat dan negara kita.
Penentang ISA memberi pelbagai alasan, termasuk unsur penyalahgunaan kuasa oleh Menteri Dalam Negeri dan bahawa ia tidak konsisten dengan konsep keadilan dan hak asasi manusia. Penentangan ini dibuat oleh parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis yang berkepentingan.
Untuk mencapai matlamat, mereka sanggup menggadai kedamaian dan perpaduan kaum. Mereka tidak peduli jika rakyat berkelahi atau berbunuhan sesama sendiri dan ekonomi negara porak-peranda, asalkan agenda mereka tercapai.
Negara maju kekal undang-undang
Tidak masuk akal huru-hara, kemusnahan atau kematian dibiarkan berlaku terlebih dulu sebelum tindakan diambil. Kerosakan atau kemudaratan, jika diketahui atau ada bukti akan berlaku, mesti dicegah. Keperluan ISA bukan menghukum, tetapi pencegahan untuk memelihara keselamatan dan kepentingan 28 juta rakyat yang ingin hidup aman tanpa perlu berasa takut.
Atas dasar sama, negara maju seperti Amerika Syarikat dan Singapura masih mengekalkan undang-undang ISA untuk memberi jaminan keselamatan dan kestabilan kepada rakyat mereka.
Prof Hugh Hickling, pakar undang-undang yang terbabit merangka undang-undang ISA berkata, ia masih relevan kerana potensi berlakunya huru-hara perkauman di Malaysia.
Hari ini, rakyat Malaysia yang mahu hidup aman, damai dan bersatu padu dalam sistem demokrasi yang memberi keutamaan kepada suara majoriti, bukan saja memerlukan, malah menuntut ketegasan kerajaan untuk menyedia dan memastikan suasana selamat dan stabil daripada ancaman, ugutan dan keganasan dengan mengembalikan undang-undang ISA. - Berita Harian
No comments:
Post a Comment