Geng Bas Sekolah

December 16, 2013

PKR BUKAN PARTI LINDUNGI ISLAM DAN ORANG MELAYU


KUALA LUMPUR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan sebuah parti untuk Melayu berpayung kerana kepemimpinannya sanggup mempertaruhkan apa sahaja demi kuasa politik meskipun kedaulatan bangsa menjadi gadaian.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi berkata, kegagalan parti itu mempertahankan martabat Melayu ketika pembangkang memerintah Perak menjadi penyebab beliau meninggalkan PKR.

"Bagaimana saya nak terus bersama parti yang sanggup menggadaikan apa sahaja demi kuasa politik. PKR bukan sahaja tunduk kepada Pas pada ketika itu (selepas 2008) tetapi lebih mendukacitakan turut jadi tunggangan DAP.

"Jadi siapa sebenarnya kotor? Parti yang sanggup menggadaikan maruah Melayu semata-mata demi kuasa atau kami? Keputusan kami adalah disebabkan prinsip demi bangsa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli seperti dipetik dari portal Malaysia Today antara lain menyebut, pemimpin yang meninggalkan parti itu dan kemudian menyertai parti lawan umpama kekotoran yang tidak ubah seperti najis.

Rafizi menyebut, Thank you for sucking away our dirt yang dipercayai ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak susulan tindakan pemimpin PKR, khususnya di Sabah yang mengumumkan keluar daripada parti itu.

Dalam pada itu, Jamaluddin mendakwa, tuduhan pimpinan PKR kononnya beliau bertindak keluar parti dan memilih menjadi wakil rakyat Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hanyalah bagi menutup kelemahan parti yang 'membusuk'.

"Mereka tidak mahu mengaku yang PKR sanggup menggadaikan apa sahaja demi politik sebaliknya menuduh saya dan seorang lagi bekas wakil rakyat PKR, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu dibeli UMNO. Inilah wajah sebenar PKR," katanya.

No comments: