Geng Bas Sekolah

December 20, 2013

KENAIKAN TOL JEJAS PENYOKONG PEMBANGKANG

Cadangan kenaikan kadar tol yang dikemukakan oleh kerajaan wajar dikaji semula secara menyeluruh memandangkan kesannya amat besar kepada masyarakat bandar.

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, rakyat kini amat terbeban dengan sebarang kenaikan khususnya mereka yang terpaksa menggunakan laluan bertol.

Dalam konteks tol, menurut beliau, secara spesifik Barisan Nasional (BN) telah menjanjikan kepada rakyat di bawah tajuk ‘Pembangunan Infrastruktur Bertaraf Dunia dan Pembangunan Luar Bandar’ untuk mengurangkan bayaran tol antara bandar secara berperingkat.

“Saya menaruh keyakinan tinggi bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melihat perkara ini dengan lebih komprehensif, apabila beliau mengumumkan ‘kos sara hidup’ sebagai agenda utama Akujanji, perkara itu pasti diberi perhatian oleh kerajaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Reezal Merican menyeru Kementerian Kerja Raya supaya membuat kajian lebih holistik sebelum menandatangani konsesi tol baharu dengan mengambil kira kadar keuntungan bersesuaian kepada syarikat konsesi berkaitan.

“Antara lebuh raya baharu ini adalah Lebuhraya Damansara-Shah Alam (Dash), Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke), Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) dan Lebuhraya Sungai Dua-Juru.

“Kesemua lebuh raya baharu ini mempunyai implikasi kewangan ‘harian’ kepada pengguna bandar, baik di Lembah Klang mahupun di Pulau Pinang," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, kerajaan seharusnya mendengar suara dan keluhan rakyat berbanding mengikut kemahuan dan kehendak pemegang konsesi yang hanya memikirkan keuntungan pemegang saham semata-mata.

“Kerajaan sebagai pemegang saham dalam syarikat konsesi itu juga perlu menggunakan budi bicara demi kebajikan majoriti rakyat yang telah menyokong Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd. Nor pula berkata, kerajaan seharusnya mengambil langkah tegas dan cepat untuk memperbetulkan orientasi dalam kalangan pembuat dasar supaya tidak mengambil jalan mudah menaikkan kadar tol dan perkhidmatan lain sehingga membebankan rakyat.

“Transformasi kerajaan bercirikan negara maju seharusnya lebih efisien dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Jadi, janganlah mengambil jalan mudah sehingga rakyat yang terpaksa menanggung beban," tegasnya.

Mengulas isu sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman meminta kerajaan meneliti semula manifesto PRU-13 lalu yang menjanjikan kesungguhan untuk menyediakan keperluan asas dan perkhidmatan pada harga berpatutan.

Beliau berharap Kerajaan Persekutuan akan melihat setiap intipati manifesto berkenaan yang memfokuskan untuk menangani peningkatan kos sara hidup.

“Intipati utama pada PRU-13 lalu ialah mengurangkan kos sara hidup rakyat tetapi jika kerajaan menaikkan juga harga barang keperluan asas serta perkhidmatan, pastinya akan membebankan rakyat.

“Kalau kita naikkan kadar takrif elektrik, bercadang naikkan tol, bercadang naikkan tambang teksi, itu semua tidak selari dengan janji kita yang ingin mengurangkan kos sara hidup," katanya ketika ditemui selepas Program Bantuan Pakaian Seragam Sekolah anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di Nibong Tebal, hari ini.

1 comment:

Anonymous said...

Selalu orang silap, bukan kerajaan nak naikkan tol tetapi pihak konsesi yang nak naikkan tol dan kerajaan tak lagi mampu nak bayar pampasan percuma pada pengendali-pengendali tol. Untung mereka dapat tapi masih mahu menekan rakyat.