Geng Bas Sekolah

November 4, 2013

KDN GEMPUR PENGAWAL ASING


Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta kesemua 751 syarikat kawalan keselamatan yang berdaftar supaya tampil membuat pengesahan segera tentang status pekerja mereka.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya syarikat-syarikat berkenaan gagal berbuat demikian, kerajaan boleh bertindak membatalkan lesen mereka.

"Saya minta arahan ini dipatuhi demi memastikan segalanya berjalan lancar. Kerajaan harus bertindak kerana rakyat berasa risau apabila isu pengawal keselamatan asing timbul.

"Jika kerajaan batalkan pendaftaran, sudah pasti pelbagai implikasi besar timbul kerana ada syarikat yang mempunyai bilangan pekerja yang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program My12 dan My18 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Exco Jawatankuasa, Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zin dan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Jariah Mohd. Said.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata, ketika ini kerajaan hanya membenarkan bekas tentera dari Nepal yang berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di negara ini dan pekerja dari negara lain masih tidak dibenarkan berbuat demikian.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Ops ID yang dilancarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sejak 29 Oktober lalu dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diperluaskan ke seluruh negara bagi mencapai matlamatnya.

"Ops ID akan dilaksanakan sehingga kerajaan berpuas hati dan setakat ini pemeriksaan telah dijalankan di Putrajaya, Cyberjaya, Selangor, Kuala Lumpur dan juga Negeri Sembilan.

"Dalam operasi berkenaan, sebanyak 282 orang pengawal keselamatan asing telah diperiksa dan dua orang telah dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhi hukuman atas kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu dan sebuah syarikat keselamatan telah dibatalkan pendaftarannya," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kes pengawal keselamatan asing yang menembak mati seorang eksekutif bank di Subang Jaya, Ahmad Zahid berkata, polis masih meneruskan usaha memburu suspek.

"Kita percaya penjenayah terbabit masih berada dalam negara dan tidak akan terlepas," katanya.

1 comment:

Anonymous said...

Persoalannya kenapa perlu terhantok baru terngadah ?

Tak ke dgn kehadiran terlalu ramai pengawal keselamatan 'asing' ini membuatkan pihak PDRM dapat 'hidu' masalah yg mungkin timbul ?

Kenapa ada pengawal keselamatan yg boleh pegang senjata ?

Banyak persoalan yg timbul tapi takkan dgn sekian ramai pakar yg menasihati kabinet tak dapat 'hidu' perkara ini ?