Orang Melayu Akan Jadi Hamba Pada Kaum Pendatang |
SAYA tertarik dengan isu 'Rumah Oh Rumah' yang diketengahkan dalam ruangan Awang Selamat, Mingguan Malaysia kelmarin. Saya setuju dengan maklumat serta kenyataan yang diberikan oleh Awang Selamat dan Ahli Parlimen Titiwangsa. Malah, dalam pengetahuan saya, isu ini sudah banyak kali dibawa oleh pelbagai pemimpin setempat serta Pemuda UMNO Malaysia semasa Perhimpunan Agung UMNO yang lalu.
Namun, sehingga saat ini, 'isu kekurangan rumah kos rendah' serta program 'menghalau' warga kurang kemampuan keluar dari kawasan bandar senyap begitu sahaja selepas beberapa hari ia diketengahkan.
Saya amat-amat berharap kali ini isu kekurangan rumah kos rendah hendaklah diperjuangkan sehingga berjaya. Syabas kepada Ahli Parlimen Titiwangsa kerana berani membawa semula perkara ini dan syukur kepada Allah SWT kerana Utusan Malaysia masih tidak putus-putus memperjuangkan harapan rakyat miskin bandar dan kurang kemampuan untuk terus bernafas di Lembah Klang.
Masalah kekurangan rumah kos rendah dan rumah kos sederhana rendah sudah semakin ketara dan amat-amat kritikal di Kuala Lumpur, Petaling Jaya mahupun di Subang Jaya dan sekitar Ampang. Namun, masalah ini seperti 'ditutup sebelah mata' oleh pegawai-pegawai atasan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahupun di Majlis Perbandaran sekitar Lembah Klang.
Di sebaliknya, pembinaan rumah-rumah bertaraf separuh mewah dan mewah tumbuh bagai cendawan di sekitar Lembah Klang 'tanpa keraguan dan tanpa kelewatan kelulusan'.
Aduan demi aduan, cadangan demi cadangan telah diketengahkan oleh pelbagai pihak yang memahami masalah kekurangan rumah kos rendah dan sederhana rendah, namun ia tidak diendahkan oleh pihak yang berwajib.
Bagi kontraktor-kontraktor yang bercadang melaksanakan projek-projek mewah seperti kondominium dan setaraf dengannya sahaja yang nampaknya dilayan oleh pihak tersebut kerana ia boleh mendatangkan keuntungan kepada pihaknya. Bukan kita menuduh tetapi ini yang berlaku.
Inilah yang berlaku dalam 10 tahun kebelakangan ini, dan langsung tidak diambil peduli oleh DBKL dan Majlis-Majlis Perbandaran.
Dalam kalangan rakan saya yang berniaga serta mereka yang mengusahakan syarikat pembinaan dan memerlukan kelulusan daripada pihak DBKL 'terutamanya', sering meluahkan kekecewaan kelewatan kelulusan dan menceritakan bahawa hampir sebahagian besar kakitangan DBKL mengamalkan pengambilan wang 'TOL'.
Namun, yang saya pelik, sehingga kini masih tidak ada tindakan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuat siasatan. Ini bukan perkara baru, malah sudah sedekad dan kini masih berlaku.
Lihat kawasan Bandar Sri Permaisuri dan sekitarnya. Sebelum ini kawasan rumah itu milik tanah DBKL, namun setelah dibincang secara usahasama syarikat swasta untuk membangunkan kawasan tersebut, hanya 4 blok yang dipersetujui oleh DBKL untuk dibina rumah kos rendah dan 2 blok untuk rumah kos sederhana sahaja. Selebihnya dibina rumah-rumah yang hanya mampu dibeli oleh orang kaya dan yang mempunyai pendapatan tinggi sahaja.
Apakah ini masih tidak dapat dilihat oleh pihak DBKL bahawa 'rancangan' ini adalah untuk menghalau orang Melayu amnya, serta orang kurang kemampuan untuk keluar dari Kuala Lumpur? Bagaimana tanah yang asalnya milik DBKL kini telah dimiliki oleh orang yang berkemampuan sahaja.
Kita boleh buat bancian di antara penduduk rumah kos rendah dan sederhana rendah berbanding dengan rumah-rumah kos sederhana tinggi dan kos tinggi di kawasan tersebut, mana yang lebih banyak?
Rumah-rumah kos rendah dan sederhana rendah umpama ditempatkan dalam kawasan seperti ikan di dalam tin-tin sardin yang mana amat padat penduduknya dan ruang yang dibina pula amat sempit dan terhad. Inilah yang diterima oleh rakyat yang kurang kemampuan dan miskin yang selama ini tidak putus-putus menyokong kerajaan namun suara mereka ini semakin tidak kedengaran akibat dihantar di kawasan-kawasan pinggiran bandar.
Lihat apa sudah jadi kepada kawasan Parlimen Seputeh, pada suatu masa dahulu jumlah orang Melayu seimbang dengan bilangan bukan Melayu. Namun kini, orang Melayu tidak sampai 10 peratus (%) sahaja jika dibandingkan dengan orang Cina dan bukan Melayu lain.
Apakah kerajaan serta pihak DBKL tidak nampak perubahan ini? Ke manakah orang Melayu ditempatkan? Jawapannya, semuanya dihantar ke pinggir-pinggir bandar raya Kuala Lumpur.
Kenapa jadi begini? Ini adalah kerana terlalu banyak sangat pembinaan rumah bertaraf mewah dan berharga amat tinggi yang tidak mampu dibeli dan dimiliki oleh orang Melayu yang berpendapatan rendah.
Akhirnya, kaum Cina yang kaya raya serta yang berkemampuan tinggi yang menguasai kawasan tersebut.
Kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat Barisan Nasional di sekitar Lembah Klang, tolonglah berjuang untuk kami yang kurang kemampuan dan ingin membina kehidupan di kawasan bandar raya juga. - Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment