Geng Bas Sekolah

July 3, 2013

UMNO PERLU PEMIMPIN MUDA, BUKANNYA PUNAI-SIHAT


HAMPIR dua bulan Pilihan Raya Umum Ke-13 berlalu. Dalam beberapa hari lagi akan muncul pula Pilihan Raya Kecil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut di Terengganu berikutan kematian penyandangnya dari Barisan Nasional (BN), Dr. A. Rahman Mokhtar baru-baru ini.

Keputusan PRU-13 telah menunjukkan petanda kebangkitan pengaruh jentera propaganda pakatan pembangkang. Jika tidak dilawan maka jentera propaganda BN akan ketinggalan. Sebaliknya pengundi akan lebih menerima dakyah, fitnah dan cerita rekaan yang dibawa oleh pakatan pembangkang.

BN nampak tewas dalam persaingan menentang media sosial propembangkang yang kebanyakannya menyebar fitnah. Persepsi rakyat terhadap keburukan kerajaan dan pemimpin BN makin hari makin kukuh kerana maklumat yang betul dan penjelasan isu-isu daripada media perdana prokerajaan tidak sampai kepada sasaran.

Peranan menepis dan menyanggah itu patut dipikul oleh beribu-ribu anggota penerangan UMNO di seluruh negara.

Di sebelah Semenanjung Tanah Melayu ini, parti komponen BN banyak bergantung kepada kekuatan UMNO. Hilang pengaruh UMNO, bahayalah kedudukan parti BN lain.

UMNO kena perbetulkan senario ini demi memastikan ia kembali menjadi parti yang berpengaruh dan kuat.

Biarlah UMNO tidak pandai membuat fitnah dan bercakap bohong seperti diamalkan pihak pembangkang tetapi penjelasan tentang sesuatu isu perlu meyakinkan rakyat.

Politik adalah sejauh mana ahli politik mampu meyakinkan rakyat terhadap kenyataannya.

Kini fikiran rakyat terhadap politik sudah berbeza. Rakyat sekarang melihat sesuatu isu dari sudut logik, dan bukannya retorik. Lihat bagaimana retoriknya Anwar Ibrahim bila berceramah tetapi retoriknya itu disokong dengan fakta oleh penyokong-penyokong kuatnya termasuk media sosial.

Malangnya BN atau UMNO kurang memberi penjelasan sebenar dan meyakinkan. Jawapan setiap tuduhan yang dilontarkan kepada BN dibalas dengan kurang jelas.

Ini cabaran paling besar kepada pasukan Penerangan UMNO yang ada beberapa kerat sahaja di Bangunan UMNO, PWTC.

Kalau UMNO sudah membuat bedah siasat punca kekalahan 33 kerusi Parlimen dan 98 kerusi Dewan Undangan Negeri, mereka mungkin tahu di mana perlu dibaiki.

Jangan salahkan pengundi sahaja jika mereka gagal diyakinkan untuk menyokong BN.

Petugas bahagian penerangan UMNO dan BN perlu pandai berkomunikasi dan memperjelaskan kepada rakyat supaya mereka dapat bezakan retorik yang diputar-belitkan oleh pembangkang dengan kebenaran.

Kerja parti politik ialah memberi penerangan, jawapan dan penjelasan yang benar, ikhlas dan meyakinkan.

Sebagai sebuah parti yang besar, peranan Penerangan UMNO bukan sekadar memberi maklumat dan penerangan kepada ahli, sebaliknya menjalankan kerja-kerja propaganda untuk parti. Itu tugas hakikinya.

Dengan jumlah staf yang ada sekarang, rasanya belum mencukupi.

Kata seorang strategis yang ditemui, Ketua Penerangan UMNO perlu seorang yang menjalankan tugas sepenuh masa dan tidak terlibat dalam Kabinet.

Dalam masa yang mencabar ini, pemimpin yang duduk di kerusi Ketua Penerangan UMNO perlu serius untuk menggerakkan strategi berkesan bagi mengatasi segala kelemahan dalam PRU-13.


Sebab itu UMNO perlu ramai pakar strategis dan risikan. Begitu juga dalam kalangan pensyarah universiti, beri mereka peluang yang sepatutnya. Ada ramai tenaga bidang strategik yang boleh dicari oleh UMNO.

Politik juga umpama perang yang memerlukan buah fikiran banyak pihak untuk merancang strategi dan menawan sesebuah kawasan. Jadi cari dan gunakalah mereka sekarang.

UMNO tahu pihak pembangkang mempunyai cyber trooper yang cukup teratur. Bukan semua mereka itu cerdik. Tetapi gerak kerja mereka tersusun dan strategik.

UMNO boleh juga melakukan ini dengan melantik anak-anak muda yang sedia membantu Penerangan UMNO. Ada yang pernah berkhidmat.

Tapi sumbangan tidak dihargai. Berilah pengiktirafan kepada mereka.

Dalam PRK Kuala Besut nanti, gunakan betul-betul mereka itu dan jangan syok sendiri sahaja kerana terlalu yakin boleh menang lagi.

Kalau perlu, guna sepenuhnya 20,000 pegawai penerangan UMNO di peringkat cawangan, 18,000 ketua penerangan Wanita, 15,000 ketua penerangan Pemuda dan 7,000 pegawai penerangan Puteri UMNO.

Kesemua mereka boleh digerakkan dengan lebih agresif dan dibekalkan dengan maklumat benar sebagai menangkis isu-isu yang berlaku di peringkat akar umbi.

Ingatlah, UMNO tak boleh guna cara lama lagi. Gunalah strategi baru. Propaganda pun kena kuat dan meyakinkan.

No comments: