Geng Bas Sekolah

July 31, 2013

HALANG PENYEBARAN FILEM KOMUNIS


HARI ini semakin jelas kesan sistem pendidikan kita yang ada sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular terutama aliran sekolah Cina.

Semakin hari jurang perpaduan kian besar jaraknya. Salah pemimpin Melayu kita juga yang terlampau bertolak ansur.

Penerbitan filem The New Village adalah hasil didikan sekolah aliran Cina yang semangat kebangsaannya boleh dipertikaikan.

Anasir dan fahaman songsang boleh membiak di sana kerana dunia pendidikannya yang berbeza dan terlampau mengagungkan bangsa sendiri.

Sejarah dan kedaulatan Semenanjung Tanah Melayu ini dinilai ikut selera sendiri.

Keadaan ini sudah berlangsung 56 tahun. Bukan mudah untuk membersihkan minda dan fahaman mereka terhadap sejarah perjuangan pemimpin Melayu dan Bumiputera lain serta beberapa pemimpin kaum Cina dan India dalam menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Ini salah orang Melayu juga. Kerajaan pimpinan orang Melayu kita terlampau teruja dengan pembangunan material dan infrastruktur serta terlalu melayan permintaan kaum Cina sedangkan sumbangan kaum itu untuk menghormati Perlembagaan dan kedaulatan negara ini dilihat semakin menipis.

Banyak contoh sudah ada di depan mata. Terbaharu filem The New Village arahan Wong Kew-Lit yang cuba merakamkan sejarah kampung baharu Cina di negara ini. Tetapi timbul kontroversinya, bagaimana filem yang cuba memaparkan perjuangan komunis secara tersirat itu dibenarkan untuk ditayangkan pada 22 Ogos ini.

Inilah filem pertama orang Cina Malaysia yang berusaha mengangkat kaum Cina yang menjadi tentera komunis di Tanah Melayu pada zaman darurat.

Apabila ada pemimpin Melayu sendiri mendakwa Melayu komunis juga pejuang kemerdekaan, jadi itu satu tiket untuk pembikinan filem komunis dari sudut kaum Cina pula.

Apatah lagi pengaruh kaum Cina dalam politik parti pembangkang semakin kuat. Jadi ada individu bereksperimen cuba menukar sejarah Malaysia dan mahu mengikis bukti-bukti perjuangan orang Melayu sebagai pribumi di negara ini dalam menuntut kemerdekaan.

Banyak komen dan suara bantahan orang Melayu terhadap kelulusan tayangan filem itu. Filem Tanda Putra arahan Shuhaimi Baba tentang peristiwa 13 Mei sampai sekarang masih belum ditayangkan setelah tiga kali ditangguhkan, tiba-tiba Astro Shaw menerbitkan filem propaganda komunis sebagai pejuang kemerdekaan bakal ditayangkan Ogos depan.

Memang isu ini menimbulkan kemarahan orang Melayu - kalau filem Melayu tentang 13 Mei tak boleh disiarkan, kenapa senyap-senyap filem tentang komunis dan Kampung Baharu Cina pula mendapat kelulusan untuk ditayangkan.

Mereka boleh berkata filem The New Village khusus untuk tontonan kaum Cina sahaja, Melayu dan kaum lain tidak perlu sibuk-sibuk menontonnya kerana ia dibuat dalam bahasa Cina.

Jika demikian, filem Tanda Putra pun patut dikhaskan untuk orang Melayu sahaja, penonton Cina tidak perlu menyibuk. Tetapi sehingga ke hari ini filem Tanda Putra tidak dapat ditayangkan adalah kerana campur tangan orang Cina terutama pemimpin Cina daripada DAP.

Filem Tanda Putera dianggap rasis walaupun ceritanya berdasarkan fakta sejarah rusuhan kaum dalam Peristiwa 13 Mei 1969.

Bagaimana dengan filem The New Village tentang kaum Cina dan gerakan pengganas komunis pada zaman darurat, adakah ia tidak dianggap filem rasis kerana hanya menonjolkan Cina sebagai pejuang kemerdekaan?

Jika dilayan kehendak penerbit The New Village, ia boleh menjadi sebuah filem yang bakal merosakkan fakta sejarah. Pembikin filem ini sepatutnya perlu tahu apa yang Parti Komunis Malaya (PKM) telah lakukan ke atas penduduk Tanah Melayu dari tahun 1948 hingga 1989.

Matlamat perjuangan PKM ialah menyebarkan ideologi komunis, membentuk negara komunis di Tanah Melayu dan menjaga kepentingan kaum Cina.

Hakikatnya pembikinan filem The New Village ini cuba menulis semula fakta sejarah mengikut acuan dan kepentingan mereka semata-mata. Lebih baik ia dibekukan.

Hanya satu yang kita harapkan - jika Kementerian Dalam Negeri boleh menguatkuasakan undang-undang anti-Syiah maka perkara sama wajar diteruskan terhadap gerakan menyebarkan dakyah komunis melalui filem di negara ini.

No comments: