Geng Bas Sekolah

June 10, 2013

MCA, Gerakan Perlu UBAH


ADA sesuatu yang boleh dipelajari daripada pemimpin Barisan Nasional (BN) terdahulu. Ada dua kaedah yang Allahyarham Tun Razak dan Tun Dr. Ismail gunakan selepas BN hilang undi popular dan hampir hilang 2/3 pada pilihan raya 1969. Pertama, menggunakan strategi undang-undang untuk menyahpolitikkan (purposive depoliticisation) unsur dan perkara-perkara tertentu termasuk cauvinisme dan ekstremisme kaum daripada terus menghancurkan kestabilan politik negara. Tun Dr. Ismail telah diamanahkan untuk tugas ini sebagai Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Perdana Menteri ketika itu. Beliau telah menjalankan tugasnya dengan berani, tanpa apologetik dan tegas.

Keduanya ialah, strategi politik dan dasar awam. Allahyarham Tun Razak pula menumpukan kepada dimensi ini dengan mengukuhkan struktur politik dan dasar kerajaan. Dari sinilah kemudiannya lahir BN dan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Sementara itu, Tan Sri Ghazali Shafie sebagai Menteri tugas-tugas Khas dan kemudiannya Menteri Penerangan telah ditugaskan menggubal Rukunegara, Dasar Perpaduan Nasional dan Program Muhibbah bagi memupuk perpaduan rakyat selepas ketegangan kaum akibat keputusan pilihan raya yang memecahbelahkan rakyat dan peristiwa rusuhan kaum 13 Mei.

Tentunya tidak semua yang dilakukan dahulu sesuai untuk dilakukan sekarang oleh kerajaan BN hari ini. Namun, tentu ada sesuatu yang boleh diambil iktibar daripada apa yang dilakukan dahulu untuk dimanfaatkan dalam situasi hari ini.

Bagi memulihkan kekuatan BN, kekuatan MCA dan Gerakan perlu dipulihkan segera. Kedudukan MIC semakin bertambah baik dan dengan penyertaan tokoh Hindraf dalam kerajaan, sokongan masyarakat India kepada BN masih boleh dipertahankan.

Namun Gerakan mungkin perlu memikirkan untuk terlebih dahulu bergabung dengan PPP daripada meminta BN menjadi sebuah parti tunggal berbilang kaum. Berdasarkan lanskap politik dan percaturan politik semasa, adalah amat sukar untuk melihat UMNO dibubarkan bagi membolehkan BN menjadi sebuah parti tunggal.

Ahli UMNO dan majoriti orang Melayu yang menyokong UMNO masih belum bersedia ke arah itu.

Bagi MCA dan Gerakan mereka perlu sedar bahawa sememangnya dalam kerangka politik consociationalism atau demokrasi permuafakatan seperti mana yang dibahaskan oleh sarjana politik seperti Arend Lipjhart, van den Berghe dan juga Donald Horowitz, mereka akan terus menghadapi kesukaran jika sekiranya mereka gagal menghadapi politik cauvinisme dan ekstrimisme DAP yang terus-terusan memainkan sentimen perkauman bagi menarik masyarakat Cina kepada DAP.

Sebagai parti politik yang membawa perjuangan berasaskan kesederhanaan, toleransi dan akomodasi elit pelbagai kaum dalam satu kerangka grand coalition seperti mana konsep BN, MCA dan Gerakan harus menghadapi DAP secara lebih berani lagi.

Lee San Choon, Tan Koon Swan, Ling Liong Sik, Lee Kim Sai dan Lim Ah Lek termasuk Tan Siew Sin, Lim Chong Eu dan Lim Kheng Yaik sebagai pemimpin-pemimpin penting MCA dan Gerakan di masa lalu sanggup berhadapan dengan Lim Kit Siang, Chen Man Hing dan Karpal Singh secara bersemuka. Malah Samy Vellu tidak pernah gentar terhadap Karpal Singh dan P.Patto dari DAP di dalam dan di luar Parlimen.

Presiden MCA Lee San Choon sanggup berhadapan dengan Chen Man Hing mantan Pengerusi DAP di Parlimen Seremban dalam PRU 1982 dan menang semata-mata bagi membuktikan kepada masyarakat Cina bahawa MCA lebih berwibawa bagi mewakili masyarakat Cina dalam politik.

Lim Chong Eu sanggup menghadapi Kit Siang di Pulau Pinang demi menyekat Kit Siang dan DAP menjayakan Projek Tanjungnya merampas Pulau Pinang daripada Gerakan. Namun dalam PRU-13 lalu seorang Menteri Besar UMNO harus berkorban bagi menyekat DAP daripada menawan kubu MCA dan BN di Johor.

Nama Abdul Ghani Othman akan terus terpahat sebagai wira UMNO yang rela berkorban demi mempertahankan kubu MCA dan BN daripada diporak-perandakan oleh cauvinisme dan ekstremisme kaum yng dibawa oleh DAP.

Namun, Presiden MCA dan Gerakan pula nampaknya hanya berani memilih untuk tidak bertanding dalam PRU-13 bagi menghadapi Kit Siang dan anaknya Guan Eng. Salahkah kalau ada pihak yang mentafsirkan tindakan mereka berdua ini sebagai menandakan bahawa, Presiden MCA dan Presiden Gerakan sebetulnya telah memberikan kemenangan secara walk-over kepada DAP dalam PRU-13 yang lalu apabila memilih untuk tidak bertanding?

Hakikatnya - MCA, Gerakan dan MIC semakin ketandusan pemimpin-pemimpin berkaliber bagi menyekat kemaraan tokoh-tokoh muda berwibawa dari DAP. Inilah perkara yang harus diperbetulkan segera oleh MCA dan Gerakan. Masalah sebenar kedua-dua parti itu ialah masalah kepimpinannya yang amat lemah. Masyarakat Cina hari ini langsung tidak menghormati kepimpinan politik dalam MCA dan Gerakan.

Justeru, kalau kepimpinan MCA dan Gerakan sudah tidak dihormati lagi oleh sebahagian besar komuniti yang cuba diwakili mereka, bagaimanakah parti mereka akan disokong oleh komuniti tersebut.

Apatah lagi bila berdepan dengan DAP dalam isu-isu yang menyentuh kaum Cina, MCA dan Gerakan langsung tidak berdaya menghadapi hujah-hujah DAP dengan meyakinkan.

MCA dan Gerakan juga gagal mempertahankan dasar-dasar kerajaan BN yang seimbang dan adil untuk semua kaum di Malaysia. Sebaliknya semacam terpaksa akur pula dengan tohmahan-tohmahan DAP bahawa BN tidak berlaku adil terhadap masyarakat Cina di Malaysia.

Selagi MCA dan Gerakan terus gagal menyekat DAP dan berani menghadapi DAP secara tegas dan yakin khususnya dalam mempertahankan dasar-dasar BN serta tampil dengan agenda dan program-program menarik untuk masyarakat Cina, selagi itulah mereka sukar mendapatkan kembali keyakinan dan sokongan masyarakat Cina kepada BN.

Justeru, apakah masa depan politik Malaysia seterusnya? Perkauman sebagai perkara paling asas dalam politik Malaysia nampaknya masih kekal relevan walaupun setelah lebih lima dekad negara merdeka dan 50 tahun Malaysia dibentuk pada tahun ini.

Demikianlah ciri dan legasi politik Malaysia yang telah ditinggalkan oleh British untuk diurus-tadbir oleh generasi pasca merdeka hari ini. Mengurus-tadbir politik perkauman di Malaysia menjadi semakin mencabar apabila sistem pendidikan negara yang sepatutnya bertindak menyatupadukan rakyat berbilang kaum di Malaysia, menjadi salah satu punca yang semakin memecahbelahkan mereka.

No comments: