Geng Bas Sekolah

March 25, 2013

DS Najib Sentiasa Bersama Belia


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini meluangkan masa bersantai bersama golongan belia menyaksikan konsert sempena Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia Pandan 2013 yang dihadiri kira-kira 30,000 orang.

Diadakan di pekarangan Tesco Ampang dekat sini, fiesta anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan, Persatuan Belia dan Beliawanis Pandan, Tesco serta Astro itu bertujuan menarik minat belia bersama merealisasikan dasar-dasar negara selain mengurangkan jurang antara golongan berkenaan dengan pemimpin.

Fiesta yang bermula semalam itu antara lain menyelitkan beberapa program menarik seperti jelajah berbasikal, pertandingan tulisan khat dan pertandingan paintball.

Acara malam ini turut menyaksikan Najib bersama barisan artis menyanyikan beberapa buah lagu antaranya Terima Kasih, Barisan Kita dan 1M4U.

Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Cempaka, Datuk Mad Aris Mad Yusuf.

Antara barisan artis yang menjayakan konsert itu ialah Awie, Datuk D. J. Dave, Datuk Hattan, Black, dan Jay Jay.

Dalam ucapan ringkasnya, Najib melahirkan rasa terharu dengan semangat setia dan cintakan negara yang ditunjukkan rakyat serta belia khususnya menerusi konsert itu yang diadakan bertujuan menghargai jasa anggota keselamatan dalam mempertahan kedaulatan negara.

"Saya juga terharu kerana konsert ini mendapat sambutan luar biasa," jelasnya yang turut berpesan supaya rakyat mengekalkan kerajaan sedia ada.

No comments: