Geng Bas Sekolah

February 4, 2013

Belia IM4U Tolak Keganasan PR


Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Program Transformasi Sosial yang sedang dilaksanakan kerajaan adalah berasaskan penglibatan konstruktif anak muda dalam proses pembinaan negara bangsa, berpandukan sistem nilai, budaya dan sikap masyarakat yang kukuh.

Menurut Perdana Menteri, program keempat dan terakhir dalam agenda transformasi kerajaan itu amat penting bagi Malaysia menuju status negara maju.

Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana kebanyakan golongan muda tempatan mempunyai sikap tanggungjawab yang tinggi dan sering menjauhi perkara-perkara merosakkan asas kejayaan negara seperti menyertai demonstrasi jalanan serta melanggar undang-undang.

Perkara tersebut penting kerana, ujar beliau, kejayaan sesebuah negara bangsa yang maju, tidak hanya diukur daripada sudut material seperti bilangan bangunan pencakar langit atau kemajuan teknologi semata-mata.

Oleh yang demikian, Najib menyeru golongan muda supaya lebih banyak melibatkan diri dalam hal-hal sukarelawan seperti menyertai program-program yang dianjurkan kerajaan.

"Saya yakin anak muda di Malaysia boleh kita harapkan dan orang-orang muda akan bersama kita, sebab mereka sudah yakin apabila kita kata I am for you (iM4U), kerajaan kita adalah untuk anak muda Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan ribuan masyarakat setempat semasa berucap melancarkan program My Beautiful Malaysia di Taman Medan di sini hari ini.


Pelancaran My Beautiful Malaysia turut diadakan serentak di 390 lokasi seluruh negara melibatkan kira-kira 1.1 juta peserta dan hadirin.

Hadir sama dalam program itu ialah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa.

Dalam pada itu, Najib mengumumkan sebuah stesen radio baharu yang dinamakan Radio iM4U akan diwujudkan tidak lama lagi bertujuan mendekatkan golongan belia dengan kerajaan.

No comments: