Geng Bas Sekolah

February 2, 2013

Masa Untuk Tolak PAS Sampai Jatuh Tergolek


Inilah masa terbaik untuk rakyat menolak Pas dan parti-parti pembangkang lain selepas melihat apa yang sekarang jelas menunjukkan parti pembangkang bukannya lebih baik daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat yang menyokong Pas selama ini perlu sedar bahawa parti itu tidak boleh diharapkan untuk membantu mereka kerana Pas tidak mempunyai pendirian dan menggunakan agama untuk kepentingan politik.

Katanya, banyak tindak-tanduk dan fatwa yang dikeluarkan oleh Pas dibuat berdasarkan pertimbangan politik dan berubah-ubah mengikut keadaan termasuk dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain.

"Apa yang berlaku kepada bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dan bekas Naib Presidennya, Datuk Dr. Hasan Ali dan pemimpin-pemimpin Pas yang juga lain perlu dijadikan iktibar.

"Begitu juga dengan apa yang berlaku ke atas bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim dan ramai pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang telah meninggalkan parti perlu dijadikan iktibar oleh rakyat," katanya yang juga Menteri Pertahanan.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata, tindakan Pas memecat Nasharudin dari Majlis Syura Ulama dan Hasan dari parti itu menunjukkan parti tersebut sebenarnya yang tidak membenarkan perbezaan pendapat walaupun sering menuduh UMNO dan BN bersikap demikian.

"Selama ini, Pas menuduh UMNO dan BN tidak boleh menerima teguran dan tidak membenarkan ahli parti bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan atau orang lain untuk membuat kebajikan dan program kemanusiaan.

"Namun, jelas daripada apa yang dilakukan oleh Pas kepada Nasharudin dan Hasan serta ramai pemimpin Pas yang lain memperlihatkan parti itu seperti menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya memberikan sokongan padu kepada BN terutama dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti bagi menjayakan agenda menjadikan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi pada 2020.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah banyak melakukan program transformasi untuk mensejahterakan kehidupan rakyat. Oleh itu, kita perlu menyokong kepimpinan Najib dan parti yang diterajui beliau," katanya.

No comments: