Geng Bas Sekolah

December 11, 2012

Suara Hati Tan Sri Aziz Tapa


TAN Sri Aziz Tapa orang Melaka. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pun dari Melaka. Dan belum pun apa-apa keluar dari mulut saya untuk menyapa komen orang lama berusia 89 tahun ini, beliau sudah cukup maklum tentang apa isunya. Tindakan Guan Eng menyindir perwakilan UMNO yang menangis semasa Perhimpunan Agung UMNO 2012 minggu lepas, begitu 'menyentap' jantung Aziz.

Isu 'menangis' yang dibangkitkan Guan Eng semasa berucap dalam Konvensyen Tahunan DAP di Pulau Pinang beberapa hari lalu, menaikkan lagi 'suhu' amarah Aziz.

Apabila anak Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang 'lari' dari Melaka untuk bertanding di Pulau Pinang pada 2008 itu menyatakan dia (Guan Eng) tidak faham mengapa perwakilan UMNO menangis 'sedangkan mereka bukan dalam kalangan orang susah', Aziz lantas melontarkan 'buah tangannya' terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Dari corong telefon pejabat di Kuala Lumpur ketika beliau dihubungi kelmarin, saya mendengar suara Aziz masih segar seperti dulu, dan beliau berkata: "Dia (Guan Eng) sindir maknanya (konon) UMNO ini tak ada benda. Dia sindir seolah-olah orang Melayu ini nak dengar begitu sahaja sindirannya itu.

"Orang Melayu ni kalau menangis, bererti mereka mengenangkan akan untung nasibnya akan datang. Orang Melayu tak macam orang lain," kata Aziz.

Kerana Aziz orang lama, yang begitu banyak pengalaman, maka elok sangatlah membiarkan sahaja Aziz melontarkan amarahnya, pemikirannya dan 'pelurunya' tanpa perlu dikutip bait-bait ulasannya untuk disusun ayatnya seperti mana bentuk berita biasa.

Renungilah kata-kata orang lama ini: "Eksperimen untuk menukar kerajaan yang ada sekarang hanya akan memakan diri. Tengoklah berapa tahun dah Barisan Nasional memerintah...apa dah jadi dengan Malaya...Malaysia sudah jadi negara maju. Daripada tak ada lampu (elektrik), disediakan lampu, daripada tak ada pekan, disediakan pekan baru.

"Macam Pas, parti ini hanya bercerita sahaja. Tapi tak pernah dirikan sebutir masjid pun. Cerita UMNO semuanya tak baik, tapi mereka (Pas) berpakat pula dengan DAP, sedangkan asal Pas tubuh parti Islam untuk undi (sokong) kerajaan Islam. Asal Pas pada 1952 apabila seorang ketua UMNO bahagian dari bahagian agama lawan Tunku Abdul Rahman, lalu membentuk Pas. Kononnya parti itu mahu tubuhkan kerajaan Islam tapi sehingga sekarang nampaknya carca marba.

"Namun iktibarnya, orang Melayu tidak kuat bangsanya. Masih berpegang pada bangsa-bangsa lain. Semangat kebangsaan tidak ada. Maksudnya, kalau ada semangat kebangsaan, maka apa sahaja kaitan melibatkan bangsa-bangsa lain, maka mereka mesti patuh dan berjuang. Orang Melayu sekejap ke sini, sekejap ke sana. Yang dinamakan bangsa ialah bangsa Cina, bangsa India dan lain-lain.

"Sebab itu siapa sahaja yang dipilih pucuk pimpinan sebagai calon, yang lain terima sahajalah. Dahulu ada Semenanjung Tanah Melayu. Tapi itu tinggal nostalgia.

"Saya (Aziz) tak fikir ada parti lain selain UMNO yang boleh perintah Malaysia sebaiknya pada hari ini. Pas tidak boleh pakai. Pasal apa? Dia kata nak perjuangkan Islam tapi bersatu dengan DAP yang terang-terang menolak penubuhan negara Islam Pas.

"Pas tidak perjuangkan Islam sebenarnya. Yang ada cuma taat kepada Nik Aziz (Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat). Nik Aziz sudah jadi macam keramat dah. Asal Nik Aziz cakap sahaja semua terima, ah! tak fikir apa (implikasi) yang dia kata.

"DAP bagi saya memang cukup angkuh. Dia (DAP) fikir dah ramai dan ada perasaan untuk perintah Malaya.

"Bagi saya, dulu pun ada perpecahan Melayu tapi waktu itu UMNO kuat. Sebab dulu kita berjuang. Adat orang berjuang zaman dulu, pertama hilang, kedua terbilang. Maksudnya, kalau dia berjuang, boleh mati sekalipun tak mengapa. Tapi orang sekarang berjuang, pertama cari menang, cari wang, (tapi) hidup di awang-awang.

"Awak (penulis) perhatikan betul-betul. Pada pengamatan saya dulu orang Melayu berjuang pakai duit poket sendiri, sekarang sebilangannya nantikan kerajaan keluar duit dulu. Tidur hotel satu bilik seorang. Dulu saya bersesak-sesak tujuh lapan orang duduk satu bilik bila tidur di hotel (kerana menghadiri majlis atau program parti)...keluarkan duit masing-masing 80 sen (nak bayar caj harga bilik).

"Apa pun, bagi saya ucapan Presiden UMNO (Datuk Seri Najib Tun Razak) semasa penggulungan (Perhimpunan Agung UMNO 2012 pada 1 Disember) cukup menyeluruh. Saya sudah pergi 59 kali Perhimpunan Agung UMNO tapi tak ada ucapan Presiden UMNO yang sebegitu. Dari segi dia sindir, cara dia mencadangkan.

"Eksperimen tukar kerajaan (dalam PRU-13) hanya menyebabkan Melayu menjadi rosak...tak tahulah nanti apa anak cucu kita nak jadi, kelak akan jadi hamba orang."

Pohon nyiur di tepi laut

Dimakan kumbang pucuknya layu

Kepada UMNO Melayu berpaut

Tumbang UMNO hilanglah Melayu."

No comments: