Geng Bas Sekolah

December 18, 2012

Rasuah Menghancurkan Umat


RASUAH adalah jenayah yang paling berbahaya dalam masyarakat dan negara. Jika gejala ini tidak diperangi secara serius rakyat dan negara akan hancur. Amalan rasuah menyebabkan seseorang itu sentiasa tamak, tidak pernah berasa cukup dengan apa yang ada dan tidak jujur dalam melaksanakan pekerjaan.

Semua agama dan bangsa di dunia ini benci akan perbuatan rasuah yang merupakan penyakit masyarakat jika dibiarkan. Perbuatan ini bukan sahaja keji tetapi amat dikutuk oleh Allah.

Oleh itu, orang yang kaya kerana hasil rasuah sering berasa tidak tenang dan diburu kebimbangan dan ketakutan.

Penegak hukum yang tegas dan adil dapat membanteras rasuah yang boleh meruntuhkan akhlak, kerukunan hidup masyarakat dan kekuatan sesebuah negara. Hukuman yang berat dapat mengelakkan rasuah dalam kalangan mereka yang mengamalkannya.

Kamus Dewan mendefinisikan rasuah sebagai pemberian (menyogok, menyuap), (wang) tumbuk rusuk (sogok, suap). Jika dahulu perkataan tumbuk rusuk amat dibenci oleh masyarakat. Kini ia umpama penyakit yang menular secara senyap dalam masyarakat. Kini rasuah bukan hanya dalam bentuk wang malah segala kesenangan dan kemewahan yang ditawarkan oleh pihak pemberi rasuah.

Agama Islam memberi amaran dengan azab yang amat pedih kepada individu yang terlibat dengan jenayah rasuah melalui sabda Rasulullah SAW: "Orang yang memberi rasuah dan menerimanya (akan dilemparkan) ke dalam api neraka di akhirat ".

Selanjutnya Rasulullah SAW juga mengingatkan umatnya: "Akan datang bagi manusia suatu zaman di mana orang tidak peduli apakah harta yang diperolehnya halal atau haram. (riwayat al-Bukhari)."

Dalam masyarakat yang mementingkan kebendaan rasuah sangat sukar dikesan serta sangat rumit untuk diatasi. Ini disebabkan ia melibatkan beberapa orang individu tertentu sahaja dan dilakukan secara sulit dan terancang.

Hal ini menjadikan seseorang perasuah dan penerima rasuah berpakat secara sulit untuk melaksanakan tujuan mereka. Dalam kecanggihan dunia hari ini bentuk rasuah tidak hanya dalam bentuk ruang semata-mata.

Sementara itu, Rasulullah SAW mengingatkan dalam sabdanya tentang harta yang diperoleh secara tidak halal: "Orang yang paling dirundung penyesalan pada hari Kiamat ialah orang yang memperoleh harta daripada sumber yang tidak halal lalu menyebabkannya masuk neraka."

Jelaslah orang dan harta yang diperoleh daripada hasil rasuah adalah haram. Oleh itu, semua pihak mesti berusaha memainkan peranan yang tegas dalam memerangi gejala rasuah.

Orang ramai, khususnya ahli masyarakat boleh menjadi 'mata dan telinga' kepada pihak berkuasa di peringkat bawahan untuk memerangi rasuah dengan memberi laporan segera mana yang diketahuinya.

Tindakan tegas mestilah di ambil tidak mengira, status seseorang itu, sama ada yang memiliki kuasa, berjawatan besar atau orang bawahan. Mereka mesti dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang setimpal.

1 comment:

Anonymous said...

SELAGI BERNAMA MANUSIA BROO..PAS YG DI SANGKA UMARA PUN GETI MAIN RASUAH KEHKEHKEHKEH