CERITA 1 :
Hari itu bumi bertuah Kedah sedang berpesta
rakyat bumi jelapang padi penuh gembira
dalam keramaian di pekarangan kota Kuala Kedah
12 November 1821 masihi, 15 Safar 1237 Hijrah
Ada majlis perkahwinan si teruna dan si dara
anak dua orang pembesar negeri tercinta
anak Dato Bendahara Paduka Seri Maharaja
dengan anak Dato Paduka Seri Raja Laksamana
Dalam temasya padat dengan riak senang hati
ada pukulan kompang, ada rebana berbunyi
ada pencak silat diiringi gendang dan serunai
menyusun sembah menyambut tetamu yang ramai
CERITA 2:
Tiba-tiba semasa istiadat menjamu pesta
Kota Kuala Kedah diserang musuh durjana
lantas bumi Kedah jadi porak peranda
ramai bertempiaran ingin selamatkan nyawa
Ada yang tidak ketahuan punca
ada yang sembunyi sambil berdoa
tapi masih ada juga wira dan hulubalang
yang bangkit pertahankan dan berjuang
Namun kekuatan tentera laut Thai Legor begitu ramai
7000 musuh tidak dapat ditentang dan dikecai
sekoyong anak jati bumi Kedah menjadi korban
termasuklah Dato Bendehara, Temenggong dan Shahbandar terkujur di tanah halaman
Tetapi masih ada nasib disebelah kita
Sultan Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin II terselamat jua
kerana masih bersemayam di Pulau Tiga
tak berkesempatan ke majlis pesta
Bangsa Thai bermaharajalela, bersultan di mata
merampas segala harta benda yang berharga
ramai ditawan dibawa pulang ke Legor disumpat ke penjara
putuslah saudara, hilang hubungan, hendak dicari di mana
Maka bermula dari saat itu Kedah dijajah Thai Legor
yang mempertahankan tanahair telah ramai tersungkur
belakulah perhijrahan beramai-ramai anah kedah ke Seberang Prai
70000 meninggalkan Alor Setar dengan harapan telah bersepai
Kedah menjadi sepi, siapakah wira yang akan bangkit lagi.....
CERITA 3 :
1829, seorang wira diraja bernama Tunku Kudin telah hadir
bersama 5000 orang Melayu yang handal dan mahir
menyerang kejut merampas kembali Kota Kuala Kedah
agar negeri ini dapat orang Melayu semula memerintah
Tetapi musuh Thai Legor dengan Inggeris punya helah
musuh mengepung sekeliling kota Kuala Kedah
angkatan Melayu hanya bertahan selama 5 bulan
pertahanan jadi lemah dalam serba kurang makanan
Hanya beralas perut dengan nasi gerit dan manisan tebu
kekuatan menjadi semakin ragu, tubuh jadi kian lesu
lalu musuh Thai dengan kekuatan masuk menyerbu
lagi sekali angkatan kita tumbang satu persatu...
Tetapi pantang hulubalang Melayu menyerah kalah
walaupun tinggal 30 orang panglima bertegap langkah
menghadapi 7000 musuh Thai dengan 300 ekor gajah
sehingga mati mereka berperang biar badan berlumuran darah
Begitulah kisah perebutan di kota Kuala Kedah pada April 1831
sehinggakan tersemat di dalam pantun Melayu dulu-dulu
"Pulau Sembilan tinggal delapan, satu merajuk ke Kuala Kedah
Sudah nasib menimpa badan, kita di bawah Kehendak Allah"
Namun cerita Tunku Kudin tidak berakhir begitu saja
kepalanya dipenggal diletakkan di atas talam tembaga
berkaki beralas serta berenda dan dibawa dengan gajah
ditatang oleh panglima Thai yang paling tuan dengan gah
Kepala dibawa mengadap Raja Legor Nakhon Sithamarat
sambil mengesut dipersembahkan kepada raja keparat
dan berkata panglima tu:
"ni khe hua kong thap Melayu, tee thantan sayam tat kho!!!
Ni lek rau dhai rak buk wa, kong kamlang nakhon, tii kheng kreng!!!"
diterjemahkan pula:
"Ini kepala panglima Melayu yang siam kerat!!!
sebagai bukti tentera Legor lebih hebat!!!"
Pakat demi pakat nak mengambil semula Kedah semua gagal
oleh Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah yang hampir kesal
akhirnya baginda terpaksa bersemayam di negeri Melaka
kerana terlalu hampa, dicipta baginda syair 'Duka Nestapa'
"Demikian beta sehari hari, kekanda nian dibuang negeri
Jika tak boleh muda bistari, Meninggalkan bumi istana sendiri"
"Atau kemercu Gunung Jerai, Remuklah bahadi dan cangrai
Anggur nyawa badan bercerai, Emas itu sahaja ikatan urai"
"Demikianlah sudah ibarat madah, Habis kias badingan sudah
Yang diberahi itu bukan mudah, Manikam gemala di negeri Kedah"
CERITA 4 :
Ini tahun 1838, di mana terletak sejuta harapan
muncullah wira-wira pemintaan raja yang cukup sakan
bangkit berjuang supaya Kedah dapat dibebaskan
itulah Tunku Mohamad Saad bersama rakan-rakan
Bergandingan dengan Datuk Mohd Ali anak Langkawi
berjaya mengumpul 10 ribu perjuang dari serata Tanah Jawi
dari Acheh ke Sumatera, dari Perak ke Pattani
Langkawi ke Tanjung, bersatu, berdiri lurus lagi berani
Semangat wira-wira Melayu sepakat berhimpun
di pulau empat beradik strategi mula disusun
disitulah di Pulau Bidan, Telor, Bunting dan Pulau Songsong
menguatkan iman, bersilat dan siapkan angkatan perang
Pada ketika dan waktu yang sama.....
bersidanglah para ulama berjiwa panglima
lalu sepakat menyertai angkatan perang tadi
untuk melancarkan serangan terakhir sekali
Dan di antara para ulama ini;
Sheikh Abdus Samad Al Palembangi
Sheikh Abdul Kadir Tok Kadir
Sheikh Daud Al Fathani
Panglima Sheik Wan Mustapa Tok Bendang Daya
Hulubalang Sheikh Wan Jamal serta Sheikh Masu'ud Al Banjari
Dan...
Tercatat pula nama para hulubalang Melayu
yang berani-berani menghadapi musuh beribu
seperti;
Tok Morris, Tok Merah, Tok Kameh, Tok Madi, Taib Itam, Haji Long
dan mungkin juga ada, Panglima Ismail turut bergabung tenaga
Hairan..., sungguh menghairankan
macam mana depa bersungguh-sungguhan
sehingga sanggup tinggalkan anak isteri
pi berjuang dan tak hiraukan mati
Adakah ini atas nama perang sabil
dan atau seruan jihad sudah terpanggil
namun apa pun tersemat di hati mereka
ada bicara sebelum pergi meninggalkan desa
Seperti ada terselit dalam madah
ucap selamat tinggal sebelum berpisah
"Umur panjang bertemu kembali,
pantang hidup bercerminkan bangkai,
kalau ditakdirkanya menemui ajal
di surga kita bertemu
sebab mati hanya sekali
dan sekali ini ialah mati syahid"
Maka dari itu, angkatan hulubalang Melayu
telah dibahagikan kepada empat regu
yang satu hebat tahan jika dipahat mata
kedua ibarat tulang besi urat dawai adanya
Yang ketiga adalah pakatan orang-orang Patani
Keempat siap sedia menjaga pelusuk negeri
mereka semua menghambat musuh-musuh keparat
sehingga sampai ke Legor Nakhon SiThamarat
Peperangan kali ini beroleh kejayaan
sehingga diabadikan di secebis karangan
nukilan Sheikh Abdus Samad Al Palembangi
tentang kemenangan Tunku Mohamad Saad yang berbunyi;
"Putera bukan sebarang putera
putera raja siltan pilihan
negeri Kedah telah berjaya
mengecapi nikmat anugerah tuhan
agama Islam bergerak semula
begitu lama dalam tekanan"
Serta dicatat oleh seorang putera diraja Kelantan
oleh Tuan Long Salleh dalam suratnya 1254, 13 Syaaban
antaranya tertulis;
"tengah berkira, tiba-tiba Cik Jid mari dari Patani
menyatakan negeri Legor sudah binasa pada Melayu Kedah
dan negeri Singgora pun terlengkong oleh Kedah
Negeri Patani pun orang Kedah masuk penuh
Jam(b)u pun boleh kepada orang Kedah...."
Kemenangan kita dek panglima dan hulubalang
turut tercatat pada panji-panji perang
yang mengandungi baris puisi berbahasa Arab
menandakan kejayaan sudah dikecap
puisi bermaksud;
"lantaran ini maka berakhirlah pembukaan yang bersejarah
dengan pertolongan Islam kemenangan dicapai oleh negeri Kedah"
CERITA 5 :
Kemenangan kali ini tidak juga dapat bertahan lama
kerana pasukan bantuan Trengganu Kelantan tak sempat tiba
dan pada masa itu juga raja Thai Rama mengerah armada laut
supaya menyrang kembali orang Melayu dengan mengejut
seramai tiga puluh ribu dari Bangkok mula bergerak
membantu tentera Legor agar Melayu semua berselerak
sehingga angkatan Melayu menjadi semakin sesak
mereka berundur ke Kelantan serta ke Belum di Perak
Maka detik mula tragedi pada hari itu
sepilah angkatan hulubalang Melayu
turut lenyap nama-nama ulama berjiwa panglima
entah kenapa, entah ke mana untuk sekian lama
Turut terkubur seiringan dengan mereka
seni silat yang mereka bawa bersama
Umat Melayu jadi belaka tak menentu
budaya bangsa semakin lusuh dan tepu
sehinggakan keutamaan seni silat tidak lagi diambil kira
yang selama ini milik para ulama dan hulubalang kita
dijadikan benteng mempertahankan bangsa, tanah air dan agama
dan hari ini, kenikmatan hidup kita juga yang merasa.
"Harap kini, api jauh dari panggang
Harap nanti, sireh pulang ke ganggang"
Sumber klik sini
Terima Kasih Kerana Sudi Membaca
1 comment:
Salam.
Begitu panjang perjuangan kita
Berkat jihad penguasa dan rakyat jelata
Sekali tersungkur bukanlah berkubur.
Disusun diatur bersedia untuk bertempur
Walaupun sedikit pejuang Melayu pantang berundur.
Perjuangan yang panjang dan penuh liku-liku
Berkat bersatu semua lapisan bersedia demi niat yang satu.
Pembesar, ulama’ rakyat marhaen berpadu jitu
Yang besar dan hebat hanya Kerajaan Allah.
Raja dan rakyat bersatu kerana Allah yang satu.
Tak mungkinkah sejarah silam
Tentang perjuangan
Tentang perpaduan
Diadunkan lagi.
Kali ini.
Post a Comment