MALAYSIA mengamalkan demokrasi dan pemilihan wakil rakyat serta siapakah parti memerintah ditentukan seratus peratus oleh rakyat.
Oleh itu adalah sesuatu yang janggal apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat kenyataan di Dewan Rakyat mempersoalkan penguasaan Barisan Nasional (BN) yang didakwa terlalu lama memerintah.
Mungkin Abdul Hadi semakin tertekan dengan prestasi yang dtunjukkan oleh Pas dan parti pembangkang lain dalam beberapa pilihan raya kecil kebelakangan ini, tetapi untuk mengalihkan isu dengan membuat tuduhan sedemikian ia bukanlah satu tindakan yang bijak.
Sebaliknya ia hanya akan mendedahkan betapa cetek pemikiran parti pembangkang apabila mereka semakin ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya.
Sebagai sebuah negara yang menyerahkan kepada rakyat menentukan siapa parti yang mereka mahu menjadi kerajaan, maka apa juga keputusan rakyat perlu diterima secara terbuka.
Rakyat sudah tentu bijak menilai parti manakah yang layak memimpin mereka. Apatah lagi sejak merdeka lagi, BN atau sebelum ini Perikatan telah membuktikan keupayaan mereka untuk memerintah negara ini.
Keadaan itu telah memungkinkan mereka menjadi pilihan utama rakyat dan kita harus ingat rakyat juga hampir menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum 2008, apabila mereka tidak berpuas hati dengan prestasi BN.
Ertinya, rakyat menentukan nasib sesebuah parti itu, oleh itu tidak perlulah pembangkang termasuk Abdul Hadi mempersoalkan kenapa BN memerintah terlalu lama kerana bukan BN yang melantik diri mereka untuk berkuasa tetapi rakyat yang memilih.
Justeru apabila rakyat membuat keputusan mahu terus mengekalkan BN memerintah maka terimalah ia dengan hati terbuka.
Selama ini BN tidak pernah berkata apa-apa terhadap keputusan rakyat di Kelantan, contohnya yang memberi peluang kepada Pas yang kini sudah memerintah lebih 20 tahun.
Walaupun Kelantan tidak semaju negeri-negeri lain tetapi Pas tetap dipilih oleh rakyat untuk memerintah dan keputusan itu harus dihormati.
Begitu juga apabila Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak jatuh ke tangan pembangkang pada tahun 2008, BN tidak memprotesnya kerana itu kehendak rakyat.
Oleh itu apabila rakyat terus membuat keputusan untuk memberikan amanah kepada BN untuk memerintah di pusat dan negeri-negeri ia sepatutnya dihormati.
Tidak usahlah Abdul Hadi cuba membangkitkan dakwaan lapuk kononnya di bawah BN negara menjadi kacau-bilau dan tercetus perpecahan.
Semua orang memahami bagaimana situasi politik negara tidaklah seburuk mana berbanding selepas 2008.
Ia terjadi apabila pihak pembangkang yang menyaksikan gabungan Pas dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempolitikkan segala-galanya kerana diberikan secebis kuasa oleh rakyat dalam pilihan raya umum pada tahun berkenaan.
Kuasa yang diberikan oleh rakyat tidaklah dilihat sebagai platform terbaik bagi pembangkang membuktikan mereka lebih baik daripada BN, sebaliknya mereka lebih banyak mahu berpolitik dan merebut kuasa.
Sama ada Pas, DAP mahupun PKR mereka amat memahami bahawa sokongan rakyat kepada BN kini semakin meningkat, oleh itu mereka berusaha mencari helah bagi memburuk-burukkan BN dan sekali gus menutup seribu satu kelemahan yang mereka miliki.
Sepatutnya, Abdul Hadi berpakat bersama pemimpin pembangkang lain memperbaiki kelemahan yang dimiliki dan bukannya menuding jari yang seolah-olah menggambarkan rakyat tidak bijak membuat keputusan dalam pilihan raya.
2 comments:
setuju dengan entri niee..hehehe..
lalink: tq ^_^"
Post a Comment