MINGGU lepas saya dihubungi oleh seorang saudagar minyak berbangsa Melayu. Beliau bukan saudagar minyak urut atau minyak atar, tapi ahli perniagaan yang terlibat dalam industri hebat – oil and gas atau minyak dan gas.
Beliau ingin berkongsi pandangan dengan saya mengenai industri itu dan cabaran-cabaran yang mungkin dihadapi oleh usahawan Melayu dan bumiputera sepertinya sekarang.
‘‘Memang benar kita kini berada dalam pasaran bebas di bawah pengaruh liberalisasi global. Kita memang kompetitif, berdaya saing tinggi, tapi kebanyakannya masih belum dapat dilepaskan oleh kerajaan,” katanya dalam satu pertemuan yang diatur.
Sebenarnya sudah banyak orang Melayu yang telah terlibat dalam industri itu baik secara huluan mahupun hiliran. Ada syarikat yang bersaiz besar, sederhana dan kecil. Namun players atau pemain industri itu di luar sana cukup besar. Adalah orang Melayu dan bumiputera, tapi tidak cukup untuk berlawan secara kompetitif dengan mereka.
Tanpa ada Petronas misalnya, sukar untuk mereka hidup, kecualilah pemain yang cukup besar yang boleh berenang di lautan bebas.
Namun apa pun, penghargaan harus diberikan kepada kerajaan sekarang. Tanpa bantuan, usaha, idea, perancangan dan tekad kerajaan yang kita junjung ini, usahawan-usahawan Melayu dan bumiputera dalam bidang itu tidak akan wujud dengan jayanya sampai sekarang. Sebaliknya, kita tidak pasti pula apa peranan syarikat yang sudah berjaya ini untuk membentuk pula dan membantu mewujudkan lebih ramai anak bangsa yang lain? Kita harap ada yang berbuat demikian.
Persoalan yang berbangkit dalam perbualan dengan saudagar minyak itu ialah: Benarkan sejak akhir-akhir ini ada usaha untuk membantutkan usaha pembangunan itu, khusus program pembangunan vendor (VDP) yang dilaksanakan oleh Syarikat Petroliam Nasional Bhd. (Petronas)? Program VDP itu hanya khusus untuk orang Melayu dan bumiputera sahaja.
Program VDP itu bertujuan melahirkan sebanyak mungkin tekno-usahawan yang berdaya saing dalam pembuatan komponen teknologi minyak dan gas berskil tinggi dan sederhana. Tujuan pelaksanaan VDP Petronas itu ialah hanya untuk sektor yang belum atau kurang diceburi oleh usahawan berkenaan.
Program itu diharap berupaya meningkatkan kemahiran dan keupayaan usahawan bumiputera dalam bidang itu, sealiran dengan inisiatif kerajaan bagi mewujudkan masyarakat bumiputera dalam sektor industri dan perdagangan terbabit.
Namun, mengapa dan kenapa suara-suara sumbang sudah mulai kedengaran mengenai VDP itu. Ada yang mahu dikurangkan atau dihentikan terus?
Antaranya datang daripada kolumnis Big Money, M. Shanmugam dalam majalah perdagangan The Edge tempoh hari. Tulisannya itu bertajuk Time for Petronas to scale down the VDP atau ‘Masa bagi Petronas mengecilkan VDP’ (terbitan 28 Februari 2011, halaman 14).
‘‘Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang?” kata saudagar itu kepada saya merujuk kepada tulisan Shanmugam itu. Atau itu hanyalah pandangan peribadi beliau sahaja?
Saya pun hairan mengapa Shanmugam mahu mempersoalkan program yang dikhususkan untuk orang Melayu dan bumiputera itu. Salahkah program itu? Salahkah ia diberikan kepada golongan itu.
Namun, kita berharap pandangan Shanmugam itu tidak akan diambil kira oleh Petronas. Masanya belum tiba lagi untuk mengecilkan atau mengkaji semula atau mengambil keputusan menutup program pembangunan itu. Sebaliknya, Petronas perlu memperbaiki kelemahan yang banyak diperkatakan mengenai VDP dan meningkatkan lagi taraf program itu.
Umum mengetahui Petronas, Proton, MAS dan agensi-agensi lain tidak memikirkan keuntungan mutlak semata-mata.
Mereka sedar, kejayaan yang mereka nikmati adalah hasil bantuan dan penglibatan kerajaan jua. Sebagai tanda berterima kasih kepada kerajaan, mereka turut meletakkan tanggungjawab sosial sama pentingnya dengan keuntungan.
Kerana itu, mereka turut terpanggil membantu pencapaian wawasan negara ke arah melahirkan suatu masyarakat aman, harmoni dan bersatu padu. Mereka turut membimbing dan memberi peluang kepada masyarakat Melayu/bumiputera dalam mempertingkatkan kompetensi masing-masing.
Program pembangunan vendor (VDP) Petronas merupakan program yang menyahut cabaran tanggungjawab sosial ini dalam membangun dan membimbing usahawan Melayu untuk turut serta dalam pembangunan ekonomi negara.
Persoalan yang timbul ialah apakah muslihat di sebalik saranan penulis Shanmugan bahawa sudah sampai masanya Petronas mengurangkan penekanan pada program VDP ini?
Penulis itu membuat kenyataan yang berbahaya kerana beliau seolah-olah tidak memahami apa sebenarnya matlamat program VDP dan apakah yang dimaksudkan dengan marginal fields seperti yang dinyatakan dalam tulisannya.
Penekanan program VDP memberi peluang kepada Petronas untuk membangun syarikat-syarikat kecil tempatan, khususnya bumiputera; manakala marginal fields diceburi oleh syarikat besar tempatan seperti SapuraCrest Petroleum Bhd. dan Kencana Petroleum secara usaha sama dengan syarikat asing.
Kemungkinan besar syarikat-syarikat kecil tempatan tidak mungkin berupaya menceburi program marginal fields ini.
Kerajaan telah pun memperkenalkan Model Ekonomi Baru (MBE). Dalam MBE, kaum Melayu/bumiputera dididik lebih berdikari serta merapatkan hubungan dengan sektor swasta.
Penyertaan Melayu/bumiputera dalam sektor ini perlulah ditambah dengan cara mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran dan sikap supaya sejajar dengan budaya korporat masing-masing. Oleh itu, sebarang usaha yang mempersoalkan prinsip ini boleh ditafsirkan sebagai penghalang ke arah perpaduan kaum yang dicita-citakan.
Negara kita sudah merdeka lebih dari 50 tahun. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan bagi merapatkan jurang ekonomi masyarakat di Malaysia. Kerajaan juga telah meminta penglibatan syarikat-syarikat gergasi korporat untuk turut membantu mencapai wawasan ini.
Namun, sejauh manakah syarikat gergasi korporat bersedia untuk membantu secara ikhlas bagi menutup jurang ekonomi antara kaum ini?
Usaha murni kerajaan ke arah perpaduan boleh berjaya jika semua pihak bersama-sama memikul tanggung jawab ini.
Jika kita tidak dapat berkongsi kekuatan sekurang-kurangnya kita berkongsi wawasan dan semangat.
Dengan lain perkataan, jika mereka belum bersedia untuk berkongsi dengan kaum Melayu dan bumiputra yang masih merangkak ini, janganlah kita mempertikaikan usaha kerajaan yang ingin membantu.
Orang Melayu dan bumiputera sanggup dilepaskan dari segala macam ‘tongkat’ kerajaan, namun apakah usahawan berjaya Cina (yang lebih 98 peratus) tersenarai sebagai bilionwan Malaysia, mahupun India, malah seorang dua Melayu itu sanggup membantu mereka?
Jika tiada jawapannya, biarlah kerajaan terus membantu mereka. Jangan perjudikan VDP hanya kerana desakan seorang bernama Shanmugam. Sebaliknya Petronas, seharusnya mempertingkatkan lagi usahanya membantu orang Melayu dan bumiputera dalam bidang itu.
Kita tunggu jawapan jaminan daripada Petronas.
Sumber: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment