PADA 22 Januari ini akan menjadi titik tolak apakah Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang akan terus bertenang atau akan berlaku pergolakan.
Pada tarikh itu akan ditentukan calon-calon yang akan bertanding bagi mengisi kekosongan ekoran kematian penyandang iaitu ADUN Tenang, Datuk Sulaiman Taha awal Disember lepas.
Ia akan diikuti oleh perang propaganda antara parti-parti yang bertanding yang pastinya luar biasa berbanding ketika pilihan raya umum yang mana ia belum pernah dialami oleh penduduk Tenang.
Malah, bibit-bibit pergolakan yang mengancam ketenangan sudah mula bergetar sebaik sahaja pemergian Allahyarham Sulaiman. Ia bermula dengan pelbagai desas-desus, spekulasi dan gimik politik yang dicanang pelbagai pihak sama ada daripada Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang.
Ketenangan yang sudah sebati dengan DUN Tenang tiba-tiba goyah seketika. Ibarat jalan yang dulunya sunyi kini semakin bising dengan deruman kenderaan kerana sudah terbentangnya sebuah lebuh raya. Hakikat sebenar bukan kerana tibanya musim buah bidara (mata kucing) atau durian di Tenang yang suatu ketika dulu menjadi produk tradisional yang popular hingga ke Singapura.
Sebaliknya ia hanya kerana sebuah pilihan raya kecil yang bakal memutuskan siapakah calon yang bakal wakili DUN Tenang. Yang pasti, baru penamaan calon sudah menampakkan ketidaktenangan, apatah lagi kalau calon yang terpilih nanti bukan kehendak orang Tenang.
Kesilapan memilih calon nanti dilihat boleh memberi kesan yang besar kepada keputusan pilihan raya kecil DUN Tenang pada 30 Januari nanti.
Soalnya apakah BN akan terus berani memperjudikan calon bukan anak tempatan untuk mengisi kekosongan tersebut seperti sebelum ini.
Sebagai anak jati Tenang yang telah membesar di sini lebih 20 tahun dan kemudian selama lebih 20 tahun lagi sering berulang-alik pulang ke kampung di Tenang, tidak banyak yang dilakukan untuk penduduk Tenang oleh kebanyakan wakil rakyat sebelum ini termasuk Ahli Parlimen (Labis).
Beberapa kawasan DUN Tenang seperti Felda Chemplak, Felda Redong, Felda Maokil dan juga di beberapa kawasan lain terutamanya di perkampungan Melayu sekitar Pekan Labis, keadaannya terus tenang. Kekal seperti mana sedia ada.
Ibarat kalau ada pun tidak menambah dan kalau tiada pun tidak terasa kurangnya. Tetapi hakikatnya pengundi-pengundi Melayu menyumbang hampir 50 peratus atau separuh daripada hampir 15,000 jumlah pengundi di DUN Tenang.
Mereka ini pula adalah pengundi Melayu di pedalaman yang bertunjangkan Pekan Labis sebagai nadi kehidupan.
Mereka ini merupakan kunci dan penentu bukan sahaja kepada kejayaan DUN Tenang bahkan juga kepada kejayaan BN di peringkat Parlimen Labis. Biarpun calon Ahli Parlimen Labis bagai tradisi diberikan kepada calon luar, namun orang Melayu di DUN Tenang khususnya di kawasan pedalaman yang tetap menyokong BN tanpa ada sentimen perkauman.
Soalnya apakah kesetiaan serta kepercayaan mereka kepada kerajaan selama ini akan terus kekal selama-lamanya? Sedangkan nikmat pembangunan tidak sampai ke kawasan mereka. Selama lebih 50 tahun selepas merdeka mereka hanya kekal ibarat 'feeder' kepada pembangunan dan kekayaan yang dinikmati dan ditangguk oleh rakan-rakan di Pekan Labis.
Dua puluh tahun dahulu, dengan motosikal buruk tanpa cukai jalan dan insurans arwah bapa yang hanya digunakan ke kebun terpaksa di tunggang ke Pekan Labis semata- mata untuk mengisi minyak.
Namun kini setelah usia saya lebih 40 tahun hakikat yang sama juga terpaksa dilalui oleh generasi sekarang di kawasan Tenang. Pembangunan tidak berkembang secara sekata. Ia dibuat secara berpilih-pilih yang kemungkinan boleh mempengaruhi pola pengundi untuk masa depan.
Sebab itu kemajuan perlu dibawa masuk hingga ke pedalaman. Biar sekadar sebuah pusat perniagaan kecil sudah mencukupi. Kehadiran sebuah stesen minyak misalnya sudah boleh mengubat sedikit kesengsaraan setengah abad.
Apakah tidak cukup kuasa beli orang Melayu di kawasan Kampung Redong, Kampung Tenang, Pekan Air Panas, Kampung Sawah Bahru, Perkampungan Orang Asli Ulu Juaseh dan Felda Tenang ini untuk 'survival' sebuah stesen minyak tanpa perlu pergi ke Pekan Labis?
Dan apakah kita rela selama-lamanya membiarkan orang Melayu di Gugusan Felda Maokil 1,2,3 dan 4 serta di Felda Chemplak dan Felda Chemplak Barat yang mempunyai ribuan penduduk menyalurkan segala kekayaan yang mereka kecapi daripada kebijaksanaan Felda untuk ditangguk oleh peniaga-peniaga di Pekan Labis sahaja? Keadaan itu tidak boleh dibiarkan selamanya begitu.
Secara jujurnya, para pemimpin di Tenang kini mahukan anak tempatan mewakili mereka. Secara jujur mereka katakan cukuplah kalau selama ini ia diberikan kepada orang luar. Kali ini biarlah penghormatan diberikan kepada anak tempatan yang jiwanya sudah sebati dengan masyarakat di DUN Tenang ini.
Seorang rakan berkata, DUN Tenang sudah tidak sesuai lagi dijadikan dumping area atau testing ground calon tertentu dengan keyakinan dan anggapan siapa pun yang diletakkan sebagai calon BN di sini akan mencapai kejayaan mudah.
Jangan jadikan keputusan pilihan raya sebelum ini sebagai kayu ukuran untuk menentukan calon di Tenang. UMNO dan BN perlu berhati-hati. Banyak perkara yang berlaku pada masa lalu sudah tidak relevan lagi pada hari ini.
Kekalahan beberapa calon BN dan kegagalan parti itu untuk mempertahankan beberapa negeri sebelum ini merupakan bukti rakyat yang kecewa mampu mengubah sokongan pada bila-bila masa.
Sebab itu dalam menentukan calon, kepimpinan politik negeri terutamanya perlu mengambil kira keperluan penduduk setempat tanpa perlu melayan pihak yang melobi supaya memilih calon mereka.
Ingatlah, kekalahan BN di beberapa buah negeri bukan kerana bencikan kerajaan tetapi kerana faktor calonnya. Ambil iktibar bahawa faktor calon menyumbang kepada kejayaan BN di Galas. Sebagai anak jati Tenang, yang sudah lama melalui pelbagai pahit maungnya, saya tidak mahu melihat DUN Tenang ini terlepas ketenangannya kepada pembangkang.
Ia suatu hakikat yang boleh memalukan orang Melayu di Johor kerana darah UMNO sudah mengalir dan sebati dengan jasad orang Melayu di negeri ini. Namun harus diingat bahawa orang Tenang sudah terlalu lama bertenang. Jangan sampai ketenangan mereka tergugat.
Bagi orang luar yang datang berbondong- bondong bagi memeriahkan pilihan raya kecil DUN Tenang ini jangan cuba menganggu-gugat ketenangan yang ada.
Sumber: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment