Konfrontasi itu berlaku tidak berapa lama setelah Guan Eng menjadi ketua menteri dalam tahun 2008 dan bermula bila beliau membuat kenyataan yang menyakitkan hati masyarakat Melayu-Islam tentang Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Antara pihak yang turut merasa tersinggung dan membuat bantahan yang emosional, ialah beberapa pengusaha restoran nasi kandar yang mengutuk kenyataan Guan Eng melalui spanduk dan jeritan-jeritan demonstrasi jalanan.
Berikutan itu, penyokong-penyokong Guan Eng membalas tindakan emosional tersebut dengan langkah yang lebih rasional menyeru supaya penyokong-penyokong Guan Eng memboikot nasi kandar. Seruan itu disampaikan melalui kaedah Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang tersebar dengan pantas dan meluas.
Akibatnya, untuk selama beberapa hari setelah arahan memboikot nasi kandar yang beredar melalui SMS itu, restoran-restoran nasi kandar lengang ketiadaan pelanggan. Malah akhbar The Star, turut menyiarkan gambar seorang penjual nasi kandar sedang bertopang dagu dalam sebuah restoran yang lengang.
Tindakan penyokong-penyokong Guan Eng memboikot restoran-restoran nasi kandar melalui perhitungan-perhitungan yang strategik dan rasional itu, akhirnya menyebabkan pemilik-pemilik restoran mengaku kalah lalu menghantar jambangan-jambangan bunga kepada Guan Eng sebagai tanda ingin berdamai dan kesediaan menyokong pimpinan DAP di Pulau Pinang.
Terdapat lapis-lapis mesej (pelbagai pengajaran tersurat dan tersirat) yang hendak disampaikan oleh mantan pegawai tinggi kerajaan yang mengimbas kembali "konfrontasi" antara Guan Eng dan pengusaha nasi kandar itu.
Pertama beliau mengingatkan betapa kuasa ekonomi yang dimiliki orang Cina di negara ini boleh melumpuhkan pihak-pihak lain. Lebih daripada itu, kuasa ekonomi yang dilipat gandakan (digabungkan) dengan kuasa undi semenjak akhir-akhir ini semakin kerap digunakan (disalah gunakan?) untuk melakukan "peras ugut politik" oleh pihak-pihak tertentu.
Ceritanya itu juga mengingatkan betapa pemikiran yang strategik dan perhitungan yang rasional sangat diperlukan dalam setiap pertembungan. Pengajaran yang lain ialah betapa emosi atau semangat yang meluap-luap boleh mendatangkan akibat yang counter productive bila berhadapan dengan tenaga-tenaga (musuh) yang lebih rasional. Oleh kerana itu, tindakan-tindakan yang bersifat emosional perlu diimbangi dengan "kalkulasi" atau perhitungan yang rasional.
Tetapi pada masa yang sama patut juga diingat bahawa perhitungan yang "rasional" itu sendiri ada batas dan sempadannya yang jika "dilewati" (disalah gunakan) boleh mengakibatkn backlash atau boomerang.
Semua itu mengingatkan saya kepada satu gurindam nasihat yang terkandung dalam falsafah adat Minangkabau yang berbunyi: "Raso dibawo nayiak, pareso dibawo turun." Dalam bahasa Melayu baku padanan sebutannya lebih kurang berbunyi seperti ini: "Perasaan dibawa naik, pemikiran dibawa turun."
Nasihat yang hendak disampaikan oleh gurindam adat Minangkabau itu ialah: antara pemikiran yang rasional dengan perasaan yang emosional, perlu ada keseimbangan. Hasil pemikiran otak (yang terletak di bahagian atas tubuh badan) hedaklah diimbangi dengan gejolak hati (yang terletak di bawah dada.)
Demikian pula sebaliknya. Emosi atau semangat yang meluap-luap mestilah senantiasa diawasi oleh pemikiran otak yang rasional. Perlu ada check and balance antara "pikiran" dan "perasaan."
Seperti kebanyakan pepatah petitih Minangkabau yang lain, gurindam nasihat itu memerlukan huraian yang lebih panjang untuk difahami dan dihayati agar panduan dan pedoman hidup yang terkandung di dalamnya dapat dimanfaatkan secara optimal.
Secara ringkas, pengajaran atau pesanan yang hendak disampaikan ialah "sementara semangat berkobar-kobar masih diperlukan untuk menghadapi lawan (malah untuk mencapai sebarang matlamat) strategi yang logikal dan perhitungan yang rasional masih merupakan satu kemestian (persyaratan yang tidak boleh dielakkan). Tetapi perlu ada keseimbangan dan kesederhanaan. Sesuatu yang berlebih-lebihan (extremism) mempunyai padah (kemudharatan) yang harus dielakkan.
Yang jangan sampai dilupakan ialah bahawa "perhitungan yang rasional" adalah "produk otak" iaitu hasil pemikiran otak manusia yang ada batasnya, ertinya tidak sentiasa sempurna kerana banyak perkara dalam hidup ini yang jauh daripada jangkauan otak manusia.
Dalam dailek Minangkabau "produk otak" atau hasil pemikiran itu diungkapkan dengan istilah "pareso" (periksa). Menyedari hakikat bahawa "produk otak" itu tidak pernah sempurna maka diperlukan untuk menilai atau menimbangnya dengan hati atau perasaan. Itulah yang dimaksudkan dengan ungkapan "pareso dibawa turun." (dari otak di atas turun ke hati di bawah).
Ini adalah pesanan (mesej) kepada Chua Soi Lek dan Lim Guan Eng serta penyokong masing-masing. Orang Cina yang terkenal pragmatik itu mestilah beringat dan diingatkan supaya jangan terlalu taksub atau obsessed dengan perhitungan-perhitungan yang "rasional" sahaja. Unsur-unsur emosi sama ada emosi kita sendiri atau emosi orang lain mestilah juga diberi perhitungan sewajarnya.
Ia juga sekali gus kepada bangsa Melayu (termasuk para pemimpin Perkasa dan NGO-NGO Melayu lain ) supaya jangan terlalu obsessed dengan emosi (raso). Untuk menghadapi kelicikan orang Cina, bangsa Melayu perlu lebih rasional. Kata orang Minangkabau: raso dibawo naiyek. Strategi boleh berubah, matlamat jangan dianjak.
Sumber: Utusan malaysia
No comments:
Post a Comment