Geng Bas Sekolah

May 5, 2010

Jatuh Bangun MIC

Ke manakah arah MIC selepas kemenangan calonnya P. Kamalanathan dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor? Bagaimanakah hala tuju MIC dalam usaha memperkasakan parti tersebut supaya terus kekal relevan dan dominan dalam konteks masyarakat India menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti?

Kemenangan tersebut dikatakan telah menimbulkan semangat 'kebangkitan semula' parti tersebut selepas dua tahun tersepit dalam tekanan kuat arus politik negara khususnya selepas PRU 2008 di mana ramai teraju utama parti tersebut tersungkur dan tewas termasuk Presidennya Datuk Seri S. Samy Vellu dan Timbalannya Datuk G. Palanivel.

Perjuangan MIC ibarat 'hidup mati' MIC di Hulu Selangor telah memberikan satu harapan, nafas dan hidup baru untuk parti yang kini menjangkau usia 64 tahun.

Kemenangan MIC berjaya membantu menjayakan misi parti untuk merampas semula satu daripada enam kerusi Parlimen yang tercicir pada PRU 2008. Ini selaras dengan pembentukan misi 'Pasukan Kejayaan' untuk menyusun semula dan memperkasakan kembali MIC agar ia terus relevan dan mampu menawan semula kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang terlepas daripada genggaman pada pilihan raya umum lepas.

Tiga kawasan Parlimen yang berjaya dimenangi pemimpin MIC ialah Datuk Dr. S. Subramaniam (Segamat), Datuk S.K. Dewamany (Cameron Highlands) dan Datuk M. Saravanan (Tapah). Pada PRU 12 MIC gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput, Hulu Selangor, Subang, Kota Raja dan Kapar. Di samping itu, MIC turut kecundang 12 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Kemenangan Kamalanathan telah menambah kembali satu lagi wakil MIC sekali gus dapat merakyatkan suara masyarakat India di Parlimen selepas ini. Banyak harapan yang disandarkan terhadap YB Hulu Selangor itu ketika berhujah di Dewan Rakyat nanti.

Keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor perlu dijadikan formula memperkukuhkan parti dan masyarakat India selepas ini. Gelombang 'keyakinan baru' ini perlu diteruskan bagi menghadapi cabaran dan rintangan politik negara dalam tempoh dua tahun akan datang, menjelang PRU 13 nanti.

Inilah masa yang sesuai untuk kepimpinan tertinggi MIC melakukan perubahan drastik dalam parti di semua peringkat demi masa depan yang lebih terjamin dalam kancah politik negara.

Pemimpin dan ahli MIC di seluruh negara sudah tentu tidak cepat lupa terhadap segala tohmahan, kritikan dan juga tamparan kuat yang dilontarkan terhadap parti kesayangan mereka selepas wujudnya gerakan Hindraf pada 2007 sehingga menyebabkan ramai pemimpin utamanya kalah pada PRU 2008.

Perjuangan dan penantian MIC berbaloi juga akhirnya apabila keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor menyaksikan peningkatan undi masyarakat India dalam lingkungan 8 hingga 10 peratus jika dibandingkan keputusan PRU 2008. Faktor kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi elemen utama untuk masyarakat India kembali ke pangkuan BN kali ini.

MIC juga berjaya 'menawan hati' sokongan pengundi muda di Hulu Selangor atas faktor kecekapan dan jaminan Perdana Menteri yang berjaya menyelesaikan beberapa isui berkaitan kuil, pendidikan sekolah Tamil dan juga masalah prasarana. Faktor calon dan peranan Pemuda MIC turut mencetuskan harapan baru di kalangan pengundi muda.

Suara generasi muda inilah yang menjadi senjata utama untuk gerakan Hindraf dan pemimpin-pemimpinnya menang pada PRU 2008. Namun mereka dikatakan kecewa dan hampa setelah melihat pemimpin Hindraf tidak sehaluan sehingga menyebabkan perpecahan teruk sampai ke tahap masing-masing membawa haluan politik sendiri.

Pengundi muda keturunan India jelas menolak budaya 'politik ego' yang bersifat keangkuhan di kalangan pemimpin pakatan pembangkang.

Mereka juga menolak pendekatan politik elitis di kawasan luar bandar. Mereka lebih cenderung dengan pendekatan hubungan dua hala yang bersifat personal touch.

Samy Vellu sendiri telah mengakui betapa peritnya liku-liku perjalanannya serta pemimpin-pemimpin MIC yang lain ketika berdepan dengan pengundi India di Hulu Selangor baru-baru ini.

Samy Vellu seorang tidak boleh membawa pembaharuan untuk masyarakat India. MIC memerlukan satu pasukan yang kuat dan mantap di peringkat negeri, bahagian dan cawangan. Jangan gunakan pangkat dan status parti untuk mempopular diri sendiri, kata seorang pemimpin MIC dari Kuala Lumpur.

Penulis sendiri dapat memahami betapa panasnya hati masyarakat India luar bandar apabila bercakap pasal isu-isu kebajikan rakyat. Kekecewaan jelas terpancar di wajah mereka. Namun apabila disebut nama Najib Tun Razak, wajah mereka kembali menjadi tenang.

"Kami bukannya menentang MIC ataupun BN. Kami hanya mahukan kualiti kehidupan yang sejahtera. Kami yakin Perdana Menteri Najib Tun Razak telah mendengar suara kami. Kami yakin beliau akan datang sekali lagi ke Hulu Selangor selepas ini dan makan daun pisang bersama masyarakat India di sini.

"Ini tidak bermakna kami tidak menyokong MIC. Kami hanya mengharapkan nilai-nilai keikhlasan dan kejujuran daripada pemimpin MIC selepas ini," kata seorang pengundi wanita dari kawasan Kalumpang.

Persoalannya, apakah hala tuju MIC selepas ini? Jangan terlalu berseronok ataupun lupa diri dengan kemenangan di Hulu Selangor. MIC perlu menilai semua kemunculan budaya 'politik baru' di mana masyarakat India tidak rela diri mereka diperalatkan untuk kepentingan politik.

MIC juga perlu menilai semula budaya 'politik perkauman mengikut parti' yang semakin lantang dibicarakan. Apakah trend seperti ini dapat menyelamatkan masa depan MIC?

Konvensyen MIC negeri yang ditangguhkan sebelum ini bagi memberi tumpuan untuk pilihan raya kecil Hulu Selangor dijadualkan semula sepanjang bulan Mei ini bakal memberikan satu gambaran yang jelas mengenai hala tuju MIC.

Ahli-ahli MIC dijangka akan membangkitkan isu mengenai peralihan kuasa dan juga hala tuju parti menjelang PRU 13. Isu pilihan raya kecil Hulu Selangor juga dijangka akan menjadi tajuk utama perbahasan kali ini.

Berita mengenai pelantikan jawatan Senator untuk Palanivel telah mengundang pelbagai spekulasi dalam parti ketika ini di mana beliau dikatakan sudah bersedia untuk menggantikan tempat Samy Vellu. Persoalannya, apakah beliau akan ditawarkan jawatan Menteri ataupun Timbalan Menteri bagi memperkasakan dirinya untuk memimpin MIC selepas ini?

Banyak sangat persoalan dan andaian politik dalam isu peralihan kuasa antara Samy Vellu dan Palanivel sejak kebekalangan ini. Samy Vellu dan Palanivel perlu mencari satu kata sepakat dengan segera.

Mereka perlu mendahulukan kepentingan masa depan MIC dan masyarakat india. MIC tidak boleh terus bergerak dalam 'politik andaian' selepas ini.

Kemunculan semula bekas Naib Presiden MIC Datuk S. Sothinathan ke kancah politik MIC bersama Samy Vellu di Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor baru-baru ini turut menjadi perbualan hangat. Bagaimana pula hala tuju politik bekas Timbalan Presiden MIC Datuk S. Subramaniam selepas ini?

Sudah tentu Samy Vellu memiliki jawapannya. Selepas berjaya mengembalikan semula kekuatan MIC di Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor, sudah pasti beliau tidak mahu dirinya dihukum lagi selepas ini sepertimana yang dilaluinya pada PRU 2008. Masanya sudah tiba untuk mendengar suara rakyat.

1 comment:

Tok Pambu said...

Sebenar nya MIC masih sama seperti selepas PRU12. P94 HS tidak boleh dijadikan kayu ukuran untuk menyatakan MIC sudah pulih.

Jika sekiranya UMNO tidak letak kan MIC sebagai calun, sudah pasti BN tumbang di P94 HS.