Firman Allah SWT yang bermaksud: Adapun orang-orang kafir, maka Aku (Allah) akan menyeksa mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat, dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat menolong. Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka, dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. Demikianlah (perihal Nabi Isa), yang Kami membacakannya kepadamu (Wahai Muhammad, adalah ia) sebahagian dari hujah-hujah keterangan (yang membuktikan kebenarannya), dan dari al-Quran yang penuh dengan hikmat-hikmat - (pengetahuan yang tepat, lagi sentiasa terpelihara). (ali-‘Imran: 56-58)Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Ayat-ayat ini merupakan kesinambungan daripada kisah yang terdahulu iaitu peperangan yang berlangsung antara kebaikan dan kejahatan".
Muhammad Quraish Shihab berkata: "Selepas Allah menjelaskan bagaimana ganjaran yang akan diperolehi Isa a.s, maka Allah menyatakan balasan yang menanti orang-orang kafir yang melakukan dan merestui tipu daya terhadap beliau serta ganjaran yang menanti orang yang beriman".
Ayat ke-56
Firman Allah SWT yang bermaksud: Adapun orang-orang kafir, maka Aku (Allah) akan menyeksa mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat, dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat menolong.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn Jauzi berkata: "Maksud mereka yang kafir dalam ayat ini adalah Yahudi dan Nasrani dan azab yang ditimpa ke atas mereka di dunia dengan pedang dan jizyah sedangkan di akhirat dengan api neraka".
ii. Al-Qurtubi berkata: "Azab yang dikenakan terhadap orang kafir dengan pembunuhan disalib, ditawan dan dikenakan jizyah sedangkan di akhirat dikenakan azab neraka".
iii. Al-Maraghi berkata: "Orang Yahudi yang mendustaimu akan Aku jatuhkan seksaan ke atas mereka ini dengan pelbagai seksaan di dunia, seperti pembunuhan, menjadi tawanan dan dikuasai oleh bangsa-bangsa lain. Sedangkan, seksaan di akhirat nanti lebih dahsyat dan lebih memedihkan. Pada saat mereka tidak akan menemui sebarang penolong pun, sebagaimana mereka tidak menemukannya ketika di dunia ini".
iv. Hamka berkata: "Ajaran agama bukanlah semata-mata untuk keselamatan akhirat sahaja bahkan terlebih dahulu seksaan dunia akan dirasainya. Di dalam ilmu akhlak diterangkan betapa hidup yang lurus di dunia dengan kebersihan akhlak, moral dan mental.
"Tanggungjawab kepada Allah SWT dan juga pada manusia. Kekayaan, pangkat dan jabatan yang tinggi, harta benda yang melimpah ruah dan kekuasaan yang dirasai tidak akan dapat menolong menyelubungi seksaan batin kerana memilih jalan yang sesat".
Ayat ke-57
Firman Allah SWT yang bermaksud: Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka, dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Al-Maraghi berkata: "Allah SWT tidak menyukai seseorang yang menzalimi hak orang lain, atau melakukan sesuatu yang tidak sewajarnya.
"Oleh kerana itu bagaimana Dia boleh membuat zalim ke atas hamba-Nya, sedangkan Dialah memberi balasan kepada hamba-Nya dengan sewajarnya".
Ayat ini merupakan ancaman daripada Allah SWT terhadap orang yang kafir kepada-Nya dan juga kepada Rasul-rasul-Nya. Sebaliknya ia merupakan khabar gembira kepada orang yang beriman kepada-Nya dan Rasul-rasul-Nya.
ii. Hamka berkata: "Orang-orang soleh akan diberi ganjaran dengan sempurna di dunia sampai akhirat. Bila iman sudah sebati di dalam jiwa, segala amalan untuk kebaikan mudah dilakukan maka di akhirat kelak syurga balasan untuk mereka yang beriman kepada Allah SWT".
Ayat 58
Firman Allah SWT yang bermaksud : Demikianlah (perihal Nabi Isa), yang Kami membacakannya kepadamu (Wahai Muhammad, adalah ia) sebahagian dari hujah-hujah keterangan (yang membuktikan kebenarannya), dan dari Al-Quran yang penuh dengan hikmat-hikmat - (pengetahuan yang tepat, lagi sentiasa terpelihara).
Iktibar dan fiqh ayat :
i. Ibn Abbas r.a berkata: "Maksud zikir al-Hakim ialah al-Quran".
ii. Al-Zajjaj berkata: "Makna zikir al-Hakim pada susunan dan nazamnya serta menerangkan segala faedah daripadanya".
iii. Ibn Kathir berkata : "Ini yang kami kisahkan kepadamu hai Muhammad berkenaan dengan perihal Nabi Isa sejak kelahirannya dan apa yang Allah wahyukan kepadanya tanpa syak dan ragu lagi".
iv. Al-Maraghi berkata: "Kisah dalam al-Quran yang menjelaskan pelbagai pengajaran daripada cerita dan hukum memberi petunjuk kepada orang beriman mengenai inti pati agamanya, pemahaman syariat dan rahsia dikumpulkan manusia pada hari kiamat.
"Ayat-ayat ini akan menjadi hujah terhadap rombongan Nasrani Najran yang membantahnya dan Yahudi Bani Israel yang mendustakannya serta kebenaran yang kamu bawa kepada mereka".
v. Hamka berkata: "Telah diceritakan betapa Bani Israel, tegasnya Yahudi mencuba segala tipu daya mereka hendak menjerumuskan Nabi Isa ke dalam lembah kesengsaraan.
"Bahkan hendak membunuhnya sekali kerana mereka telah kafir dan tidak mahu menerima risalah Nabi Isa. Mereka gagal berbuat demikian kerana Allah SWT telah memuliakan Nabi Isa a.s dan memeliharanya".
Daripada ayat-ayat yang dibincangkan jelas menunjukkan sewajarnya kita menempatkan Nabi Allah Isa pada tempatnya dengan berpandukan kepada ayat-ayat Allah. Semoga kita menjadi hamba yang beriman dan berpegang kepada kebenaran. Amin.
No comments:
Post a Comment