Geng Bas Sekolah

December 12, 2008

Penjenamaan semula institusi masjid

MASJID adalah mercu tanda ketamadunan dan kegemilangan umat Islam di seluruh dunia. Masjid juga institusi terpenting dalam meningkatkan mutu kehidupan masyarakat Islam di samping sebagai pusat ibadat dan penggerak aktiviti sosial serta ekonomi masyarakat.

Ini adalah seiring dengan usaha kerajaan menyatupadukan umat di semua peringkat menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan secara bersepadu.

Antara ciri masjid yang perlu diterapkan adalah pengisian program terancang dan menarik.

Pihak masjid juga mampu mencari sumber pendapatan menerusi aktiviti untuk membiayai pengurusan dengan menjalankan perniagaan atau sumbangan umum tanpa memerlukan peruntukan kerajaan semata-mata.

Segala aktiviti mestilah membabitkan segenap lapisan masyarakat serta memberi manfaat kepada pelbagai pihak seperti mewujudkan pusat dialisis, dana kebajikan, bantuan pelajar dan yayasan kebajikan.

Persepsi dan perspektif masjid hanyalah sebagai tempat melaksanakan ibadat semata-mata adalah salah dan menyeleweng daripada pengertian, fungsi serta status sebenar institusi berkenaan.

Masjid bukanlah medan atau tempat untuk memecah belah masyarakat seperti berlaku di sesetengah tempat di negara ini dan luar negara.

Firman Allah yang bermaksud: “Hanya yang layak memakmurkan masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mereka mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, dan tidak takut melainkan kepada Allah, diharapkan mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk.” (At-Taubah: 18).

Pembangunan modal insan juga wajar bermula di masjid dalam menjana pemikiran generasi muda agar tidak menyeleweng daripada landasan agama serta menjadi aset kepada pembentukan negara maju.

Atas kefahaman dan pandangan yang salah menyebabkan banyak masjid dan surau hanya dibuka ketika waktu solat dan ditutup semula selepas itu.

Masjid seolah-olah hanya dijadikan tempat untuk ibadat solat lima waktu atau solat Jumaat dan hari raya, kelas pengajian mingguan dan bulanan, majlis tahlil dan bacaan Yasin pada malam Jumaat, kenduri kesyukuran atau kematian dan tidak lebih dari itu.

Realiti yang berlaku itu hanya akan merencatkan kredibiliti masjid sebenar jika dibiarkan berlarutan.

Pihak bertanggungjawab untuk kepentingan dan pembangunan masjid perlu melakukan sesuatu bagi mengembalikan maruah dan kewibawaan masjid sepertimana dituntut agama.

Masjid tidak boleh digunakan untuk ibadah ritual sahaja.

Ia mesti diberi nilai tambah agar berfungsi lebih berkesan dan rakyat mendapat manfaat daripadanya.

Jika faktor keselamatan dijadikan alasan kenapa masjid ditutup atau untuk mengelak berlakunya kecurian dan vandalisme, jawatankuasa masjid boleh menugaskan ahli atau jemaah memastikan perkara berkenaan agar tidak berlaku.

Untuk lebih mudah lagi ialah menggunakan khidmat pengawal keselamatan berbayar atau bergaji.

Kos untuk membayar dan menyelenggara keselamatan masjid boleh diambil daripada tabung masjid hasil sumbangan orang ramai daripada dibiarkan dalam akaun bank tanpa digunakan.

Menjadikan institusi itu atau meletakkannya di kedudukan sedemikian rupa dan tidak meletakkannya pada kedudukan asal, hanyalah menghina ketinggian dan cubaan menafikan fungsi sebenar masjid kepada masyarakat Islam dan bukan Islam.

Dalam pada itu, masjid juga boleh menjadi penjana ekonomi setempat dengan mewujudkan koperasi atau pusat perniagaan dan menjalankan kegiatan ekonomi seperti membuka kedai runcit, pusat fotokopi dan alat tulis, kedai dobi, kedai buku dan sebagainya di perkarangan masjid.

Bahkan masjid boleh membenarkan pembukaan klinik atau pusat kesihatan, pusat jagaan dan transit kanak-kanak dan taman asuhan kanak-kanak atau pusat tuisyen pelajar sekolah rendah dan menengah bagi kemudahan masyarakat setempat di samping kelas pengajian atau aktiviti masjid sedia ada.

Memandangkan hampir semua masjid berada di lokasi strategik seperti di tepi jalan dan tempat tumpuan, maka peluang itu perlu direbut.

Melalui pulangan yang diperoleh boleh digunakan untuk pembangunan masjid dan ahli khariah.

Dengan jumlah lebih 10,000 masjid dan surau di negara ini serta sebagai pusat ibadat dan ekonomi umat Islam, wajar ia dijadikan sebagai medan penjanaan sosial dan maklumat umat Islam.

Institusi terpenting umat Islam itu mampu menjadi medan percambahan dan perkongsian ilmu, maklumat, teknologi dan sebagainya.

Kini masjid perlu dijenama dan dijelmakan semula dalam bentuk serta realitinya yang sebenar.

Bagi memantapkan institusi masjid di seluruh negara, kewujudan e-masjid dan k-masjid umpamanya perlu direalisasikan segera.

Masjid dan surau perlu seiring inovasi ICT dengan ledakan teknologi dan maklumat global.

Jika dapat direalisasikan, maka imej dan integriti masjid dapat dilonjakkan pada tahap tertinggi serta berlakunya anjakan paradigma ahli jawatankuasa masjid, jemaah, ahli khariah dan sebagainya.

Masjid akan lebih dihormati, dikunjungi dan dimeriahkan dengan pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan, ekonomi dan ibadat ritual.

Dengan memiliki laman web, blog dan portal masing-masing, jemaah, ahli kariah atau siapa sahaja mudah menghubungi pihak pengurusan dan pentadbiran masjid bila-bila masa.

AJK masjid mestilah celik komputer dan ICT agar usaha murni itu dapat dilakukan segera.

Rata-rata AJK masjid terdiri daripada golongan muda dan berpelajaran, maka isu tidak tahu komputer dan internet tidak timbul melainkan generasi tua yang boleh diberikan pengecualian.

Kemudahan laman web membolehkan ahli kariah dan jemaah serta orang ramai menyemak dan mengemaskini program harian, mingguan, bulanan dan tahunan masjid.

Inovasi blog pula membolehkan imam dan jemaah bertukar-tukar pandangan, informasi dan sebagainya manakala kewujudan portal hukum umpamanya memudahkan sesiapa sahaja merujuk atau bertanya soalan kepada imam dan ustaz yang bertanggungjawab.

Untuk itu, ahli jawatankuasa masjid perlu memiliki alamat emel masing-masing agar jemaah dapat berkomunikasi melalui medium berkenaan.

Sebarang bentuk pengumuman, makluman dan hebahan berkenaan program masjid atau perkara berkaitan boleh dilakukan melalui emel.

Ini akan memudahkan maklumat sampai kepada sasaran dengan lebih cepat berbanding melalui penghantaran surat, pengumuman melalui pembesar suara, poster dan sebagainya.

Masjid wajar dilengkapi kemudahan zon Wi-Fi atau capaian Internet tanpa wayar secara percuma.

Jika masjid mempunyai kemudahan Wi-Fi, jemaah boleh melayari laman web dengan mudah dengan hanya menggunakan telefon bimbit atau komputer riba ketika berurusan di masjid.

Ini akan menarik lebih ramai anak muda datang ke masjid dan orang ramai juga termasuk masyarakat bukan Islam serta jemaah luar kariah ataupun musafir dapat menggunakan kemudahan dan manfaat teknologi berkenaan.

Melihat kepada potensi besar yang ada pada masjid, persepsi kuno masjid sebagai tempat ibadat ritual sahaja sudah tidak relevan dan perlu diubah segera.

No comments: