Geng Bas Sekolah

December 12, 2008

Keistimewaan Zulhijah

ZULHIJJAH adalah bulan kedua belas dalam takwim hijrah dan tergolong dalam bulan haram selain dari Muharam, Rejab dan Zulkaedah.

Kelebihan bulan mulia ini disebutkan Allah di dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati.


Demikianlah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya dirimu dalam bulan itu; dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa. (at-Taubah: 36)

Zulhijjah bermaksud yang memiliki haji kerana rukun Islam kelima itu ditunaikan dalam bulan berkenaan. Amalan mulia ini dilakukan Nabi Ibrahim a.s dan diteruskan anak cucunya daripada keturunan Nabi Ismail a.s sehingga zaman Rasulullah s.a.w.

Bulan ini menghimpunkan banyak keistimewaan yang disediakan Allah bagi Muslim yang mengharapkan keredaan dan pengampunan Allah.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Tiada suatu hari pun amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari ini, iaitu sepuluh hari Zulhijjah.

Sahabat Baginda bertanya: Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah? Ujar Baginda: Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi sesiapa yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkan ucapan tahlil (La Ilaha Illallah), takbir (Allahu Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah).” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Rasulullah s.a.w juga tidak ketinggalan menyatakan beberapa amalan yang sangat dianjurkan pada bulan ini, antaranya:

  • Menunaikan ibadat haji dan umrah sebaik-baik amalan.

  • Berpuasa pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah, terutama pada hari Arafah. Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: “Puasa pada hari Arafah dengan penuh pengharapan keredaan Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang. (Hadis riwayat Muslim)

  • Bertakbir (Allahu Akbar) dan membasahkan lidah dengan pelbagai zikir pada sepuluh hari Zulhijjah. Firman Allah yang bermaksud: “Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum.” (al-Hajj: 28)

    Disyariatkan juga bertakbir pada hari yang mulia itu sama ada pada siang atau malam terutama selepas menunaikan solat fardu (dikerjakan secara berjemaah). Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadat haji, takbir bermula dari waktu Subuh hari Arafah dan bagi yang menunaikan haji, takbir bermula pada waktu Zuhur Aidiladha pertama iaitu pada 10 Zulhijjah. Semuanya berakhir pada waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.

  • Bertaubat dan seterusnya meninggalkan semua perkara maksiat dan dosa. Dalam masa sama, memperbanyakkan amalan baik dengan tujuan mencapai keampunan dan rahmat Allah.

  • Memperbanyakkan amalan baik terutama amalan sunat yang sangat dianjurkan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kebaikan, mencegah kemungkaran dan sebagainya kerana semua amalan dilakukan pada hari berkenaan digandakan ganjarannya di sisi Allah.

  • Disyariatkan umat Islam yang berkemampuan untuk melakukan amalan korban pada Hari Raya Haji dan hari-hari Tasyriq yang berikutnya iaitu pada hari ke-11, 12 dan 13 Zulhijjah.

  • Setiap Muslim hendaklah menunaikan solat Aidiladha berjemaah dan mendengar khutbah supaya mendapat pengajaran daripadanya.
  • 1 comment:

    Taminsari said...

    Salam perjuangan...rakan blogger muslim diserang oleh kafirun....sila lihat comment para kafirun ini di.

    http://redssays.blogspot.com/2008/11/why-has-muslim-world-failed-to-develop.html