Geng Bas Sekolah

October 23, 2008

BBSN perlu terus berperanan

BAHASA Melayu adalah antara aspek yang paling gencar diperkatakan oleh Munshi Abdullah Munshi Abdul Kadir dalam karya magnum orpusnya, Hikayat Abdullah (1840) dan Kisah Pelayaran Abdullah (1837).

Beliau antara lain mengkritik dan membidas segelintir masyarakat Melayu pada era tersebut yang berbangga dengan bahasa serta kebudayaan asing. Hasilnya, bahasa Melayu ketika itu tidak dapat berkembang dengan cepat.

Dalam kedua-dua karya itu, Munshi Abdullah sebaliknya memuji sikap penjajah Inggeris yang bersungguh-sungguh mempelajari bahasa Melayu seperti Stamford Raffles yang mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Malah, Raffles turut menunjukkan minat yang luar biasa terhadap pengumpulan manuskrip-manuskrip Melayu pada ketika itu.

Begitu juga beberapa paderi Inggeris seperti W. Milne dan C.H. Thomsen yang berusaha memahami bahasa Melayu yang pastinya bertujuan untuk menyebarkan agama Kristian di Tanah Melayu.

Fenomena yang diperkatakan oleh Munshi Abdullah itu sebenarnya tidak ada noktahnya. Malah, ia semakin mendukacitakan.

Ia menjadi persoalan yang terus menghantui negara ini yang sebenarnya terjebak dalam polemik keterbukaan dan kelonggaran untuk banyak pihak untuk tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Selepas negara mengecapi kemerdekaan, pada 31 Ogos 1957, usaha untuk mengangkat dan memberi ruang yang seluas- luasnya kepada bahasa Melayu sesuai dengan kedudukannya dalam Perlembagaan negara tidak pernah berhenti terutamanya melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang salah satu tujuan penubuhannya ialah bagi memperkasakan bahasa kebangsaan.

Hari ini, sekali lagi DBP, sebagai induk penggerak kepada perkembangan bahasa Melayu kembali melaksanakan tugasnya (yang kadang-kadang tidak pernah difahami oleh segelintir masyarakat di negara ini).

Bertempat di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah akan berlangsungnya majlis perasmian Bulan Bahasa dan Sastera Negara 2008 Peringkat Kebangsaan (BBSN). Ia akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah.

Antara objektifnya adalah bagi membangkitkan rasa cinta kepada bahasa kebangsaan, sekali gus memberi ruang kepada bahasa Melayu mengangkat imej dan martabatnya yang 'diperlekehkan' oleh bahasa asing.

Selain itu, sikap segelintir masyarakat kita sendiri yang menerima bahasa Melayu sebagai bahasa etnik, bukannya bahasa persatuan dan kesatuan juga merumitkan lagi keadaan. Sejak lebih sedekad lalu, dalam banyak keadaan bahasa Melayu dilayan dengan cara yang tidak sewajarnya.

Kini secara terang-terangan pula papan tanda jalan yang sekian lama mewajibkan penggunaan ejaan dalam bahasa Melayu dan tulisan jawi cuba dicabar dan diganti dengan bahasa Tamil, Cina atau Inggeris sama seperti mempertikaikan kedudukan etnik Melayu sebagai penduduk asal Nusantara.

Usaha dan pandangan tersebut seolah- olah meletakkan bahasa kebangsaan setaraf dengan bahasa-bahasa etnik lain seperti Cina, Tamil dan puluhan bahasa suku kaum lain di Sabah dan Sarawak.

Atau, diletakkan sama taraf dengan daerah di Kelantan, Terengganu, Kedah dan sebagainya. Itukah yang layak digelar sebagai bahasa kebangsaan?

Di bawah Perlembagaan Persekutuan 1957 di bawah Perkara 152, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah dijamin dan mempunyai hak yang mutlak.

Namun, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/ 1967 (Akta 32) telah diwujudkan bertujuan memastikan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dicernakan dalam semua bidang rasmi, kehidupan, perundangan dan aspek kewangan.

Akta itu juga (yang telah disemak pada 1971) menetapkan bahasa Melayu juga mesti menjadi bahasa rasmi bagi semua negeri termasuklah di Sabah dan Sarawak.

Persoalannya, ada pihak yang tidak mengendahkan kedudukan ini. Akhirnya, bahasa Melayu tetap berada pada tahap lama atau mungkin lebih ketinggalan berbanding dengan bahasa-bahasa lain walaupun kononnya dipertuturkan oleh lebih 200 juta etnik Melayu di Nusantara termasuk Indochina.

Sempena BBSN 2008, DBP juga telah mengatur pengisian program berkaitan bahasa, sastera dan kebudayaan dengan mengajak pelbagai kaum di negara ini menghayati dan menzahirkan bahasa Melayu ke dalam ruang lingkup lebih luas.

Justeru, sempena tibanya sambutan BBSN kita berharap ia mampu mencetuskan kepekaan serta kesedaran orang ramai terutamanya bangsa Melayu agar bahasa ibunda itu terus kekal dan bermartabat di bumi pertiwi ini.

No comments: