Geng Bas Sekolah

October 23, 2008

Bantah peruntukan zakat kepada bukan Islam

Dua anggota pembangkang mempersoalkan langkah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kota Damansara, Dr. Mohd. Nasir Hashim yang mencadangkan agar kerajaan negeri menyalurkan sebahagian peruntukan zakat kepada bukan Islam di Selangor.

Datuk Dr. Satim Diman (BN-Sri Serdang) dan Abdul Shukur Idrus (BN-Kuang) berkata, soal pengurusan wang zakat tidak harus dibangkitkan oleh mana-mana pihak dan dijadikan isu untuk kepentingan politik.

Menurutnya, wang zakat yang dikumpul adalah untuk diagih-agihkan kepada lapan asnaf yang telah ditetapkan agama Islam.

"Wang zakat itu memang digunakan untuk kebajikan orang Islam, anggota parti komponen BN (Barisan Nasional) dari kaum Cina dan India juga faham.

"Tetapi kini ia timbul atas kedangkalan wakil-wakil rakyat dari Pakatan Rakyat yang mempunyai unsur-unsur kepentingan politik sampai sanggup menggadai, walaupun agamanya sendiri," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Semalam Mohd. Nasir yang juga Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) membangkitkan perkara itu ketika sesi soal jawab pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, sebagai salah satu pendekatan yang boleh diambil oleh kerajaan negeri pakatan pembangkang untuk menangani masalah kemiskinan di kalangan bukan Islam.

Bagaimanapun Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam reaksinya semalam berkata, cadangan itu tidak mungkin dilaksanakan pada masa ini memandangkan dana kutipan zakat diperoleh daripada penyumbang yang beragama Islam.

Sementara itu, Abdul Shukur mengingatkan semua pihak supaya menghormati hak-hak yang ditetapkan untuk orang Islam.

"Dalam soal ini, tidak perlu ditimbulkan oleh orang Melayu beragama Islam, kalau kita tidak berilmu dalam soal ini, lebih baik kita diam," ujarnya.

Dalam pada itu Mohd. Nasir memberitahu, beliau hanya menimbulkan soalan dan bukannya membuat cadangan seperti dilaporkan media.

"Sebenarnya saya hendakkan penjelasan pasal perkara itu tergantung, itu terpulang kepada masing-masing, kita tidak faham, kita tanya orang lain yang tahu.

"Bukan hak saya hendak mempertikaikan apa yang telah ditetapkan," tegasnya.

1 comment:

Desperado said...

Orang singkat akal memang macam itu lah kata-katanya!