Malahan kehadiran Ramadan disambut dengan penuh kesyukuran kerana Ramadan adalah bulan istimewa. Tiada nama bulan yang disebutkan dalam al-Quran kecuali Ramadan.
Kita perlu memahami bahawa enam bulan sebelum Ramadan, para sahabat sudah menanti dan mempersiapkan diri untuk menyambutnya.
Rasulullah SAW sejak Rejab sering berdoa, "Ya Allah, berkati kami pada bulan Rejab dan bulan Syaaban dan hantarkan kami sampai bulan Ramadan.''
Dan apabila Ramadan tiba, Rasulullah SAW sering mengingatkan para sahabat baginda melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud;
''Telah datang kepada kamu sekalian bulan penuh keberkatan, Allah mewajibkan puasa di dalamnya, pintu-pintu syurga dibuka lebar, pintu-pintu neraka ditutup rapat, dan para syaitan dibelenggu.
''Allah memiliki di dalam Ramadan suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barang siapa yang tidak mendapatkan kebaikan malam itu, sungguh dia sangat rugi.''
Bagaimanapun kita tidak harus berpuasa semata-mata kerana ia Ramadan. Sebaliknya kita harus memastikan bahawa puasa kita itu bukan sekadar menahan lapar dan dahaga.
Apa yang lebih mustahak melalui amalan puasa yang kita lakukan ia akan meningkatkan ketakwaan kita ke hadrat Allah SWT. Apatah lagi Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan, keampunan, rahmat dan kasih sayang Allah SWT.
Di bulan ini, Allah SWT mewajibkan kepada seluruh orang yang beriman untuk melaksanakan ibadah puasa seperti mana firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa."
Pada bulan Ramadan juga, Allah SWT menurunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi umat manusia dan terutama bagi orang-orang yang bertakwa iaitu orang- orang yang hidupnya ingin meraih kebahagiaan dan kesejahteraan yang hakiki, baik di dunia ini maupun di akhirat nanti.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 185: "(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembezaan (antara yang hak dan yang batil)."
Ramadan disebut juga bulan yang penuh keberkatan kerana terdapat banyak keutamaan dan keistimewaan di dalamnya.
Allah berjanji akan mengampuni dosa-dosa orang yang bersalah bila mereka segera bertaubat dan memohon ampunan Allah. Allah akan memakbulkan segala permohonan, bila mana hamba-hamba-Nya mahu meminta dan berdoa kepada-Nya.
Oleh itu, janganlah kita sia-siakan peluang keemasan yang diberikan oleh Allah SWT ini. Tanamkanlah keazaman dan tekad untuk melaksanakan ibadah puasa dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan.
Berpuasa bagi orang yang beriman bukanlah semata-mata menahan diri untuk tidak makan dan minum pada siang hari.
Akan tetapi, lebih jauh dari itu, menahan diri untuk tidak melakukan perbuatan, tindakan, dan ucapan yang tidak ada mendatangkan faedah.
Sesungguhnya ibadat yang kita lakukan di bulan puasa bagi sahaja akan mampu meningkat ketakwaan kepada Allah SWT malahan mampu mendidik kita menjadi insan yang akan mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Pada bulan suci ini juga, marilah kita mengambil kesempatan untuk mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.
Ia boleh dilakukan melalui malan berbuka puasa beramai-ramai dan bertarawih bersama-sama mampu memperkukuhkan ukhuwah Islamiah antara kita.
Terima Kasih Kerana Sudi Membaca
No comments:
Post a Comment