Apa yang pasti ada di antara kita akan merasai ketiadaan orang tersayang pada Ramadan kali ini. Mungkin ibu, bapa, kakak, adik, abang atau anak. Maka jangan dibiarkan bulan ini berlalu tanpa pengisian amalan yang sewajarnya.
Semoga kita diberi ‘kekuatan’ untuk menunaikan salah satu daripada Rukun Islam itu. Pelbagai tanggapan dibuat mengenai Ramadan ini.
Selain sebagai bulan ibadat, ada yang menganggap Ramadan sebagai pesta makan dan pesta membeli-belah menjelang hari raya. Lihat sahaja bazar Ramadan yang tumbuh bagaikan cendawan. Mulai petang ini berduyun-duyun manusia memenuhi bazar Ramadan ini untuk mencari juadah berbuka.
Macam-macam makanan dan minuman dijual. Nafsu makan seolah-olah tidak terkawal apabila melihat hampir kesemua jari tangan memegang plastik yang terisi pelbagai juadah.
Membelilah ikut keperluan bukan nafsu sehingga berlaku pembaziran. Bagaimanapun ia secara tidak langsung membuka pintu rezeki kepada peniaga-peniaga.
Begitu juga dengan pelbagai program masakan di kebanyakan saluran televisyen. Hotel dan restoran juga mengadakan pelbagai pakej berbuka puasa. Sambutan yang diberikan juga hebat. Itulah lambang kemewahan rakyat Malaysia.
Biar apa pun tanggapan mengenai bulan ini, jadikanlah Ramadan bulan ibadat sepenuhnya.
Penuhilah dengan ibadat sembahyang sunat tarawih, witir, tadarus al-Quran dan lain-lain amal kebajikan.
Ramadan juga boleh dijadikan bulan muhasabah diri atau menilai semula apa yang dilakukan dalam usaha memperbaiki kelemahan yang ada. Ramadan mampu mengajar atau membentuk diri kita untuk meninggalkan perkara-perkara yang dilarang.
Jadi janganlah menjadikan puasa sekadar bulan pesta makan ketika menghampiri waktu berbuka atau pesta membeli-belah menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Sama-samalah kita penuhkan surau dan masjid dengan majlis-majlis ilmu ketika rehat waktu makan tengah hari (solat zuhur) dan waktu minum petang (waktu asar) dan pada sebelah malamnya pula dengan solat sunat tarawih dan witir.
Bagi kebanyakan kita, Ramadan kali ini bukan yang pertama dilalui. Maka tidak perlulah berkomentar lagi sama ada hendak dilakukan lapan rakaat tarawih campur tiga witir (8+3) atau 20 campur 3 (20+3). Isu ini sering timbul pada bulan Ramadan. Ada yang nak buat lapan dan ada pula nak buat 20.
Pada masa yang sama ada pula yang menyelitkan dengan tazkirah serta tahlil. Terpulanglah kepada jawatankuasa surau dan masjid sama ada nak teruskan dengan tazkirah atau solat tarawih terus menerus tanpa diselitkan tazkirah.
Harus diingat, tarawih datang setahun sekali tetapi tazkirah boleh diadakan pada bila-bila masa. Tarawih ada kelebihannya. Dari Abu Hurairah (r.a) bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: ‘‘Barangsiapa yang mendirikan sembahyang (Tarawih) pada malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka Allah ampunkan segala dosanya yang telah lalu’’ (Diriwayatkan oleh Muslim).
Justeru jangan jauhkan ahli jemaah yang berkobar-kobar untuk menunaikan solat sunat setahun sekali itu. Tidak dinafikan, tazkirah selepas solat menyebabkan ramai yang angkat kaki sebaik sahaja selesai tarawih.
Maka ada surau yang melakukan solat sunat tarawih empat rakaat diikuti tazkirah sebelum menyambung semula empat rakaat. Dan tazkirah pula janganlah diserapkan unsur-unsur politik, tak kiralah sama ada yang memihak kepada pihak kerajaan yang memerintah atau sebaliknya.
Janganlah kita musnahkan hubungan erat silaturahim, kasih sayang dan perpaduan semasa solat berjemaah dengan tazkirah yang berunsurkan politik. Ingatlah tidak semua jemaah ahli parti politik. Malahan ada yang langsung tidak peduli soal politik.
Dan kepada umat Melayu seluruhnya, jadikan kehadiran Ramadan ruang terbaik kepada orang Melayu merapatkan hubungan silaturahim seterusnya mewujudkan perpaduan yang utuh. Hilangkan perasaan angkuh, bongkak dan ego masing-masing.
Pada bulan ini juga, banyak majlis berbuka puasa diadakan oleh pelbagai pihak. Di samping meraikan saudara mara, sahabat handai, rakan-rakan perniagaan, banyak pihak tidak melupakan mereka yang kurang bernasib baik terutama anak-anak yatim.
Maka berlumba-lumba orang ramai mahu menghulurkan sumbangan kepada anak-anak yatim ini. Di samping berbuka, sumbangan turut diberikan untuk persiapan hari raya.
Bagi orang korporat pula, bukanlah tujuan mereka mahu menunjuk-nunjuk tetapi ia tanda mensyukuri nikmat yang diberi. Hasil yang diperoleh mahu dikongsi bersama dengan orang-orang yang tidak mampu. Maka diharapkan, ketika sumbangan mencurah-curah itu, tidak ada rumah anak yatim terpaksa menolak rezeki kerana ‘diari sudah penuh’.
Bagi peniaga pula, Ramadan juga memberi peluang kepada mereka untuk menambah pendapatan. Mereka sama ada menjual juadah berbuka/bersahur atau menjual pakaian serta persiapan menyambut hari raya.
Pihak berkuasa tempatan eloklah memberi peluang kepada orang Melayu Islam ini untuk menambah pendapatan. Tidak payahlah kecoh-kecoh dengan rezeki setahun sekali itu.
Diharapkan tidak ada lagi isu peniaga ‘dihalau’ seperti yang pernah berlaku di Pulau Pinang di bawah pentadbiran kerajaan DAP.
Bagi orang politik terutama wakil rakyat, Ramadan juga memberi peluang mereka mendekati rakyat.
Tempoh sebulan itu boleh dimanfaatkan untuk bersama rakyat sama ada ketika berbuka puasa atau solat tarawih. Ramai orang politik menjelajahi satu persatu surau dan masjid di kawasan masing-masing.
Bukanlah bermakna sebelum ini mereka tidak berbuat demikian tetapi sentuhan Ramadan ada kelebihannya. Begitulah di sebalik kedatangan Ramadan.
Apa yang penting penuhilah tuntutan Ramadan terlebih dahulu. Raikan tetamu (Ramadan) yang lebih awal datang daripada kita meninggalkan tetamu itu untuk menyambut tetamu berikutnya, Syawal.
Sikap inilah yang menyebabkan setiap saf dalam surau dan masjid hanya penuh pada minggu pertama dan kedua sehingga melimpah keluar tetapi mulai merosot menjelang hampirnya Hari Raya Aidilfitri kerana masing-masing mahu menyambut Syawal.
Selamat berpuasa tetapi jangan sekadar beroleh lapar dan dahaga sahaja! - Utusan Malaysia
Terima Kasih Kerana Sudi Membaca
1 comment:
PASRAEL PLAK PENUHKAN BULAN PUASE DGN POLITIK SEMPIT SESEMPIT OTAK DIORANG GAK KEHKEHKEH
Post a Comment