Geng Bas Sekolah

July 21, 2015

FELDA BINCANG ISU BAUKSIT


Felda akan berbincang dengan kerajaan negeri Pahang mengenai isu kegiatan perlombongan bauksit di sekitar Felda Bukit Goh dalam tempoh terdekat ini.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, buat sementara waktu Felda telah mengambil tindakan dengan menghentikan semua permohonan serta kegiatan perlombongan bauksit di kawasan tersebut.

“Perbincangan ini penting supaya semua pihak mendapat nikmat alam. Kita hendak sekiranya hasil dikeluarkan, peneroka mendapat nikmat dan kerajaan ne­geri juga mendapat nikmat, tetapi mesti dibuat secara yang terbaik.

“Oleh sebab kerajaan negeri Pahang telah mengambil tindakan, maka kita (Felda) juga akan bekukan semua permohonan dan kegiatan perlombongan bauksit di sekitar Felda Bukit Goh,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan pe­neroka yang tertipu dalam isu berkaitan perlombongan bauksit di Felda Bukit Goh baru-baru ini.

Media sebelum ini melaporkan, 71 peneroka di Bukit Goh yang memberi kebenaran tanah mereka sebagai tapak melombong bauksit, mendakwa mereka teraniaya dalam perjanjian melibatkan aktiviti perlombongan itu.

Menurut Mohd. Isa, Felda akan bersama kerajaan negeri Pahang untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut bagi memberi faedah kepada semua pihak.

“Dalam apa jua perkara, sepatutnya peneroka merujuk kepada Felda sebab kita ada jabatan perundangan yang boleh melihat perjanjian dibuat supaya memberi faedah kepada semua pihak iaitu peneroka dapat faedah, pelombong (pemaju) pun dapat faedah.

“Tetapi jika tidak dirujuk kepada kita (Felda), ini yang jadi masalah. Felda mempunyai jabatan perundangan yang boleh memberi nasihat dan sebagainya,” ujarnya. - SUMBER

No comments: