Geng Bas Sekolah

Korang Kena baca ini

May 30, 2015

LALUAN TIKUS - KERAJAAN MALAYSIA PEJAM MATA


KANGAR - Kira-kira enam laluan tikus dikesan di sekitar sempadan Malaysia-Thailand di Perlis yang dipercayai digunakan sindiket pemerdagangan manusia dan penyeludupan barang.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Syed Omar, Nor Mahizan Kasim berkata, laluan tersebut telah diguna pakai ejen sindiket untuk pemerdagangan manusia yang dipercayai wujud sejak lebih 10 tahun lepas.

"Laluan merentasi sempadan Malaysia-Thailand ini telah disalah guna pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan sindiket yang asalnya digunakan oleh penduduk tempatan berikutan perhubungan persaudaraan ketika itu," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Antara laluan pintas bagi merentasi sempadan adalah Felcra Lubuk Sireh, Felda Mata Ayer, Ladang Tebu Chuping, Wang Kelian dan Kampung Syed Omar/Kampung Puju dan Bukit Batu Putih.

"Bukan sahaja perhubungan antara penduduk tempatan dan warga Thailand tetapi juga perniagaan yang diusahakan penduduk kedua-dua negara di kawasan sempadan, jadi kelonggaran itu diberi.

"Namun pihak yang tidak bertanggungjawab telah mengambil kesempatan terhadap kelonggaran itu dan menjalankan sindiket pemerdagangan manusia yang kejam," jelasnya.

Nor Mahizan berkata laluan sulit di Kampung Syed Omar-Kampung Puju di Thailand adalah antara laluan digemari sindiket penyeludupan manusia sekitar tahun 1980-an.

"Laluan pintas merentasi sempadan itu adalah antara yang popular ketika itu ekoran keadaan pokok bakau yang tebal dan kebanyakan penduduk kampung memiliki dusun di situ.

"Jadi kawalan di situ memang tidak seketat laluan lain kerana kelonggaran diberikan kepada penduduk kampung yang memiliki dusun malah ada antara dusun mereka terletak dalam sempadan Thailand," katanya.

Menurutnya, laluan pintas itu juga antara laluan yang digunakan pada tahun 1970-an untuk penyeludupan binatang ternakan yang ketika itu Malaysia amat ketat dalam keselamatan makanan import. - PAHANGKU MEDIA

1 comment:

Anonymous said...

Aik kata sempadan kita sentiasa dikawal, askar berapa banyak, polis berapa ramai..ada juga lorong yg bocor...apa dia orang buat..makan gaji buta aje kita.