April 24, 2015

SAYA TIDAK BERSEORANGAN


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tidak berasa keseorangan, apatah lagi begitu banyak badan antarabangsa, individu dan institusi yang berpengaruh mengesahkan keyakinan mereka terhadap kejayaan yang dicapai oleh Malaysia.

Menurut beliau, kesemua badan itu juga menyanjung Malaysia dengan memberi penarafan yang sangat tinggi, oleh itu beliau berasa amat yakin terhadap kestabilan dan pertumbuhan Malaysia pada waktu ini menerusi kerajaan yang ada sekarang.

“Saya sama sekali tidak berasa keseorangan. Hakikatnya, saya berasa dikelilingi teman yang menyenangkan. Sejak akhir-akhir ini kedengaran perbualan di Malaysia mengenai betapa seseorang itu berasa keseorangan untuk menyatakan kebenaran. Jadi, saya boleh beritahu anda bahawa saya tidak berasa keseorangan berdiri di hadapan anda semua hari ini,” kata Najib semasa berucap pada majlis pelancaran Invest Malaysia 2015 di sini hari ini.

Ucapan Najib itu menarik perhatian perwakilan yang memberi tepukan sambil berdiri kepada beliau.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Amirsham Abdul Aziz.

Invest Malaysia dianjurkan selama dua hari bermula hari ini dengan mempamerkan 51 buah syarikat pelaburan terbaik dalam pasaran ASEAN.

Persidangan itu turut menghimpunkan perwakilan-perwakilan daripada pelbagai syarikat multinasional dalam pelbagai sektor.

Tambah Najib, berdasarkan kestabilan serta pertumbuhan Malaysia di bawah kerajaan sekarang, beliau yakin akan dapat mengharapkan kebersamaan itu diteruskan bagi tahun depan dan tahun-tahun mendatang.

Jelasnya, Bursa Malaysia juga memainkan peranan penting dalam mencapai kejayaan-kejayaan itu dan asas ekonomi negara adalah kukuh dan berada di landasan untuk memenuhi matlamatnya mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Katanya, pasaran modal Malaysia menyaksikan pertumbuhan kukuh pada waktu ini iaitu RM2.82 trilion, hampir tiga kali ganda daripada saiz ekonomi Malaysia dengan pasaran ekuiti pada RM1.74 trilion manakala pasaran bon pada RM1.08 trilion.

Menurutnya, skala kewangan berdasarkan pasaran modal juga menunjukkan prestasi yang signifikan dengan purata tahunan RM111 bilion diperoleh menerusi bon korporat dan tawaran awam permulaan (IPO) dalam tempoh tiga tahun lalu.

“Ini menunjukkan lebih daripada dua kali ganda daripada purata RM48 bilion yang pernah dicapai sedekad lalu,” ujarnya.

Terdahulu, Bloomberg kata Najib, memberi penarafan kepada Malaysia sebagai pasaran memuncul kelima dunia dengan masa depan paling cerah pada 2015 dan satu-satunya negara ASEAN yang berada dalam kelompok 10 teratas sementara Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia pula baru-baru ini mengeluarkan laporan yang menunjukkan Malaysia menghampiri ranking teratas bagi daya saing dan mudah menjalankan perniagaan.

“Kita diletak sebaris dengan pasaran maju di Asia, seperti Jepun, Hong Kong dan Singapura, oleh Persatuan Tadbir Urus Korporat Asia,” kata Perdana Menteri.

Najib berkata, menurut Laporan Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia, Malaysia berada di tempat pertama bagi hak perundangan Pasaran Kewangan, keempat bagi Pembangunan Pasaran Kewangan dan kelapan bagi kemudahan pembiayaan menerusi pasaran ekuiti.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Di Atas Pandangan Yang Diberikan