Sebanyak 89 peratus daripada enam juta pengundi muda pada pilihan raya umum akan datang merupakan golongan yang terlibat secara aktif dalam media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube.
Pengerusi Biro Media Sosial Pemuda UMNO, Ibdilillah Ishak berkata, sehubungan itu, pihaknya telah merangka pelbagai program yang bukan sahaja tertumpu kepada aktiviti turun padang malah turut melibatkan media sosial untuk memastikan setiap pengundi baharu didekati.
Pada masa sama, katanya, Pemuda UMNO sentiasa peka terhadap isu-isu rakyat yang dibangkitkan di medium tersebut dan mengambil inisiatif memberikan penjelasan serta jawapan dengan pantas bagi mengelakkannya daripada diputar belit.
“Data ini yang dikeluarkan hujung tahun lalu menunjukkan bahawa pengundi-pengundi muda adalah kumpulan yang terdedah kepada maklumat serta bijak membuat pilihan mengikut fakta yang ada.
“Sebab itulah tugas kami dalam biro ini memberikan jawapan serta penjelasan terhadap setiap persoalan melalui cara yang santai mengikut citarasa generasi muda dan jika berjaya, saya yakin sokongan kembali kepada kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam forum bertajuk Mengubah Landskap Politik Melalui Media Sosial sempena program Minggu Media Sosial Malaysia (MSMW) 2015 di sini hari ini.
Yang turut menjadi ahli panel adalah Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan dan Exco Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.
Ibdilillah berkata, pendekatan menjelaskan isu mengikut fakta tepat yang diamalkan unit media baharu Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) ketika berdepan dengan pengguna laman sosial kini semakin diterima masyarakat.
Menurut beliau, setiap penerangan itu tidak boleh disampaikan dalam keadaan beremosi bagi menjaga kepentingan semua pihak terutama dalam isu-isu sensitif.
“Kami sentiasa berjaga-jaga dalam hal ini kerana jika terikut-ikut dengan sentimen yang dimainkan di media sosial akan menyebabkan jawapan yang diberikan pula lebih bersifat emosional.
“Jika kesilapan seperti itu berlaku, memang susah untuk dipulihkan tetapi sekiranya pendekatan yang diambil sesuai, sokongan akan diterima,” tambahnya. - SUMBER
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih Di Atas Pandangan Yang Diberikan