Geng Bas Sekolah

January 29, 2015

KEMELUT MIC SEMAKIN SERIUS, SARAVANAN DIUGUT BUNUH


Krisis MIC kini seolah-olah tiada penghujungnya. Kemuncaknya apabila pekarangan ibu pejabat parti itu di Jalan Rahmat di sini menjadi huru-hara dengan kehadiran ratusan ahli MIC serta ‘kumpulan gengster’ yang tidak dikenali.

Mereka bukan sahaja berhimpun, malah bergaduh sesama sendiri susulan pemecatan Datuk M. Saravanan sebagai Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan malam tadi.

Saravanan yang sepatutnya mengadakan sidang akhbar berhubung pemecatannya secara tiba-tiba pula dihalang masuk oleh sekumpulan lelaki yang turut mendakwa mereka adalah pengawal keselamatan yang bekerja di bawah seliaan Setiausaha Agung, Datuk G. Kumaar Aaman.

Kumpulan ini juga enggan membenarkan mana-mana pihak termasuk orang awam dan media untuk masuk ke bangunan tersebut.

Lebih dramatik lagi ialah apabila Ketua Wanita MIC, M. Mohana yang tiba di bangunan itu untuk melakukan kerja harian beliau di pejabatnya di Tingkat 5 turut dihalang daripada masuk ke premis itu dengan ‘alasan’ tidak mendapat persetujuan daripada pihak atasan.

Namun, Ketua Penerangan MIC, L. Subramaniam tampil menafikan insiden tersebut dan mengatakan dia telah pergi berjumpa dengan Saravanan sendiri untuk membenarkan Naib Presiden itu menggunakan pejabat di tingkat 2 bagi tujuan sidang akhbar.

Tidak cukup dengan itu, Saravanan turut memberi amaran kepada Palanivel supaya berhenti ‘bermain api’ selain memberinya tempoh 24 jam untuk mengadakan mesyuarat CWC bagi membincangkan hal pemecatan beliau.

Jika tidak, beliau bersama para penyokongnya yang merupakan ahli akar umbi akan mengadakan mesyuarat tersebut tanpa keha­diran Palanivel selain akan berarak ke rumah Palanivel di Hulu Kelang.

Menurut Saravanan, sekiranya masih tidak ada sebarang penyelesaian, beliau bersama Subramaniam akan bertemu sendiri Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyelamatkan parti masyarakat India itu.

Kemelut MIC ini dianggap kian parah terutama apabila insiden hari ini menunjukkan ada kalangan mereka sudah berani untuk mem­belakangi kuasa presiden.

Tambah mendukacitakan ketika ini adalah apabila budaya yang selama ini dipandang serong oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti demonstrasi, perarakan, kekecohan serta kenyataan terbuka dalam media dan ‘open fight’ dilakukan dalam komponen BN sendiri.

Kemelut MIC meruncing apabila semalam, Presiden MIC, Datuk G. Palanivel bertindak menggugurkan Saravanan dan Datuk S. Sothinathan di Negeri Sembilan.

Tindakan drastik itu berkemungkinan besar berpunca daripada pe­nganjuran mesyuarat tertutup Sabtu lalu oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam bersama 90 Ketua Bahagian berhubung isu ROS walaupun sehari sebelum itu, Palanivel mengeluarkan amaran keras beliau tidak mahu sebarang perjumpaan berkaitan krisis parti diadakan.

Bekas Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan memberi tempoh 24 jam kepada Presiden parti itu untuk mengadakan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) bagi membincangkan pemecatan beliau semalam.

Sekiranya Datuk Seri G. Palanivel gagal berbuat demikian dalam tempoh yang ditetapkan, Saravanan berikrar akan ‘mengambil kuasa’ di tangannya sendiri dengan mendapatkan persetujuan 15 ahli CWC untuk meneruskan mesyuarat tersebut tanpa kebenaran serta kehadiran Palanivel.

Dalam sidang akhbar tergempar di sini hari ini, Saravanan berkata, beliau kecewa dengan sikap Palanivel yang tidak mahu mendengar rintihan ahli MIC untuk menyelamatkan parti daripada dibatalkan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS), sebaliknya Presiden MIC itu lebih gemar membuat keputusan yang tidak bermanfaat.

“Saya tidak faham atas dasar apa saya dipecat? Adakah kerana saya terlalu vokal? Salahkah jika sayangkan parti sehingga sanggup berbuat apa sahaja demi menyelamatkan MIC? Kerana itukah saya dipecat?

“Pemecatan ini tidak sah, saya beri tempoh kepada beliau supaya segera mengadakan mesyuarat CWC yang menyokong atau membantah pemecatan ini dalam tempoh 24 jam. Saya tidak akan sesekali akur kepada keputusan ini sehingga mendapat mandat keseluruhan ahli CWC. Jangan cuba ‘memperbodohkan’ kami lagi Palanivel. Masa anda sudah tamat. Hentikan drama dan selesaikan kemelut ini,” katanya pada sidang akhbar tergempar di sini hari ini.

Datuk M. Saravanan yang baru digugurkan turut menerima ugutan bunuh ekoran kelantangan beliau dalam menangani arahan pemilihan semula oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Ugutan daripada seorang lelaki tidak dikenali yang dibuat daripada pondok telefon awam itu juga menyatakan akan menembak mati Timbalan Presiden parti, Datuk Dr. S. Subramaniam sekiranya mereka terus vokal dalam krisis MIC.

Wakil media yang menghadiri sidang akhbar Saravanan di Ibu Pejabat MIC di Jalan Rahmat di sini turut mendengar panggilan tersebut apabila pemanggil berkenaan menghubunginya buat kali kedua dan mengulangi ugutan itu.

Menurut Saravanan, beliau mencabar pemanggil tersebut untuk hadir bersemuka dengan beliau bagi menangani krisis MIC daripada terus membuat panggilan seperti itu.

“Saya tidak faham mengapa perlu ‘berdrama’ seperti ini. Saya tahu siapa di sebalik pemanggil itu, saya cabar mereka untuk tampil bersemuka daripada bertindak ‘bacul’.

“Keselamatan saya dan Subramaniam dalam keadaan tidak menentu, saya akan membuat laporan polis selain meminta keseluruhan Pemuda dan Wanita yang telah menjadi saksi kepada kejadian tersebut untuk bersama-sama saya membuat laporan polis hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Saravanan turut menempelak cara beliau ‘dihalau’ daripada memasuki pekarangan Ibu Pejabat MIC ketika mahu mengadakan sidang akhbar pagi ini.

Selain daripada Saravanan, Ketua Wanita MIC, M. Mohana turut dihalang daripada masuk ke bangunan tersebut oleh sekumpulan lelaki yang tidak dikenali.

“Bukan sahaja saya dihalang, notis pemecatan saya yang telah ditandatangani oleh Palanivel turut diserahkan oleh kumpulan itu yang rata-rata nampak seperti gengster dan bukan ahli MIC. Adakah ini cara mereka melayan saya?

“Saya diberitahu oleh lelaki-lelaki itu, mereka telah dihantar oleh Setiausaha Agung yang belum disahkan jawatannya, Datuk G. Kumaar Aaman,” katanya.

No comments: