Geng Bas Sekolah

December 24, 2014

IS - KITAR SEMULA GUNA NAMA ISLAM


Pergolakan di rantau Teluk khususnya di Iraq dan Syria telah memberikan satu impak yang besar kepada pemerhati politik antarabangsa.Kemunculan Islamic State (IS) telah menjenguk kembali aktivisme kumpulan-kumpulan radikal Islam. Dari konteks sejarah, selepas kekalahan Soviet Union pada Perang Afghanistan (1979-1989), kumpulan yang digelar 'mujahiddin' telah mendapat satu keyakinan yang tinggi bahawa mereka mampu mengalahkan kuasa besar dunia apabila mempunyai pasukan yang bergabung atas konsep jihad dari seluruh dunia. Maka, pembawaan konsep ini sedikit sebanyak telah membentuk pemikiran sesetengah umat Islam untuk bersedia menyertai kumpulan-kumpulan yang dijaja dengan niat dan prinsip untuk memartabatkan agama Islam.

Menjadi satu keperluan untuk memahami kedudukan kumpulan seperti IS ini dengan melihat susur galur perjuangan dan kepimpinan. Peranan yang dimainkan Amerika Syarikat (AS) pada peringkat awal dengan mencipta alasan untuk menakluki Iraq yang disyaki mempunyai senjata pemusnah telah menjemput pejuang 'mujahidin' untuk kembali bersatu menentang kuasa besar dunia yang dianggap musuh utama bagi Islam. Maka, rentetan dari sinilah kita mendapat gambaran bagaimana tokoh-tokoh seperti Abu Mus’ab al-Zarqawi, Abu Ayyub al-Masri, Abu Bakar al-Baghdadi dan Dr. Ayman al-Zawahiri silih berganti menjadi pemimpin dan rujukan pengikut-pengikut mereka. Walaupun pada peringkat awal IS dan al-Qaeda dilihat seiringan namun konflik antara kedua-duanya telah mewujudkan ketegangan sehingga terputus hubungan.

Dari sini kita dapat lihat bagaimana kemunculan IS ini merupakan satu reaksi kepada konflik semasa yang telah dan sedang berlaku atau post-conflict phenomenon. Ini kerana perkembangan ISIS perlu dilihat dan dikaitkan sejarah peperangan bermula dengan Perang Afghanistan (1979-1989), Perang Bosnia (1992-1995), Penaklukan Iraq (2003) dan Perang Saudara di Syria (2011). Pengalaman berkonfrontasi secara keras dan ganas dengan kuasa-kuasa besar dunia khususnya dari Barat dan AS telah membangkitkan fahaman dan pemikiran bahawa satu-satunya cara untuk menegakkan Islam adalah dengan menyertai kumpulan seperti IS.

Perjuangan IS perlu dilihat dari dimensi yang pelbagai agar penilaian terhadap kumpulan ini menjadi lebih berobjektif.Pertamanya, dari segi ideologi, penolakan terhadap demokrasi tanpa memberikan alternatif yang jelas telah menimbulkan keresahan yang besar kepada masyarakat dunia secara umum dan Islam secara khusus. Ini menjadikan kumpulan ini cepat dan mudah menjatuhkan hukuman kepada mana-mana pihak yang mengamalkan konsep demokrasi. Walaupun demokrasi bukanlah satu konsep yang mutlak dalam sistem pemerintahan, namun ia diterima majoriti negara di dunia pada hari ini bagi mencapai kestabilan politik. Berlawanan dengan IS yang bukan hanya menolak sistem ini secara total bahkan memusuhi mereka yang mendokong demokrasi.
Advertisement

Pemikiran

Maka timbullah pemikiran sempit yang memaksa masyarakat mengikut fahaman dan acuan pemikiran mereka manakala yang menolak fahaman mereka dianggap kafir, taghut, murtad dan munafiq.

Seterusnya, apa yang perlu diberi perhatian adalah bagaimana tindakan IS ini telah mencemarkan imej Islam yang sememangnya menolak keganasan. Membunuh tawanan perang secara zalim dan dengan kejam serta layanan terhadap kelompok yang tidak sealiran secara ganas telah mendapat kritikan antarabangsa.Ia telah memusnahkan pendekatan pembetulan terhadap imej Islam yang dibawa oleh golongan moderat bagi mengikis persepsi negatif yang telah dimomokkan oleh AS dan sekutunya selama ini.

Kebimbangan terhadap jaringan IS ini mempunyai kewajaran bagi negara kita, Malaysia. Laporan berkaitan dengan penglibatan warga Malaysia tidak boleh dipandang remeh. Beberapa faktor yang menyokong andaian bahawa negara ini menjadi transit dan juga antara pusat merekrut pejuang IS mempunyai asas yang boleh dipertimbangkan. Sifat gerakan pengganas yang melangkaui sempadan sesebuah negara atau transnasional ini memudahkan mereka untuk memberi ancaman kepada kumpulan sasaran. Sebagai sebuah negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam, Malaysia tidak dapat lari daripada mempunyai potensi ancaman tersebut. Hubungan secara langsung melalui pendidikan dengan ramai yang melanjutkan pelajaran ke negara-negara Asia Barat dan juga kedatangan pelajar dari sana telah membentuk kepelbagaian fahaman terhadap perjuangan menentang hegemoni kuasa-kuasa besar dunia.

Maka tidak hairan ada yang turut sama merasakan kewajipan untuk bersama dengan IS. Selain itu, sogokan terhadap kewajipan berjihad ini juga telah menerobos melalui interaksi dalam talian atau Internet yang mana ketaksuban terhadap kumpulan tertentu telah mendorong memberi sokongan kepada elemen pengganas. Selain itu, kestabilan politik yang dinikmati oleh rakyat negara ini merupakan satu peluang kepada gerakan seperti IS untuk berlindung dan mencari ruang bagi mereka meneruskan agenda kumpulan tersebut.

Oleh itu, melihat pada sejarah dan ideologi IS ini, pihak berkuasa mempunyai cabaran yang besar bagi mencegah penularan fahaman keganasan ini di Malaysia. Pendekatan yang berbeza mengikut kumpulan sasaran diperlukan agar ia mampu memberi kesedaran dan pemahaman yang maksimum kepada masyarakat.
Advertisement

Ahli akademik harus menggembleng tenaga agar dapat memberikan kefahaman tentang unsur kemanusiaan yang terkandung dalam konsep jihad yang dianjurkan Islam. Anggota masyarakat pula hendaklah meletakkan ilmu sebagai asas dalam menilai setiap pandangan yang berbeza bagi mengelakkan ketaksuban terhadap mana-mana kumpulan, lebih-lebih lagi yang melibatkan konsep jihad.

Kita mengharapkan agar elemen keganasan yang digunakan oleh IS ini memberikan kesedaran kepada umat Islam tentang keperluan untuk bersatu bagi menunjukkan imej Islam yang sebenar.

Sifat gerakan pengganas yang melangkaui sempadan sesebuah negara atau transnasional ini memudahkan mereka untuk memberi ancaman kepada kumpulan sasaran. - SUMBER

1 comment:

Anonymous said...

pada saya, jika IS membunuh atau menyeksa tawanan perang dari pasukan Syiah atau Hezbollah Iran , memang patut !

pasal apa ? kerana tentera Syiah atau geng Hezbollah Iran jika menahan atau menawan pasukan Sunni , tak kira tua muda atau wanita , mereka akan siksa dengan amat zalim dan lepas itu bunuh, memang tiada ampun !
jika ada 20 sunni yg ditawan , tak akan ada seorang pun yg hidup , bagi mereka membunuh sunni itu satu pahala dan kebajikan ,


tetapi sekiranya IS menyeksa dan membunuh anggota mujahideen dari pasukan lain seperti dari pasukan Nusra gara2 kerana bukan dari pasukan IS , maka saya sama sekali tak setuju ,
sudah terlalu banyak kes , angota IS berjaya menangkap anggota mujahideen lain , mereka disembelih tanpa maaf, semuanya kerana tak sepasukan dengan IS , walaupun mereka mujahideen tetap dibunuh .