Geng Bas Sekolah
Korang Kena baca ini
November 24, 2014
JANGAN BIMBANG - NAJIB RAZAK
KERESAHAN ORANG MELAYU
Bagaimana Datuk Seri melihat perhimpunan kali ini?
NAJIB: Sebenarnya hakikat bahawa komitmen UMNO pada masa ini dan kebelakangan ini dalam mempertahan kepentingan orang Melayu masih kukuh. Sebagai contoh buat kali pertama dalam pembentangan Bajet, saya telah memilih memperkasa agenda bumiputera sebagai tajuk utama dalam belanjawan negara untuk mengetengahkan bahawa kita sebenarnya telah buat banyak untuk orang Melayu.
Lebih-lebih lagi setelah saya buat ucapan di Shah Alam berkenaan dengan hasrat kita dalam memperkasakan lagi agenda bumiputera. Lantaran itu kita menubuhkan Majlis Ekonomi Bumiputera dan setiap bulan kita bermesyuarat yang saya pengerusikan bersama Timbalan Perdana Menteri serta semua menteri yang terlibat dalam bidang ekonomi.
Usaha untuk membantu bumiputera ini sebenarnya lebih selaras dan tinggi komitmennya bila kita mewujudkan satu mekanisme yang merentasi kementerian. Oleh itu, kita berharap orang Melayu tidak berasa gusar bahawa kepentingan mereka akan terus diperjuangkan oleh UMNO.
Banyak program yang kita telah tambah sebenarnya. Misalnya, bila saya ambil alih kepimpinan negara antara mekanisme yang dilakukan ialah menubuhkan Teraju (Unit Peneraju Agenda Bumiputera), iaitu satu badan yang lebih khusus dan fokus kepada membantu bumiputera. Ekuinas (Ekuiti Nasional Berhad) juga telah berjaya menambah nilai ekuiti bumiputera. Semalam (Rabu) kebetulan kami bermesyuarat dan angka terkini RM 3.6 bilion, hasil tambahan ekuiti ikut pada nilai pasaran yang bertambah bagi bumiputera kerana kewujudan Ekuinas serta private equity investment (pelaburan saham persendirian) yang telah dilakukan melalui peruntukan oleh kerajaan. Setakat ini kerajaan memperuntukkan sebanyak RM 3 bilion untuk Ekuinas.
Kerajaan juga telah menambah peruntukan kepada Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) dan Amanah Ikhtiar Malaysia. Beberapa program tambahan seperti Dasar Carve Out umpamanya, bila kita buat sesuatu projek secara besar-besaran kita tentukan sebahagian daripada kontrak itu diberi kepada bumiputera tetapi melalui tender sesama bumiputera sahaja. Maknanya kita tidak bagi secara rundingan terus. Mana-mana syarikat bumiputera yang memenuhi kriterianya dari segi saham dan pengurusan mesti ambil bahagian dalam tender. Dalam konteks projek MRT, sebanyak 47 peratus daripada nilai setakat ini telah pun diserahkan kepada syarikat-syarikat bumiputera.
Kita juga telah buat skim Jejak Jaya Bumiputera dengan syarikat-syarikat yang mahu disenaraikan (di Bursa Malaysia). Sekiranya memenuhi kriteria, kerajaan beri bantuan supaya syarikat-syarikat ini disenaraikan. Begitu juga semua GLC (syarikat milik kerajaan) yang telah pun diwajibkan menjadikan agenda membantu bumiputera sebagai salah satu daripada KPI mereka. Malah saya telah sebutkan kepada mereka bahawa agenda bumiputera ini mestilah anologinya seperti kertas Bahasa Melayu, walaupun semua subjek lulus tetapi jika subjek Bahasa Melayunya gagal maka tidak boleh lulus peperiksaan.
Jadi, itu antara perkara yang dilakukan menunjukkan keseriusan UMNO memperkuatkan orang Melayu dan agenda bumiputera ini mesti kita lihat dari segi peluang kenaikan pangkat, outwork mobility, soal latihan seperti vokasional dan sebagainya.
Salah satu program yang amat saya minati ialah program khusus yang kita sedang jalankan melalui Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera yang mana kita nak tukar mereka yang lulus dalam bidang ijazah sarjana muda kewangan dan akauntan untuk menjadi akauntan bertauliah. Pada masa ini cuma lapan peratus sahaja akauntan bumiputera yang bertaraf profesional. Maknanya ACCA atau CA dan sebagainya. Melalui program ini saya harap jumlah lapan peratus ini dapat ditingkatkan.
Institusi pendidikan juga telah terus berkembang. UiTM kini telah bertambah dan kini sebanyak 32 kampus di seluruh negara. Ini semua menunjukkan bahawa kita masih komited, malah melalui program yang dilakukan ini, usaha membantu bumiputera pada hakikatnya semakin bertambah. Saya juga mahu memberi jaminan bahawa kita akan pastikan pelaksanaannya dapat memperlihatkan kesan-kesan positif dalam membantu bumiputera.
Apa cabaran dihadapi dalam menjayakan agenda bumiputera ini?
NAJIB: Beberapa permasalahan besar antaranya masalah struktur dan ini bukanlah masalah baharu tetapi isu lama. Maknanya orang Melayu dan bumiputera lemah dari segi struktur ekonomi terutama dalam rantaian bekalan. Kita tidak dapat menguasai sepenuhnya. Namun kita tetap terpaksa bergantung kepada bukan bumiputera dalam sektor swasta dan lebih besar lagi di GLC. Sebenarnya ini bererti kita berhadapan dengan masalah tidak dapat bersaing dengan sektor swasta. Orang Melayu juga gagal bergantung kepada peluang-peluang pekerjaan dan kontrak dalam syarikat-syarikat yang dikuasai bukan bumiputera. Maka tumpuannya (orang Melayu) bertumpu kepada syarikat-syarikat GLC dan syarikat yang ada kepentingan kerajaan dan bumiputera.
Namun di sektor swasta yang dikuasai bukan bumiputera, agak sukar orang Melayu mendapat kontrak membekal dan sebagainya. Mungkin ini persepsi dan mungkin juga realiti kenapa mereka memberi tumpuan lebih kepada sektor yang dikuasai oleh kerajaan dan GLC. Itu yang pertama dan yang kedua masalah daya saing orang Melayu dalam bidang perniagaan dari segi kemahiran dan pengetahuan. Mahu jadi usahawan tetapi tahap pengetahuan mereka agak rendah.
Keresahan itu masih kedengaran seolah-olah banyak lagi yang sepatutnya dilakukan.
NAJIB: Ini kerana jangkaan hari ini lebih tinggi daripada dahulu. Dahulu jangkaan tidak berapa tinggi tetapi sekarang jauh lebih tinggi. Keduanya, perbincangan lebih luas kerana adanya media sosial. Dahulu mereka berbincang juga tetapi tidak ada media sosial. Jadi pendapat mereka tidak tersebar luas. Bila ada dua elemen ini iaitu jangkaan semakin meningkat dan media sosial, jadi apa yang dibincangkan itu boleh jadi viral.
Kini kita berhadapan dengan cabaran baharu dalam persekitaran yang berlainan dengan masa lalu. Keadaan dahulu pendapat disebar dalam kelompok kecil sahaja atau sebar surat layang tetapi agak terbatas. Namun sekarang masing-masing boleh menjadi penulis blog, hantar e-mel dan masuk dalam Facebook.
Jadi pendapat itu boleh tersebar lebih luas dalam masa yang lebih pantas. Maka sebab itulah dunia hari ini lebih mencabar daripada keadaan masa lalu. Kalau kita lihat pada hakikatnya tidak ada program yang kita batalkan. Tolong beritahu saya apa program yang kita batalkan, yang dahulu kita buat dan hari ini kita tidak buat.
Mereka mungkin bangkitkan Kementerian Pembangunan Usahawan ditiadakan. Tetapi saya bercakap dengan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang pernah jadi menteri di kementerian tersebut yang mengatakan struktur hari ini lebih baik kerana bila ada Majlis Ekonomi Bumiputera, semua menteri berkaitan ekonomi ada dan bincang secara menyeluruh. Struktur dan keadaan lebih selaras berbanding dahulu. Sebelum ini ada kementerian tetapi bertindak dalam konteks kementerian sahaja tetapi sekarang merentasi kementerian. Oleh itu, dalam konteks kita membantu bumiputera dengan lebih baik dan berkesan berbanding dahulu.
HUBUNGAN KAUM DAN KESEDERHANAAN
Hubungan kaum pasca politik baharu semakin mencabar dan orang Melayu merasakan seperti ketidaktentuan.
NAJIB: Saya sedar, dan balik pada soal mereka yang mempunyai sikap yang rasis, ekstrem, tidak hormat orang Melayu dan sebagainya bukanlah satu perkara yang tidak wujud. Ini wujud tetapi pendapat mereka tidak boleh diketahui oleh orang lain dan disebarkan. Kalau dia buat sesuatu komen dalam Facebook atau Twitter, orang lain akan tahu. Ini beri satu gambaran bahawa hal ini semakin menjadi-jadi sekarang.
Namun saya tidak nafikan kita perlu membuat sesuatu untuk mententeramkan keadaan dan tidak boleh biarkan perkara ini berterusan kerana bila sampai satu peringkat boleh mengguris hati dan perasaan orang Melayu serta menyebabkan tindakan yang dilakukan boleh menimbulkan ketegangan antara kaum. Ini mesti dielakkan.
Langkah-langkah untuk mententeramkan ketidakstabilan hubungan antara kaum ini?
NAJIB: Saya menekankan kesederhanaan atau wasatiyah sebagai satu prinsip supaya dalam apa jua tindakan kita perlu bersederhana, seimbang dan juga lebih menjurus kepada kecemerlangan. Bukan bererti kita bersederhana dalam bekerja atau berusaha tetapi mesti mencapai kecemerlangan.
Konsep ini yang saya cuba bawa. Kedua, kita mesti merupakan parti yang centrist (kelompok tengah). UMNO dari dahulu lagi adalah parti yang centrist dan tidak keterlaluan atau ekstrem. Kalau kita ingat pengasas UMNO iaitu Datuk Onn Jaafar mahu UMNO dibuka kepada orang bukan Melayu tetapi ditolak oleh orang Melayu.
UMNO juga yang setuju untuk menggubal perlembagaan yang merupakan cerminan kepada kontrak sosial sebagai kompromi pelbagai kaum dan lain-lain sehingga wujud sekolah-sekolah Cina dan sebagainya. Kita sudah mula langkah itu bersandarkan kepada prinsip wasatiyah sejak dahulu.
Cuma kita tidak gunakan istilah wasatiyah. Namun sejak mula UMNO ditubuhkan telah ditetapkan negara ini berlandaskan pada perlembagaan yang bersifat sederhana sehingga sekarang. Saya tidak fikir kita perlu alih haluan atau landasan kerana ini telah ditentukan sejak dahulu lagi.
Ada pihak mengambil kesempatan daripada konsep kesederhanaan itu untuk terus mengasak atas kepentingan masing-masing.
NAJIB: Mungkin ada orang tidak faham atau sengaja tidak faham. Kesederhanaan tidak bererti kita sokong pluralisme atau liberalisme. Saya sudah cakap banyak kali dalam ucapan saya, memang kita tidak bersetuju dengan kefahaman terlalu liberal atau pluralisme dan sebagainya. Apa-apa pun mesti mengikut hukum syarak dan syariat Islam dan saya advocate kita berada di landasan Islam hingga saya kata elok kita gubal indeks syariah.
Maknanya kalau makasid syariah ialah prinsip perjuangan kita sebagai kepimpinan negara Islam maka elok jika ada indeks syariah kerana ini boleh membuat ukuran sejauh mana kita telah lakukan atas lima perkara yang induk di bawah makasid syariah. Dengan itu, ini menjadi kayu pengukur. Jika orang kata Malaysia bukan negara Islam kita ada indeks yang menunjukkan hakikat yang kita telah lakukan banyak perkara atas kehendak Islam.
TRANSFORMASI UMNO - MISKIN SEMANGAT PERJUANGAN
Dalam transformasi UMNO belum banyak perubahan berlaku.
NAJIB: Saya melihat bahawa ada sedikit sebanyak kelunturan nilai dalam parti kita tetapi ini bukanlah satu perkara yang baharu dan secara beransur-ansur boleh dianggap sebagai perubahan generasi. Saya masuk politik dalam tahun 1970-an dan boleh melihat dan merasai perubahan dahulu dan sekarang.
Sebab itu ketika saya berucap di Konvensyen UMNO Johor baru-baru ini, saya sebut bahawa jika dahulu orang Melayu miskin kebendaan tetapi kaya semangat tetapi hari ini kita kaya dengan kebendaan tetapi miskin semangat perjuangan.
Maknanya jika kita anggap UMNO tidak lagi sebagai satu institusi politik yang memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu atas prinsip agama, bangsa dan negara dan kita hanya melihat UMNO sebagai satu landasan (vehicle) untuk mendapat jawatan, kontrak, prestij dan sebagainya.
Maknanya nilai yang kita letak pada UMNO tidak lagi bersifat atas semangat perjuangan. Kalau kita tidak pulihkan semangat perjuangan, amat sukar bagi kita untuk menggerakkan UMNO sebagai sebuah parti politik yang benar-benar dinamik serta boleh menampilkan sesuatu imej yang mampu meyakinkan orang.
Apa cara untuk menaikkan semangat itu dalam keadaan parti pun selalu berharap dengan kerajaan?
NAJIB: Mengubah manusia adalah satu perkara yang amat sukar. Malah Tun Dr. Mahathir sendiri bila bersara ada menyatakan bahawa satu perkara yang dia gagal ialah mengubah sikap orang.
Ini saya anggap sebagai satu usaha kolektif yang perlu dilakukan bersama selain bercakap terus terang dengan ahli UMNO. Kita kena cari satu formula untuk memulihkan semangat dan sikap kita untuk melihat bahawa UMNO sebagai satu parti keramat. Survival dan masa depan kita bergantung kepada kejayaan UMNO.
Apakah Datuk Seri sudah terbayang formula?
NAJIB: Saya akan beri nasihat dan teguran kepada ahli UMNO. Saya berharap pemimpin UMNO di semua peringkat perlu sedar akan perkara ini dan sampaikan mesej yang sama kepada semua ahli supaya timbul satu kesedaran baharu dalam kalangan ahli parti atau ada formula lebih drastik yang perlu kita fikirkan. Kita tidak boleh biarkan jika jentera parti tidak bergerak sepenuh hati. Kita tidak boleh biarkan keadaan itu berterusan tanpa melakukan pembetulan.
Orang tetap perkatakan tentang transformasi UMNO yang berjalan lambat.
NAJIB: Saya lihat peremajaan UMNO sangat penting dilakukan tetapi yang menjadi kekuatan UMNO boleh juga menjadi kelemahan. Kekuatan UMNO, ia sebuah parti paling besar dan tersusun strukturnya sehingga di kampung ada cawangannya. Tetapi yang menjadi kelemahan ialah sudah ada susunannya dalam bahagian. Maka kalau muka baharu nak masuk, mereka kena hormat dan terima susunannya. Kalau orang baharu itu seorang profesional dan dia perlu bermula di peringkat cawangan dan jadi perwakilan cawangan ke bahagain, tetapi mereka tidak sanggup menjalani proses yang lama dan sukar itu.
Parti pembangkang tidak ada susunan macam UMNO. Kalau mereka lihat seseorang ada kebolehan, berpotensi dan boleh ditatang, orang itu terus diberi peluang. Tetapi dalam UMNO jika kita tidak hormat susunannya, kita akan menyinggung perasaan pemimpin-pemimpin di peringkat bahagian. Dia kata kami sudah berjuang bertahun-tahun tetapi tiba-tiba ada orang yang baharu sehari dua nak ambil tempat atau beri peluang yang lebih besar. Jadi inilah yang menjadi sensitiviti dalam parti kita. Namun kita perlu juga terima hakikat bahawa tanpa peremajaan dan bakat baharu dalam UMNO kita akan menghadapi kesukaran pada masa akan datang kerana masyarakat sudah banyak berubah terutama masyarakat di bandar dan semi urban.
UMNO bukan parti orang bandar dan apa langkah supaya orang bandar kembali menyokong UMNO?
NAJIB: Di bandar, penilaian mereka bukan sahaja kepada parti tetapi lebih kepada personaliti ataupun pemimpin. Kalau parti itu satu aspek, tetapi kita perlu tampilkan pemimpin yang dilihat sebagai berwibawa kepada mereka. Saya pernah sebut, kalau di satu taman ketuanya seorang tukang kebun umpamanya tetapi di sekelilingnya terdiri daripada golongan profesional dan usahawan maka adalah sukar baginya untuk meyakinkan mereka.
Bukan saya menghina tukang kebun tetapi dalam konteks realiti politik dalam satu kawasan, kita kena lantik orang yang disegani juga. Inilah yang saya kata bahawa UMNO dengan susunannya, kita mungkin tidak dapat menampilkan pemimpin yang serasi atau sesuai dengan kehendak masyarakat di kawasan bandar dan semi bandar.
MENJAWAB KRITIKAN TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD
Bagaimana mahu menjawab kritikan tokoh seperti Tun Dr. Mahathir dan Tun Daim Zainuddin?
NAJIB: Saya sebagai orang politik, itu adalah perkara yang saya kena terima. Saya nilai setiap kritikan dan tentukan sama ada apa-apa yang perlu kita buat pembetulan dari segi dasar ataupun tindakan. Itu yang saya anggap secara positif.
Macam BR1M misalnya, dan saya nampak banyak yang sokong daripada yang tak sokong. Kalau ramai yang kata BR1M tak bagus, saya bersedia nak kaji semula. Saya bersikap terbuka dalam soal ini tetapi ke mana saya pergi pun orang ramai kata mereka mahukan BR1M malah mereka mahu ditambah lagi jumlahnya. Itu reaksi orang dan BR1M ini dibuat bukan kerana mahu beli undi tetapi kerana kita naikkan harga minyak. Bila kurangkan subsidi dan harga minyak naik kita akan kurangkan beban rakyat melalui BR1M. Jadi hasil yang diterima diagihkan kembali kepada rakyat.
Begitu juga bila nak dilaksanakan GST tahun hadapan, akan dijangka berlaku kenaikan inflasi bukan banyak tetapi sedikit. Jadi kita nak kurangkan beban rakyat, kita pulangkan balik hasil dan banyak item berkadar sifar.
Maknanya bila dibuat penilaian, banyak yang sebut kos sara hidup sebagai masalah utama. Jadi bagaimana kita boleh kurangkan kos sara hidup rakyat. Kalau kita nak suruh mereka belanja untuk pendidikan dan latihan, sesetengah daripada mereka tidak boleh pergi sekolah vokasional kerana soal hidup hari ini dan soal dapur nak berasap lebih penting selain perlu duit untuk beli barang keperluan dan baju sekolah.
Maka jalan terbaik ialah BR1M tetapi kalau ada cara lebih baik saya bersedia menimbangkannya. Itu sebabnya saya mahu mendengar pendapat daripada rakyat dan saya aktif di media sosial untuk mendapat maklum balas daripada rakyat. Kalau kita tak kurangkan subsidi mungkin kita tidak perlu lakukan BR1M.
Tetapi subsidi sebenarnya banyak membazir dan kita tahu apabila dilakukan BR1M, ini lebih fokus pada golongan sasar. Maknanya subsidi masih ada juga dan minyak itu adalah subsidi.
BR1M juga adalah subsidi tetapi lebih fokus dan terarah berbanding subsidi pukal. Itu yang saya nak kurangkan untuk elakkan pembaziran. Ini bukanlah satu dasar yang berterusan. Satu hari nanti bila pendapatan rakyat bertambah mereka sudah tidak perlukan BR1M lagi.
Sejauh manakah kritikan ini mengganggu Datuk Seri?
NAJIB: Kalau seluruh ahli UMNO menyokong dan keadaan ini tidak menimbulkan krisis dalam parti, jadi saya anggap sebagai pendapat yang berbeza dalam dasar-dasar serta tindakan kerajaan.
Namun setakat ini, nampak ahli UMNO tidak mengambil apa-apa sikap nak menentang pucuk pimpinan dan sebagainya. Mereka menghormati Tun sebagai pemimpin lama tapi mereka terus beri sokongan kepada kepimpinan sekarang. Saya akan terus lakukan apa yang saya fikirkan baik untuk parti dan negara. Itu sebabnya bila satu-satu teguran diberikan – saya nilai, kaji dan juga tanya pendapat.
Tapi majoriti pendapat menyokong misalnya dalam soal BR1M. Mereka mahukannya dan tidak anggap sebagai membeli sokongan orang. Malah memang bukan itu pun tujuannya.
PERPADUAN ISLAM - HUBUNGAN DENGAN PAS
Masih adakah harapan kerjasama UMNO - Pas.
NAJIB: Saya masih terbuka kerana itu adalah satu kewajipan sebenarnya sebagai seorang dan juga pemimpin Islam. Kita mesti bersikap ke arah berkehendakkan penyatuan ummah. Sebagai tanggungjawab, kita laksanakan sama ada berjaya atau tidak.
Namun kita mesti tidak bermusuhan sehingga orang kata berkerat rotan berpatah arang antara satu sama lain. Saya bersikap terbuka dalam hal ini. Mungkin ada perbezaan pendapat tetapi kita berharap ada satu keserasian untuk kita bekerjasama dalam hal-hal tertentu.
Bukanlah dalam sifat satu pakatan tetapi satu kerjasama dalam hal-hal tertentu yang ada kaitan dengan kepentingan ummah umpamanya, boleh kita bekerjasama.
Datuk Seri optimis dalam hal ini?
NAJIB: Saya bersikap terbuka. Harap Pas bersikap sedemikian dan tidak melihat UMNO musuh mereka. Kita juga tidak boleh anggap Pas sebagai musuh walaupun mempunyai perbezaan pendapat. UMNO bukan ancaman kepada umat Islam dan Islam itu sendiri. Orang Pas mestilah melihat hakikat ia tidak berpunca daripada UMNO.
Mungkin UMNO sendiri boleh memulakan langkah?
NAJIB: Apa-apa pun kita tidak boleh berbicara secara terbuka. Apa-apa pun kalau nak jadi, akan jadi satu hari nanti. Kita harap semua pemimpin perlu lebih sedar tentang perlunya kita berusaha ke arah penyatuan ummah.
Kalau tidak ancaman kepada Islam dan orang Melayu semakin getir. Sebab orang yang tidak suka kepada Islam dan orang Melayu berkuasa akan cuba melaga-lagakan. Senjata mereka ialah menggunakan orang Islam untuk menyerang kita dan mengurangkan pengaruh UMNO.
Mungkin UMNO ada jawapan dalam menangani ancaman yang semakin getir ini?
NAJIB: Kita mesti perkukuhkan UMNO itu sendiri dan orang UMNO mesti sedar kita mesti bekerja lebih daripada biasa serta tidak boleh selesa dengan keadaan. Kita mestilah melakukan lebih daripada biasa.
SOKONGAN KAUM CINA - REALITI POLITIK
Apakah sokongan masyarakat Cina sudah meningkat?
NAJIB: Ada sedikit perubahan tetapi masih belum sampai ke tahap yang kita harap-harapkan. Jadi usaha masih perlu dilakukan. Ini ada sedikit percanggahan dan mesti diputuskan. Kalau ada orang menuntut mahu tutup sekolah Cina, tetapi di samping itu kita tanya pula bagaimana sokongan kaum Cina boleh ditingkatkan, ini akan membuatkan keadaan bercanggah. Ini kerana tidak mungkin sokongan orang Cina dapat ditingkatkan jika pada nafas yang sama kita tuntut sekolah Cina ditutup. Kita mesti putuskan apa sebenarnya. Dalam sistem demokrasi terbuka, pada keseluruhannya kita perlukan sokongan – baru kita boleh tubuh kerajaan.
Kalau langkah kita menyebabkan sokongan kepada UMNO dan BN menurun, tentu sekali apa yang kita lakukan tidak memberi faedah kepada kita. Orang putih kata lose, lose tapi kita win,win. Jangan kita lose, lose. Kalau kita lose, lose nanti hendak masuk pilihan raya, kita akan berhadapan dengan kesukaran.
Pemimpin UMNO juga ada yang minta peruntukan untuk sekolah Cina kerana dalam kawasan dia banyak pengundi Cina. Ada kawasan majoriti Melayu cuma 53 peratus. Kalau dia tidak dapat sebahagian sokongan daripada 47 peratus pengundi bukan Melayu, dia tidak mungkin menang. Inilah orang kata realiti politik yang kita kena terima.
Ada cadangan supaya UMNO bertanding di kerusi majoriti Melayu, dan MCA dan Gerakan di kawasan majoriti Cina.
NAJIB: Kita sudah ada persefahaman dengan parti-parti komponen BN. Apa-apa yang kita mahu lakukan mesti berunding bersama. Ini kerana kalau kita tak dapat kerjasama, kesannya lebih kepada kawasan-kawasan lain. Kita jangan pandang dua tiga kawasan itu sahaja. Kita mesti pandang keseluruhan. Kerusi-kerusi yang ditandingi UMNO juga perlu juga sokongan daripada bukan Melayu. Kalau kita asyik bertegang sebab dua tiga kerusi ini sehingga menyebabkan sokongan pengundi Cina dan India di kerusi-kerusi lain terjejas, tentu sekali kesannya lebih buruk kerana bilangan kerusi yang UMNO bertanding lebih besar lagi. Maknanya kita mesti melihat gambaran keseluruhan.
Namun setakat ini parti-parti komponen bergantung kepada kekuatan UMNO?
NAJIB: Bergantung kepada kekuatan UMNO tetapi sedikit sebanyak kita masih bergantung kepada sokongan bukan Melayu untuk menang. Macam di Pengkalan Kubor, minoriti Siam sokong kita dengan jumlah besar, jadi majoriti meningkat. Kalau kita tidak ada hubungan yang baik dengan masyarakat Siam, tentu ada kesan semasa pilihan raya. Kalau mereka mengalih sokongan kepada Pas, maka menanglah Pas. Jadi, mana satu UMNO nak, menang atau kalah.
KPI UMNO
Apakah perlu ada KPI diberikan kepada pengerusi badan perhubungan negeri kerana ada yang tidak mengambil serius teguran?
NAJIB: Saya lihat kita kena lakukan sesuatu. Maknanya perlu buat satu sistem pemantauan dan penilaian secara lebih terperinci yang melihat prestasi secara lebih jelas dan laporan itu mestilah mereka tahu ada pihak yang menilai prestasi mereka. Soalnya, kalau mereka rasa prestasi tidak sampai ke tahap yang dikehendaki, apa yang perlu kita lakukan? Misalnya kalau dalam kerajaan, Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) kita berjalan dengan lancar dan kita boleh lihat prestasi ekonomi dan ranking kita bertambah lebih baik dan kompetitif.
Tetapi transformasi politik ini saya lihat temponya tidak sampai dengan kejayaan kita dalam melakukan transformasi ekonomi dan kerajaan. Saya minta kita fikirkan sesuatu. Mungkin selepas Perhimpunan Agung UMNO ini kita kena fikir sesuatu yang membolehkan kita memastikan ada satu sistem lebih efektif dalam membuat penilaian serta tindakan pembetulan kalau pencapaian tidak seperti mana diharapkan.
Tindakan keras terhadap pemimpin UMNO yang tidak mencapai KPI atau yang membawa mudarat termasuk pecat.
NAJIB: Bila kita nak ambil tindakan akan ada reaksi terhadap tindakan itu. Maka kita mesti yakinkan orang bahawa tindakan itu dapat diterima sebagai adil dan majoriti menyokong kita. Kalau tak sokong akan ada kesan nanti. Jadi dalam melakukan tindakan mestilah berdasarkan mereka memberi sokongan kepada apa-apa keputusan yang kita lakukan. Namun saya akui kita perlu lakukan sesuatu dan tidak boleh dibiarkan keadaan ini tanpa sesuatu pembetulan kalau prestasi mereka dilihat tidak sampai ke tahap yang diharapkan.
Ada pemimpin UMNO lebih menyerahkan peranan yang sepatutnya mereka mainkan kepada kerajaan.
NAJIB: Itu kita balik kepada soal pokok. Tadi saya kata puncanya, ini semua simptom. Tetapi puncanya adalah kehilangan dan kelunturan semangat perjuangan dalam kalangan orang Melayu itu sendiri. Itulah punca yang saya lihat berlaku sekarang dan selagi kita tidak ada perasaan cintakan parti dan merasakan diri kita berjuang untuk parti, kita akan anggap UMNO sebagai satu alat untuk kita sahaja.
TANAH RIZAB MELAYU
Ada jaminan isu tanah rizab Melayu diselesaikan.
NAJIB: Memang kita hendak pastikan tanah-tanah rizab Melayu ini kita dapat selamatkan. Perkara ini perlu kerjasama kerajaan negeri sebab tanah di bawah kerajaan negeri kecuali Wilayah Persekutuan. Sebab itu, misalnya apabila kita bangunkan Kampung Baru, kita tidak menukar status tanah itu. Saya tahu kita hendak tanah itu kekal dalam tanah orang Melayu, Namun kita hendak tambah nilai. Itu sahaja, bukan kita hendak tukar status.
Jadi kebimbangan terhadap tanah rizab Melayu ini boleh terjawab?
NAJIB: Boleh terjawab dan mungkin kalau ada negeri-negeri yang belum cukup lagi, kita boleh tambah. Kita memang patut tambah tanah-tanah rizab Melayu ini.
SEKOLAH SATU ALIRAN
Perpaduan menerusi pendidikan dan langkah ke arah satu sistem pendidikan.
NAJIB: Kita mesti buat sesuatu yang tidak mendatangkan mudarat kepada negara sama ada dari segi hubungan kaum hatta dalam konteks UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga. Pada masa sekarang pendirian parti-parti komponen berkehendakkan sekolah vernakular dan ini bukan perkara baharu. Tidak ada Perdana Menteri sebelum ini yang mahu cuba menutup sekolah vernakular. Ini sudah menjadi komitmen sejak merdeka hingga sekarang. Maka jika sudah ada persefahaman sebegitu yang telah diterjemahkan dalam bentuk undang-undang, dalam dasar serta manifesto BN serta Pelan Pembangunan Blueprint Pendidikan sampai 2025, kita tidak boleh mungkir janji. Itu hakikatnya.
Namun jika kita boleh buat sesuatu untuk betulkan hubungan antara kaum dan bertambah baik, saya bersetuju ke arah itu. Saya selalu tegur sekolah Cina misalnya supaya lebih memberi perhatian yang berat kepada penguasaan bahasa kebangsaan. Itu adalah satu alat perpaduan. Kalau tahap penguasaan bahasa kebangsaan boleh berada pada tahap tinggi serta fasih, ini membantu ke arah memupuk persefahaman antara kaum. Saya sedar ini bukan satu keadaan yang ideal tetapi kita sudah warisi. Tidak boleh rombak balik apa yang telah diputuskan sewaktu Malaysia merdeka.
Namun masih menjadi harapan sekolah vernakular untuk meningkatkan satu aspek seperti KPI dalam isu bahasa, nasionalisme.
NAJIB: Itu sudah pasti. Dengan cara begitu ini akan menjadikan kita tidak hidup dalam kelompok masingmasing sahaja.
SUMBER
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment