Geng Bas Sekolah

September 12, 2014

NEGARA RUGI RM24.6 JUTA RINGGIT ANGKARA PENYANGAK MINYAK


Dua beranak yang juga pemilik sebuah syarikat pemborong diesel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 420 pertuduhan menyeleweng minyak bersubsidi berjumlah 12,286,347 liter membabitkan nilai RM24.6 juta, tahun lalu.

Lim Ah Hua, 70, dan anaknya, Lim Heap Hoe, 41, yang merupakan pengarah syarikat Megasen Sdn. Bhd. masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan tersebut yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ibrahim Osman.

Kedua-dua tertuduh masing-masing didakwa dengan 140 tuduhan dengan 137 pertuduhan daripadanya membabitkan dakwaan gagal menyediakan penyata jualan kepada pembeli sejurus sahaja selesai jualan barang berjadual.

Dua tuduhan pula membabitkan kegagalan menyelenggara buku stok seperti yang disyaratkan manakala satu lagi tuduhan lain iaitu sebagai pemborong telah menjual kepada selain daripada pemborong dan peruncit yang dibenarkan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka di syarikat berkenaan beralamat di Batu 5, Simpang Empat, Mukim Pengkalan Kundur, di sini antara 2 September dan 12 November 2013.

Bagi kesalahan individu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Seksyen 22(4) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta tersebut.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Selain itu, kedua-dua mereka sebagai pengarah Megasen Sdn. Bhd., turut berdepan 140 lagi pertuduhan sama atas nama syarikat tersebut.

Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM250,000 bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan kedua serta seterusnya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Khairul Fikrie Zubaidi manakala tertuduh diwakili peguam Loo Yook Khin.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM100,000 setiap seorang sementara menunggu sebutan kes pada 21 Oktober ini. Kedua-dua tertuduh membayar ikat jamin. - SUMBER

No comments: