Geng Bas Sekolah

September 2, 2014

KHALID IBRAHIM DIKHIANATI MANUSIA MUNAFIK


MINGGUAN: Mungkin boleh ceritakan penglibatan awal saudara serta Tan Sri Khalid Ibrahim dalam penubuhan PKR Selangor?

EZAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dahulu dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional (PKN) ditubuhkan pada 1999. Saya memainkan peranan amat penting dalam penubuhan PKR Selangor kerana sebagai anak Selangor dan merupakan bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, tentu rujukan utama pada masa itu kepada saya.

Di PKR Selangor ketika itu, kita tidak ada tokoh politik. Tidak ada tokoh UMNO menyertai Keadilan pada masa itu. Kami memilih Dr. Ghazali Basri, seorang tokoh akademik, tokoh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) untuk menjadi Pengerusi Keadilan Selangor pada 1999. Beliau tidak ada latar belakang politik sama sekali. Sebab itu, saya diminta untuk menjadi Timbalan Pengerusi PKR Selangor, selain saya menjadi Ketua Pemuda Keadilan.

Saya tidak ada pilihan walaupun tugas saya di peringkat nasional besar. Saya pikul juga tanggungjawab untuk membina parti Keadilan Selangor walaupun saya timbalan tetapi kerana Dr. Ghazali tidak ada latar belakang politik, saya yang bina Keadilan Selangor bermula 1999. Ramai orang tidak perasan, Azmin Ali tidak ada pada masa itu. Padahal Azmin juga bekas setiausaha Anwar, saya setiausaha politik, dia setiausaha sulit dan dia juga anak Selangor tetapi dia tidak tertonjol pada ketika itu. Jawapannya mudah yang sekarang ini kita akan lebih faham. Jawapannya kerana Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tidak membenarkan Azmin untuk aktif dalam parti pada masa itu.

Jadi bagaimana Azmin bermula di Selangor?

Ezam: Sayalah yang sebenarnya diminta oleh Anwar untuk perlahan-lahan bawa Azmin masuk dalam parti dan memujuk Wan Azizah untuk menerimanya. Saya yang bawa masuk Azmin ke dalam parti Keadilan dan beri Azmin jawatan saya, Timbalan Pengerusi Keadilan Selangor itu kerana saya pun banyak beban di peringkat pemuda dan saya ditahan di penjara dan sebagainya. Saya perlukan orang lain dan saya menampilkan Azmin pada masa itu walaupun tidak berapa dipersetujui oleh Wan Azizah.

Episod hari ini sebenarnya sudah bermula lama. Perseteruan antara Azmin dan Wan Azizah merupakan satu tanda tanya besar yang sampai hari ini ramai tidak tahu apa puncanya. Jadi itulah peranan saya, kedudukan saya dalam sejarah penubuhan parti Keadilan Selangor. Sebaik-baik Anwar bebas dari penjara pada 2004, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim muncul dan menawarkan diri untuk bersama-sama dengan parti. Semasa Anwar dalam penjara, Abdul Khalid tidak bersama tetapi dia banyak membantu.

Abdul Khalid telah membantu Anwar sejak sekian lama tetapi akibat polemik politik, segala kebaikannya kini tidak berguna?

EZAM: Ini saya boleh sahkan dan saya menjadi saksi terhadap beberapa pertemuan antara Abdul Khalid dengan Anwar. Sebelum Anwar dipenjara, Abdul Khalid memberi bantuan kewangan atas dasar peribadi. Sebagai kawan, dia tolong. Jadi, itulah sifat atau persahabatan yang ada pada Abdul Khalid. Sebaik-baik selepas Anwar bebas, dia berasa keperluan untuk bersama-sama dalam parti. Pada masa itu juga, sekali lagi Anwar minta saya bina balik Selangor. Kalau masih ingat, pada 2004, PKR di tahap paling lemah dan antara paling lemah ialah PKR Selangor. Azmin tidak dapat sokongan penuh daripada PKR negeri. Kebetulan pada masa itu, saya sudah lepaskan jawatan sebagai ketua pemuda pusat.

Jadi, Anwar memujuk saya memberikan tumpuan kepada PKR Selangor, antara 2004 dan 2005 pada masa itu dengan Anwar mencadangkan saya menjadi Ketua PKN Selangor dan Abdul Khalid menjadi timbalan. Tetapi atas dasar hormat dia orang tua, dan seorang Tan Sri, saya menawarkan Abdul Khalid menjadi pengerusi Keadilan Selangor dan saya menjadi timbalan. Jadi, saya menjadi Timbalan Keadilan Selangor buat kali kedua dalam tempoh perjuangan saya bersama Keadilan. Itu sesuatu agak unik berlaku dan secara kebetulan saya terlibat dengan dua tokoh ini.

Ada berjumpa dengan Abdul Khalid sebelum keluar PKR pada 2007?

EZAM: Saya masih ingat masa saya buat keputusan pada 2007 untuk meninggalkan parti Keadilan, masa itu saya Timbalan PKR Selangor dan Abdul Khalid sebagai ketua saya. Buat kali terakhir dia datang bersendirian secara peribadi memujuk saya tidak meninggalkan PKR. Saya masih ingat apa yang saya beritahu dia. Saya kata "Tan Sri, tidak ada gunanya kita berjuang dalam sebuah parti yang hanya berkisar kepada persoalan beberapa individu sahaja." Percayalah saya kata, setelah saya dalam PKR bertahun-tahun, semenjak Anwar di dalam dan di luar, saya dapat melihat pattern (corak) dan ia lebih jelas selepas Anwar keluar. Semasa Anwar dalam penjara, saya fikir mungkin kerana Anwar dalam penjara, kita terpaksa memfokuskan kepada beberapa individu untuk kita kuatkan Keadilan tetapi selepas Anwar keluar, ia masih berkisar kepada soal itu. Soal Anwar, soal Wan Azizah dan soal Azmin. Pertembungan antara Azmin dan Dr. Syed Hussin Ali pada masa itu 2006 untuk menjadi timbalan presiden.

Itu cukup-cukup mengecewakan saya kerana Anwar tidak mampu membuat keputusan untuk menghalang Azmin daripada bertanding melawan Syed Husin. Jadi, saya beritahu Abdul Khalid, kita akan menghadapi nasib yang sama Syed Husin dan banyak lagi pemimpin lain yang akan dipinggirkan hanya kerana untuk memenuhi cita rasa dan kehendak tiga orang ini, yang saya sebut 3A; Anwar, Azizah dan Azmin. Sebab itu saya kata, apa pun yang Tan Sri kata, saya masih ada rasa hormat dan tidak ada masalah besar dengan beliau tetapi saya tidak boleh berjuang dengan seorang pemimpin yang saya melihat terikat dengan beberapa individu sekeliling beliau. Itu kata terakhir saya kepada Abdul Khalid.

Selepas tujuh tahun, 2014, apa yang saya nyatakan itu berlaku kepada Abdul Khalid. Dia dipinggirkan dan ia percaturan Anwar, Azizah dan Azmin. Kalau kita ingat episod Selangor ini dimulakan oleh Azmin yang mahu menjadi Menteri Besar. Dia merasakan PKR hanya ada satu jawatan yang berkuasa. Kalau PKR menang Putrajaya, tidak jadi isu. Satu-satunya trofi yang PKR ada ialah jawatan Menteri Besar Selangor dan Azmin mahu trofi itu.

Isu melibatkan Menteri Besar Selangor ini bukan baharu dan hakikatnya segalanya berpunca daripada Anwar. Pandangan saudara?
EZAM: Itulah persoalannya, bermula dengan Azmin yang mahukan trofi dan Anwar gagal mengawalnya. Kali ini, Anwar pula mahukan trofi itu. Anwar mahu trofi itu bukan kerana rakyat, bukan kerana Abdul Khalid buat sesuatu yang merugikan rakyat atauAnwar mahu buat sesuatu yang menguntungkan rakyat. Anwar terpaksa melakukan 'Langkah Kajang' serta macam-macam langkah untuk menukar menteri besar hanya untuk menyelesaikan krisis peribadi beliau. Sebab itu, saya hendak ingatkan rakyat Selangor dan penganalisis politik, ini bukan krisis Selangor tetapi krisis peribadi Anwar. Krisis peribadi Anwar dicipta sendiri oleh beliau dan akhirnya membabitkan institusi-institusi negeri yang bertukar menjadi seolah-olah krisis sebuah negeri. Selangor sebagai sebuah negeri tidak punya krisis.

Kita punya sistem beraja yang dihormati, kita punya sistem demokrasi yang mantap, pentadbiran ekonomi yang baik. Kita punya setiausaha kerajaan negeri dan pegawai kewangan negeri yang tidak ada skandal, kita tidak ada masalah dari segi itu. Syarikat milik kerajaan negeri rata-rata berprestasi baik, jadi tidak ada krisis. Krisis hanyalah apabila ada seorang pemimpin ini dihadapkan ke mahkamah dalam kes peribadi beliau dan menunggu untuk dijatuhkan hukuman penjara beberapa bulan akan datang. Beliau melibatkan krisis peribadi dan mahu mengheret seluruh institusi negeri untuk menyelesaikan krisis peribadi beliau. Ini puncanya dan bukan kali pertama berlaku.

Malangnya sekutu mereka, Pas kini terhimpit dalam polemik yang dicipta Anwar dan membuatkan parti itu semakin berpecah belah?

EZAM: Saya ingin ingatkan kawan-kawan dalam pakatan, mengapa mereka sengaja membiarkan diri mereka diperalatkan oleh Anwar berkali-kali terutama Pas. DAP saya tidak hairan sebab apa yang Anwar lakukan ini selari dengan kehendak DAP yang memang mahu institusi-institusi negeri dan negara lemah khususnya institusi raja, Melayu dan agama. Itu sifat DAP yang lebih sekular daripada negara sekular lain. DAP tidak merasakan Anwar memperalatkan mereka tetapi DAP merasakan mereka memperalatkan Anwar. Itu saya tidak hairan, yang saya hairan mengapa Pas sebuah parti yang berdiri di atas tapak yang kukuh atas asas agama dan sejarah perjuangan yang panjang, boleh diperalatkan berkali-kali oleh seorang pemimpin yang punya masalah peribadi. Tanya saya 'Langkah Kajang' untuk letak Anwar, letak Wan Azizah, apa punlah, ia hanya berkisar kepada kes jenayah beliau.

Bagaimana saudara melihat sejak awal lagi pengaruh Anwar dalam Pas?

EZAM: Saya masih ingat sejak awal saya bersama Anwar, beliau hanya mahu menggunakan Pas sebagai alat untuk mencapai cita-cita peribadi. Beliau tidak pernah menghormati Pas. Malah, pernah satu ketika ada usul daripada kita supaya beliau menyertai Pas untuk memperkuatkan 'basis' Islam dan Melayu melalui sebuah parti kerana kita sudah melihat pada masa itu, PKR tidak mampu membawa agenda Melayu dan Islam kerana terlalu bersifat terbuka. Pada masa itu, kita nampak kemunculan tokoh-tokoh anti-Islam dan anti-Melayu yang mendapat tempat dalam PKR. Dalam beberapa kes membabitkan isu-isu besar seperti Lina Joy dan murtad, PKR gagal mengambil pendirian yang pro-Islam dan Melayu. Kita pernah berjumpa dengan Anwar dan mencadangkan kepada Anwar demi menyelamatkan agama dan bangsa, kita duduk bersama Pas dan bersatu tetapi Anwar menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha untuk bersama dengan Pas. Maknanya, beliau memang tidak percaya kepada perjuangan Pas.

Ini orang Pas kena faham, Anwar bukan seorang yang menghormati Pas sebagai sebuah parti dari awal lagi. Anwar tahu kalau Pas itu kukuh dari segi asas agama dalam perjuangan, selagi itu, Anwar akan hadapi masalah. Jadi, beliau mula mengkader kelompok-kelompok yang dekat dengan beliau untuk masuk Pas. Orang seperti Datuk Kamaruddin Jaafar contohnya ialah bukan orang UMNO sahaja tetapi orang Anwar daripada ABIM lagi yang masuk UMNO bersama Anwar tetapi tidak masuk PKR apabila Anwar tubuhkan PKR tetapi masuk Pas. Dia sekarang antara tokoh paling agresif dan aktif untuk melemahkan institusi syura dan ulama dalam Pas. Begitu juga dengan tokoh-tokoh Pas yang lain yang dikader oleh Anwar.

Namun Pas kini dilihat gagal bertindak terhadap ahli mereka yang bertindak membelakangi parti dalam isu ini?

EZAM: Pas sepatutnya sebagai sebuah parti harus mengambil tindakan yang tegas. Bagi saya, ketegasan dalam membuat keputusan pada saat krisis itu amat penting dalam perjuangan. Contoh dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang ingkar, itu satu perbuatan yang jelas bercanggah dengan prinsip disiplin parti, yang jelas khianat kepada perjuangan, yang boleh merosakkan seluruh jentera parti sekiranya tindakan tidak diambil kerana dia memberikan ruang kepada tindakan-tindakan seumpama yang membelakangkan parti. Tindakan dua ADUN ambil keputusan sebelum Pas buat keputusan, ini jelas membelakangkan parti. Ini permainan budak-budak Anwar.

Saya panggil 'Anwarinas' ini budak-budak Anwar sahaja. Apa keputusan Pas sebagai sebuah parti? Sampai hari ini tidak ada keputusan. Kalau parti itu tegas mereka akan terus ambil tindakan. Memecat itu satu tindakan yang wajar, menggantung itu dilihat sebagai ringan dalam keadaan ini. Jangan kata pecat, gantung pun tidak ada. Inilah masalah Pas sebagai sebuah parti. Pas mungkin punya asas perjuangan yang betul dan orang yang punya niat ikhlas dalam perjuangan tetapi itu tidak cukup untuk merealisasikan sebuah perjuangan. Melaung takbir itu senang tetapi mentadbir itu susah. Episod Selangor ini membuktikan sekali lagi gagalnya Pas dalam mentadbir dan mengurus krisis dan ini menjatuhkan imej Pas di mata masyarakat.

Akhirnya Sultan Selangor turut terheret sama dalam krisis ini namun kesungguhan dan kepimpinan baginda dalam mempertahankan negeri dan rakyat begitu mengagumkan. Ramai yang menghormati peranan tuanku dalam menangani hal ini. Apa pandangan saudara?
EZAM: Apa yang dilakukan Sultan Selangor itu sebenarnya sesuatu yang harus menjadi teladan kepada pemimpin-pemimpin politik. Baginda meletakkan kepentingan negeri mengatasi kepentingan-kepentingan lain. Sebab itu, baginda cukup berhati-hati membuat keputusan dan dalam beberapa kes tertentu, baginda ke hadapan dalam mempertahankan agama. Baru-baru ini, baginda secara terbuka dan terang menempelak (Ahli Parlimen Shah Alam) Khalid Abdul Samad, selepas itu Anwar. Cuma, cara berbeza. Sultan menempelak Khalid Samad dengan cara ucapan terbuka tetapi menempelak Anwar dengan tindakan dan keputusan yang dibuat dan ia merupakan satu keputusan yang betul. Bagaimana seorang sultan yang diakui ramai seorang sultan yang cerdik, dan banyak rekod mempertahankan negeri dan rakyat negerinya boleh membenarkan seorang pemimpin politik seperti Anwar mengganggu negerinya.

Apa yang dilakukan oleh sultan, pada hemah saya adalah untuk menjaga kepentingan negeri daripada dinodai dan dirosakkan oleh seorang pemimpin politik yang terdesak, desperado yang terhimpit dengan jenayah dan masalah peribadi, serta keluarga dan parti beliau, mahu mengheret dan merosakkan seluruh institusi negeri. Sepatutnya apa yang dilakukan oleh Sultan Selangor dilakukan oleh semua pemimpin politik yang lain khususnya Pas yang berasaskan kepada Islam. Sepatutnya mereka melakukan apa yang dilakukan oleh Sultan Selangor dengan tidak membenarkan seorang manusia memperalatkan seluruh institusi negeri untuk kepentingan sendiri.

Sebab itu, menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankan Sultan Selangor dan menyokong baginda kerana baginda melakukan sesuatu perkara yang betul walaupun sukar. Bukan mudah berhadapan dengan seorang pemimpin politik seperti Anwar. Apatah lagi kuasa baginda sebagai seorang sultan terbatas, baginda tidak boleh berceramah dan tidak boleh sewenang-wenangnya membuat kenyataan akhbar tetapi baginda sanggup ambil risiko itu kerana baginda yakin membuat keputusan yang betul.

Mungkin saudara ada pandangan sendiri bagaimana cara terbaik dalam menyelesaikan kemelut di Selangor ini?

EZAM: Krisis Selangor berpunca daripada Anwar. Kalau kita mahu memperbetulkan keadaan ini, kita mesti pergi kepada puncanya dan puncanya ialah Anwar. Bukan institusi raja, bukan Abdul Khalid tetapi sekarang ini mereka jurus kepada Abdul Khalid. Bukan mana-mana penjawat awam atau sistem dalam Selangor puncanya tetapi Anwar. Sepatutnya Pas melihat itu dengan jelas sebagai puncanya dan mencari solusi untuk menyelesaikan masalah ini. Kalau tanya saya, jelas Anwar puncanya dan bersama Anwar ialah keluarga dan parti yang dia kuasai. Macam dia nak cakap, PKR dikuasai Anwar.

Bukti terbaharu Abdul Khalid, Menteri Besar Selangor dan ahli PKR dipecat oleh Anwar tanpa melalui prosedur yang betul dalam parti tetapi parti tidak mampu mempertahankan Abdul Khalid. Itu menunjukkan PKR telah dikuasai Anwar. Jadi, parti yang telah dikuasai Anwar tidak mampu menyelesaikan masalah negeri ini. Sepatutnya Pas kalau waras, cerdik, punya tanggungjawab dan moral yang tinggi, mereka tidak ada alasan untuk meletakkan calon daripada parti PKR untuk memimpin negeri ini kerana parti itu sudah terbukti gagal. Melahirkan pemimpin seperti Anwar, itu gagal. Menolak seorang pemimpin seperti Abdul Khalid yang tidak mampu dipertahankan dengan adil, itu menunjukkan PKR gagal. Macam mana sebuah parti yang gagal dan rosak, mahu ditonjolkan nama untuk memimpin negeri ini. Sepatutnya dan sewajibnya Pas menampilkan calon daripada parti mereka sendiri untuk menyelesaikan masalah Selangor.

No comments: