Geng Bas Sekolah

August 11, 2014

UNDANG UNDANG TEGAS HADAPI PESALAH SIBER

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan bersedia menambah baik dan meminda undang-undang sedia ada terutama bagi membolehkan tindakan tegas dan adil dikenakan terhadap individu yang menyalahgunakan media sosial dan internet tanpa mengira kaum dan agama.

Sehubungan itu, menurut Timbalan Perdana Menteri, tidak ada alasan bagi mana-mana pihak berkuasa untuk tidak melakukan tindakan tegas terhadap individu yang melanggar undang-undang negara tanpa mengira kaum dan agama.

"Pada masa ini masyarakat kata seolah-olah ada pendakwaan terpilih di mana kalau kes-kes berkaitan Melayu cepat sahaja dikenakan tindakan dan kalau yang bukan Melayu lambat.

"Ini kita ambil perhatian dan bersetuju dalam situasi sedia ada kalau memadai ia (undang-undang tersebut) harus dikuatkuasakan dan diambil tindakan tegas tidak mengira kaum.

"Kita ada ketegasan, kita bincang dalam Kabinet dan ramai berkata kalau undang-undang tidak cukup kuat dan tidak tegas, kita pinda," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera di Dewan Rakan Muda di sini hari ini.
 
Menurut Muhyiddin, penambahbaikan undang-undang dilihat mampu menangani penyalahgunaan media sosial yang semakin berleluasa serta memastikan hukuman yang adil dikenakan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan tanpa mengira kaum dan agama.

Justeru, beliau memberi jaminan tidak akan ada mana-mana pihak daripada mana-mana kaum yang melakukan kesalahan akan terlepas daripada hukuman dan tindakan selepas ini.

Jelasnya, tindakan tegas perlu dilakukan terhadap pihak yang melakukan kesalahan tanpa mengira kaum dan agama memandangkan perkara itu boleh mencetuskan keadaan huru-hara di dalam negara.

"Jadi saya minta jangan ada pihak berkuasa tidak kira polis, Jabatan Peguam Negara atau pihak lain kata tidak dapat melakukan tindakan kerana tidak ada kuasa yang lebih," ujarnya.

Sementara itu, di BENTONG ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian berkenaan, Muhyiddin mengakui internet tanpa sebarang saringan turut menimbulkan masalah bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia.

Katanya, sebab itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri yang mengasaskan Koridor Raya Multimedia (MSC) dengan komitmen tanpa saringan internet baru-baru ini menyuarakan saranan supaya kerajaan menapis perkara yang disebarkan di internet.

Katanya, ini berikutan penyebaran perkara yang tidak benar di internet telah banyak menimbulkan masalah selain menjadikan pentadbiran terlalu kompleks.

"Kabinet sendiri sudah membincangkan perkara ini dengan panjang lebar. Kita tahu banyak perkara tidak benar yang disebarkan menerusi internet khsususnya di media sosial sehingga menenggelamkan perkara baik dilakukan," katanya. - SUMBER

No comments: