Geng Bas Sekolah

December 3, 2013

PENGIKUT PAS FITNAH DAN HINA ULAMA SEBAGAI BINATANG


Penceramah bebas, Ustaz Mohammad Kazim Elias mengumumkan keluar daripada Pas selepas kecewa dengan pelbagai fitnah serta tohmahan yang dilemparkan oleh pimpinan serta ahli parti itu terhadapnya selama ini.

Malah menurutnya, fitnah dan tohmahan itu semakin 'menjadi-jadi' selepas beliau ditawarkan sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO sehingga ada yang sanggup menggelarnya dengan panggilan binatang, munafik serta barua UMNO.

"Belum pun saya beri kata putus menerima atau menolak (jawatan MT UMNO), saya diserang dengan panggilan binatang, munafik. Ada pimpinan Pas kata saya seperti kambing yang akan dimakan serigala, ahli agama yang bercelaru, seolah-olah akan jadi berhala atau patung sembahan dalam UMNO dan macam-macam.

"Ini menggores hati saya. Kesabaran pun ada hadnya. Tetapi saya sudah lama berkecil hati dengan Pas. Serangan terhadap saya bermula sejak 2004 sedangkan saya aktivis Pas, mereka boikot saya, kata saya anjing, macai dan barua UMNO, walhal saya tak pernah jadi ahli UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan hampir sejam dengan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak di bangunan Parlimen, hari ini.

Ustaz Kazim berkata, kesabarannya terhadap segala fitnah dan tohmahan yang dilemparkan sampai ke kemuncak apabila ada suara-suara biadab yang menggelarnya anak babi dan anjing.

"Kalau ibu saya masih hidup, bayangkan perasaannya, mendengar anaknya dipanggil babi. Inikah yang dikatakan perjuangan Pas yang cuba nak martabatkan Islam?

"Oleh itu, saya ambil keputusan, sama ada saya pernah dipecat oleh Pas pada 2011, walau tiada surat pemecatan dan terbaharu mereka kata saya masih ahli Pas, kalau mereka kata saya ahli Pas atau kata saya telah dipecat, saya dengan ini mengisytiharkan keluar daripada Pas," tegasnya.

Kepada soalan mengenai keahliannya sepanjang berada di dalam Pas, ujarnya, beliau menyertai parti itu sebelum 1998 dan mendaftar di kawasan Gopeng, bukannya Manjui seperti dinyatakan oleh Pas.

"Saya hanya pindah ke situ (Manjui), baharu jadi ahli kawasan tersebut. Sebelum ini saya yang mula-mula buka Cawangan Pas Kampung Kuala Pari, Menglembu. Dalam sidang akhbar sebelum ini, saya mengakui, saya ahli Pas. Tetapi saya baca dalam blog, katanya (Pas Perak) mahu membawa usul pemecatan saya semasa muktamar parti itu.

"Namun, sehingga kini, saya tak tahu usul itu ada atau tidak, sebab saya tak dapat sebarang surat pemecatan. Sebab itu saya katakan saya ahli Pas dan terbukti Dewan Pemuda Pas dalam sidang akhbarnya baru-baru ini mengatakan saya masih ahli Pas yang sah," katanya.

Berhubung pendiriannya terhadap pelantikan sebagai ahli MT UMNO, beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk membuat pengumuman rasmi mengenai perkara tersebut.

Ditanya jaminan Najib susulan pelantikan berkenaan, katanya, pemimpin tertinggi UMNO itu tidak menyekat kebebasannya untuk bersuara atau berdakwah.

"Perdana Menteri memberi jaminan, saya diberikan kebebasan bersuara dan beliau sudi mendengar teguran serta nasihat. Ini niat baik, ikhlas Perdana Menteri untuk memartabatkan Islam dalam UMNO," ujarnya.

Beliau kemudiannya memberikan kenyataan berikut:

"Janganlah buat fitnah dan gelar orang dengan gelaran-gelaran buruk. Saya diterima Perdana Menteri untuk (jawatan) MT UMNO, sekurang-kurangnya berilah sokongan. Selama ini Pas kata UMNO tolak Islam, tapi adakah kita berdampingan, menasihati mereka, adakah kita menegur dan berkawan dengan mereka?

"Salahkah saya berkawan (dengan UMNO) untuk menasihati dan menegur. Ini peluang UMNO berubah, mereka beri peluang ahli Pas menyertai mereka. Ini patut diberi sokongan. Kalau Perdana Menteri memberi saya 'kuasa' dan menggubal dasar, bukankah itu lebih baik daripada sekadar bercakap."

No comments: