Geng Bas Sekolah

October 7, 2013

HISHAMMUDDIN GESA PERSIAP JENTERA PRK


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan Ibu Pejabat UMNO dan badan-badan perhubungan negeri termasuk ketiga-tiga sayap parti itu supaya memberikan masa secukupnya untuk mempersiapkan jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau di Kedah tatkala semua pihak sibuk berdepan pemilihan parti.

Menurutnya, kemenangan memperoleh satu lagi kerusi DUN di Kedah akan menjadi penanda ukur yang diperhatikan oleh rakyat terhadap parti itu.

"Walaupun sibuk dengan pemilihan parti, jangan lupa tanggungjawab kita yang lebih besar iaitu mahu memastikan calon kita menang dalam PRK terdekat iaitu di Sungai Limau yang masyarakat menjadi pihak berkepentingan.

"Pemilihan kita dalam UMNO umpama pertandingan adik-beradik dalam satu keluarga tetapi di Sungai Limau melibatkan musuh politik sebenar yang perlu dihadapi dengan penuh semangat dan iltizam tinggi,"

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, kemenangan BN di PRK Sungai Limau amat penting bagi memantapkan lagi kedudukan parti di Kedah selepas berjaya merampas kembali negeri tersebut pada PRU-13.

Menurut beliau, kejayaan menambah satu lagi kerusi di negeri itu bermakna parti berjaya mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap BN untuk terus mentadbir dan memimpin negeri tersebut.

"Oleh itu, dalam perjumpaan bersama bahagian-bahagian UMNO di Perak hari ini, saya telah meminta mereka untuk memberi bantuan dan sokongan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan rakan-rakan kita di Kedah demi memastikan kemenangan BN di Sungai Limau," katanya.

Tambah beliau, sumbangan dan sokongan daripada UMNO Perak terutamanya dari segi logistik dan perkakasan amat penting kerana Perak merupakan negeri terhampir dengan Kedah.

1 comment:

Anonymous said...

pelik, kenapa hisham sibuk sangat pasal jentera prk sungai limau, dari hari tu dok cerita pasal persiap jentera, satu soalan aku, hisham nak rampas jawatan pengarah pilihanraya prk dari ts muhyiddin ke?