Geng Bas Sekolah

June 6, 2013

UMNO Perlu UBAH !


UMNO perlu membuat 'bedah siasat' terhadap perjuangan semasanya yang tersasar jauh serta dianggap tidak relevan berbanding dahulu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, walaupun parti orang Melayu itu dilihat menang besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 namun hakikatnya orang Melayu 'terpaksa' menyokong UMNO kerana khuatir dengan penguasaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

"Mungkin kita boleh tepuk belakang kerana UMNO masih menjadi parti yang menang terbanyak dalam pilihan raya umum lalu. Tetapi ini bukan kerana orang Melayu masih sokong UMNO. Sebenarnya kemenangan UMNO disebabkan mereka tiada pilihan.

"Mereka amat takut kalau Anwar menang bersama DAP. Maka, akan hancurlah harapan orang Melayu sama sekali. Seburuk-buruk UMNO, ia masih berbau Melayu dan masih memelihara kepentingan Melayu. Oleh itu tiada pilihan bagi mereka jika tidak sokong UMNO," katanya.

Dr. Mahathir berkata, atas dasar itu, dalam pilihan raya umum akan datang, UMNO tidak boleh mengharapkan realiti keadaan sedemikian berterusan.

"Jika UMNO tidak bersihkan dirinya daripada rasuah dan kepentingan diri, orang Melayu mungkin mencari jaguh yang lain. Demikianlah riwayat dan sejarah sebuah parti politik yang melupakan asal-usul dan sebabnya ia ditubuhkan.

"Demikianlah berakhirnya perjuangan yang lari jauh daripada matlamat asalnya. Dahulu lain, sekarang lain. Sejarah dan kecapaian dahulu tidak akan meraih sokongan selama-lamanya," tegasnya.

Untuk itu, jelas beliau, UMNO tidak boleh lagi mengharapkan kepada kata-kata keramat Laksamana Hang Tuah iaitu 'tak akan Melayu hilang di dunia'.

"Mungkin Melayu tidak akan hilang di dunia tetapi apakah jenis Melayu yang tidak hilang ini? Dan apakah nasib UMNO? Ia akan jadi cerita dongeng dalam buku kanak-kanak di zaman akan datang.

"Inilah masa depan yang menunggu UMNO. Inilah masa depan sebuah parti yang cemerlang tetapi sudah hilang kegemilangannya. Inilah masa depan bagi yang tidak mahu sedar dan tidak mahu membetulkan diri," katanya.

Beliau seterusnya mengingatkan kembali perjuangan asal UMNO yang tidak meletakkan kepentingan diri atau niat untuk menjadi pembesar dengan upah lumayan.

Sehubungan itu, jelasnya, UMNO dihormati, dialu-alukan dan disokong hampir semua orang Melayu.

"Tetapi tidak pada hari ini. Sekarang UMNO tidak lagi dipandang tinggi dan tidak disokong seperti dahulu. Kenapa? Kerana UMNO tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanah air.

"UMNO dilihat berjuang untuk kepentingan orang-orang tertentu dalamnya dan ahlinya sahaja. UMNO berjuang untuk jawatan dan pangkat, untuk mengkayakan diri, untuk sagu hati dan untuk poket sendiri," katanya.

No comments: