Geng Bas Sekolah

June 13, 2013

Risikan Yahudi Zionis Terhadap Negara Islam


PENDEDAHAN yang dilakukan oleh Edward Snowden beberapa hari lepas telah mengesahkan bahawa Amerika Syarikat (AS) melalui agensi perisikan terutama sekali Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) berkemampuan melaksanakan pemantauan sulit secara menyeluruh terhadap semua data komunikasi elektronik melalui talian telefon dan juga internet.

Maklumat mengenai NSA selama ini tidak diketahui secara terperinci kerana agensi ini melaksanakan aktiviti mereka secara tersirat tetapi apa yang pasti adalah perisikan merupakan salah satu tugas utama mereka. Virus komputer Stuxnet umpamanya yang menular pada tahun lepas khusus untuk melumpuhkan program loji nuklear Iran dipercayai berpunca daripada NSA.

Apa yang paling mengejutkan ialah NSA melalui program yang dinamakan PRISM mampu mencapai maklumat daripda penyedia kemudahan internet terkenal seperti Google, Microsoft, Yahoo, Facebook, YouTube, Skype, PalTalk dan mungkin banyak lagi sumber daripada pembekal lain.


Selama ini pengguna kemudahan tersebut mempunyai persepsi bahawa maklumat komunikasi dirahsiakan oleh pembekal tetapi pendedahan tersebut membuktikan sebaliknya telah berlaku.

Tidak dapat dinafikan bahawa serangan pengganas pada 11 September 2001 menjadi pemangkin untuk AS melaksanakan pendekatan drastik memantau maklumat komunikasi demi mengelak tragedi serangan pengganas berulang kembali.

Sebab itu AS memperkenalkan Akta Patriot untuk memberi kekebalan kepada agensi perisikan seperti NSA melaksanakan tugas pemantauan mereka.

Tetapi timbul kemusykilan dan syak wasangka terhadap aktiviti pemantauan NSA kerana ia tidak terhad kepada apa yang berlaku di AS sahaja tetapi melangkaui seluruh dunia.

Ini adalah kerana walaupun syarikat internet yang terlibat tersebut kesemuanya berpangkalan di AS, tetapi saluran komunikasi internet dunia terpaksa melalui kemudahan saluran peranti yang sama yang secara tidak langsung membuka peluang kepada NSA mencapai maklumat secara global.

Jika Akta Patriot memberi kekebalan kepada NSA untuk memantau maklumat di AS tetapi melakukannya secara global mengundang banyak pertanyaan apakah tujuan sebenar agensi tersebut.

Naib Presiden Suruhanjaya Eropah Viviane Reding mengutus surat kepada Peguam Negara AS, Eric Holder Jr menyuarakan kebimbangan pemimpin Kesatuan Eropah (EU) terhadap program pemantauan NSA yang turut melibatkan rakyat EU.

Tetapi jika diteliti dokumen yang didedahkan oleh Snowden, terdapat kecenderungan pemantauan NSA tertumpu kepada beberapa negara sahaja yang dianggap mempunyai hubungan sensitif dengan Washington.

Mengikut jumlah data perisikan yang dikumpulkan untuk Mac 2013 sahaja, Iran berada pada kedudukan teratas dengan sebanyak 14 bilion laporan perisikan telah dikutip oleh NSA. Sementara Pakistan berada pada tahap kedua terbanyak dengan 13.5 bilion maklumat perisikan yang berpunca dari negara Asia Selatan itu.

Mungkin agak menarik dan tidak mengejutkan Jordan dalam jangka masa sama telah dipantau maklumat sebanyak 12.7 bilion dan diikuti oleh Mesir sebanyak 7.6 bilion maklumat.

Berbanding dengan rakyat AS yang hanya melibatkan 2.8 bilion maklumat yang dipantau, maka niat sebenar mengapa NSA memberi tumpuan kepada Iran, Pakistan, Jordan dan Mesir telah dipersoalkan oleh banyak pihak.

Fenomena Arab Spring yang melanda Tunisia dan Mesir umpamanya bukan berlaku secara tidak sengaja tetapi sebenarnya mempunyai perancangan yang begitu rapi. Perancangan tersebut berjaya dilaksanakan kerana kecekapan maklumat perisikan yang menggambarkan senario setempat dengan begitu tepat sekali.

Sumber maklumat risikan yang banyak membantu dalang di sebalik tabir membuat keputusan yang betul mengikut keadaan semasa kebanyakannya berpunca dari pemantauan komunikasi internet.

PalTalk umpamanya walaupun berpengkalan di AS tetapi sebahagian besar pengguna negara Asia Barat seperti di Iran, Jordan, Mesir dan juga Syria menggunakan kemudahan tersebut untuk berkomunikasi di alam maya.

Kemelut yang sedang melanda Syria pada ketika ini yang dianggap sebagai perang saudara dikatakan agak sukar dilakukan analisis mengenai keadaan sebenar kerana ketandusan maklumat yang sahih. Tetapi bagi AS mungkin tidak menjadi satu masalah besar kerana kemampuan NSA memantau dan mentafsirkan maklumat internet pengguna di Syria memberi kelebihan kepada Washington ketika membuat keputusan.

Walaupun jumlah maklumat yang dikutip NSA untuk Malaysia tidaklah sebanyak seperti mana yang berlaku terhadap beberapa negara Asia Barat, tetapi implikasinya adalah tetap sama. Paling dikhuatiri adalah penggunaan kemudahan jaringan media sosial dalam internet oleh rakyat Malaysia tanpa batasan dan kebebasan berleluasa mungkin boleh memberi gambaran yang tidak benar bahawa negara sedang bergolak.

Jika diteliti secara rambang maklumat komunikasi yang disalurkan oleh pengguna internet Malaysia yang kebanyakannya tidak benar, situasi menggambarkan sebahagian besar rakyat telah hilang kepercayaan terhadap kerajaan yang memerintah.

Oleh kerana maklumat yang disebarkan oleh golongan tertentu dilakukan secara terancang, ia seakan-akan memberi persepsi bahawa itulah perkara sebenar yang sedang melanda Malaysia. Apa yang paling dibimbangi adalah gambaran serong yang berpunca daripada maklumat internet yang salah boleh disalah gunakan oleh kumpulan tertentu yang mahu menyaksikan pertukaran tampuk pemerintahan.

Atau dengan bahasa yang lebih mudah, pertukaran kerajaan secara tidak sah yang telah pun melanda Tunisia, Mesir dan Libya yang sebahagian besar disebabkan oleh pemangkin sumber maklumat internet boleh juga melanda Malaysia jika sebahagian rakyat terlalu taksub dengan kepercayaan maklumat tanpa tapisan daripada internet. - Utusan Malaysia

No comments: