Geng Bas Sekolah

June 14, 2013

Institusi Zakat Malaysia Zalim !


Saya terus menerima panggilan telefon saudara Muslim mengadu akan untung nasib dirinya. Terbaru, seorang ibu tunggal saudara Muslim yang mempunyai enam orang anak mengadu permohonannya untuk mendapat bantuan zakat ditolak oleh pejabat agama Sepang. Alasannya, saudara Muslim tersebut sudah memeluk Islam lebih lima tahun, maka dia bukan lagi dikategorikan dalam asnaf muallaf. Baru saya tahu bahawa istilah muallaf ini ada jangka hayat. Benar, saudara muslim tidak wajar digelar muallaf selama-lamanya. Namun, apakah mereka tidak berhak mendapatkan bantuan melalui asnaf muallaf? Pada saya, selagi mana mereka memerlukan bantuan disebabkan oleh ketidakmampuan atau ketidakupayaan, termasuk juga mereka yang kurang upaya (OKU), mereka berhak mendapat bantuan sehingga ke akhir hayatnya.

Persoalan saya, jika contoh yang disebut tadi, sudah tidak kategorikan dalam asnaf muallaf, masih ada kategori asnaf yang lain seperti fakir, miskin, fisabilillah dan sebagainya. Kenapa kita tidak memberikan jawapan kedua, ketiga dan sebagainya, bagi menunjukkan bahawa Islam amat mengambil berat soal kehidupan mereka, sebaliknya menolak permohonan beliau mentah-mentah. Bayangkan selepas itu, mereka mengambil jalan singkat seperti murtad dan pergi meminta bantuan kepada agama lain. Siapakah yang seharusnya dipersalahkan? Apakah yang akan kita jawab nanti di mahkamah Allah SWT?

Inilah mentaliti segelintir pegawai di pejabat agama yang perlu dan mesti berubah. Jika tidak, persepsi terhadap pejabat agama di kalangan masyarakat akan terus berada dalam takuk lama. Pejabat agama dilabelkan sebagai lembab, tidak tahu buat kerja dan berbagai lagi tohmahan yang selalu saya dengar.

Sebagai ‘orang agama’, kita tidak tergamak mendengar cacian dan makian tersebut. Kita sedaya upaya cuba untuk mempertahankan pejabat agama. Tetapi jika beginilah keadaannya, terpaksalah saya menulis untuk kita sama-sama muhasabah diri. Jika tidak, masalah tidak ada penghujungnya. Justeru, pada saya sudah sampai masanya kita berubah. Maaf, jika ada yang tersinggung membacanya.

Saya tidak nampak istilah muallaf itu ada jangka hayat. Jika mereka benar-benar memerlukan bantuan, berikan sahaja. Tidak perlu dipersoalkan sama ada dia baru atau lama. Sama statusnya seperti asnaf lain fakir, miskin dan sebagainya. Adakah ada jangka hayatnya jika mereka sememang tidak dapat dan tidak mampu untuk berubah setelah berusaha bersungguh-sungguh.

Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberi dan membantu mereka. Lagipun wang zakat bukan bapak kita yang punya. Wang zakat adalah harta orang ramai. Ia perlu diagih-agihkan, bukannya seronok melihat wang terkumpul untuk dipuji kerana pandai mengutip dan menguruskan zakat.

Saya amat yakin pemberi zakat, mahukan harta yang mereka infaqkan benar-benar dapat dirasai oleh golongan sasaran, bukannya golongan pilihan. Kadang-kadang saya amat musykil, kita memberi wang zakat kepada mereka yang kita suka, bukan kepada mereka yang berduka, yang benar-benar memerlukan.

Bayangkan selepas ini saudara Muslim tersebut merasa kecewa dan bertindak keluar Islam atau murtad, apakah kita tega mengatakan, “biarkanlah dia murtad, kalau jadi Islampun menyusahkan sahaja, tak habis-habis datang minta duit. Apa! Ingat pejabat agama ni bank ke?”. Inilah suara-suara sumbang yang kadang kala kedengaran. Bila kena pada saudara muslim kita terlalu berkira, pada yang lain, kita buat-buat pejam mata. Pada hemat saya, demi masa depan dakwah, saudara muslim adalah aset yang amat berguna. Kita tidak rugi sedikitpun jika membantu mereka. Malahan pahala datang mencurah-curah. Tidak perlulah dipertikaikan berapa kali mereka datang meminta bantuan. Mereka yang bermaruah tidak akan meminta-minta kecuali setelah terdesak. Tanpa menafikan kadangkala berlaku juga penipuan.

Wang zakat yang dikutip setiap tahun, di Selangor hampir satu billion setahun. Bayang jika dicampurkan semua negeri. Ke manakah wang tersebut dibelanjakan atau dilaburkan. Tidakkah wang tersebut perlu dihabiskan untuk kegunaan umat Islam yang memerlukan? Tahun depan kita kutip lagi. Adakah kita boleh berbangga dengan mengatakan negeri akulah kutipan zakat yang terbesar? Sedangkan ramai lagi yang merempat? Lebih malang lagi, ada polisi dan dasar yang hanya membantu rakyat di negerinya sahaja. Jika ada mereka yang berlainan negeri, yang datang meminta bantuan, maka jawapannya mintalah bantuan di negeri di tempat kelahiran. Di manakah konsep kesejagatan Islam atau the universality of Islam? Kenapa kita terlalu bersifat kenegerian? Di manakah rasionalnya polisi hanya membantu rakyat negerinya sahaja?

Saya amat hairan kenapa kita begitu banyak cengkadaknya bila berhadapan bantuan kepada saudara Muslim. Terlalu kedekut dan jumud. Sedangkan dalam program lain, kita tidaklah begitu berkira. Yang sepatutnya dibantu, tidak dibantu. Yang tidak sepatutnya dibantu, kita bantu.

Apa yang saya bangkitkan hanya satu aspek kehidupan saudara Muslim. Ini belum termasuk isu yang lebih besar seperti follow up terhadap mereka selepas memeluk Islam. Adakah mereka selamat atau aman selepas memeluk Islam? Bagaimana penentangan keluarga asal mereka?

Jika kita benar-benar follow up kalangan saudara Muslim ini, masih ramai sebenarnya yang kais pagi makan pagi mais petang makan petang, tidak kurang yang dihalau daripada rumah. Namun, apakan daya kita tidak mencari mereka. Kita biarkan sahaja mereka selepas memeluk Islam. Kita menunggu mereka datang. Bila mereka datang, kita tidak layan dan tidak bantu untuk memudahkan mereka. Malah, kita menyindir mereka dengan kata-kata yang menyakitkan.

Sepanjang pengalaman saya yang pernah memeluk agama Kristian. Jika seseorang datang meminta bantuan, mereka tidak akan diherdik atau disiasat seperti peminta sedekah. Tetapi paderi-paderi mereka begitu ramah dan berusaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mereka menawarkan pelbagai perkhidmatan dan kasih sayang sehingga hati seseorang itu akan menjadi cair atau lembut.

Maka tidak hairanlah hari ini semakin ramai orang bukan Islam memeluk Kristian daripada Islam. Pendekatan kita terlalu rigid dan kasar berbanding Kristian. Ada kalanya khidmat mereka tidak berakhir di pejabat tetapi sehingga ke rumah. Akhirnya mereka berjaya mengKristiankan seluruh isi rumah tersebut.

Dakwah Kristian tidak mementingkan daerah, warna kulit dan latar belakang. Missionari mereka yang datang berdakwah di negara kita ada yang datang dari luar negara. Mereka sanggup bergerak ke sana ke mari untuk menyampaikan dakwah Kristian.

Inilah kelebihan orang lain yang kurang ada kepada kita. Follow up mereka begitu mantap. Kita hanya berakhir dengan di pejabat sahaja dan kursus-kursus yang dianjurkan. Jarang sekali untuk melakukan follow up yang boleh mengetuk dan menyentuh hati mereka. Misalnya, dengan melakukan ziarah ke rumah mereka, dengan membawa serba sedikit atau serba banyak buah tangan.

Sepanjang ingatan saya, gerakan dakwah yang bergerak ke hospital, rumah orang tua dan kawasan penempatan orang Asli mulanya dipelopori oleh missionari Kristian. Mereka sanggup bersusah payah semata-mata untuk menyebarkan agama mereka.

Misalnya, ada yang sanggup tinggal berbulan-bulan dengan orang Asli, semata-mata untuk memikat hati mereka. Bayangkanlah betapa sukarnya untuk menyesuaikan diri dengan orang Asli. Tetapi mereka tidak keluh kesah. Mereka tabah. Pada mereka, dakwah agama mereka mesti sampai kepada golongan sasaran, walaupun terpaksa berkorban jiwa dan raga, termasuk harta benda.

Banding kita hari ini yang turut berdakwah kepada orang Asli. Paling lamapun kita tinggal hanya tiga hari. Itupun dengan peruntukan yang terhad. Kita tidak dapat memberikan serba banyak hadiah kepada sasaran untuk memikat dan mengetuk hatinya.

Lantaran takut dengan gerakan tersebutlah, maka hari ini kita turut melakukan perkara yang sama. Kenapa kita tidak lakukan sejak dahulu lagi? Kita bertindak apabila merasa tergugat atau action oriented. Tidakkah sepatutnya kita bertindak sebelum orang lain bertindak?

Amat malang sekali jika sehingga ke hari ini kita tidak pasti siapakah pelanggan kita sebenarnya dalam dunia dakwah. Kita terlalu menumpukan kepada masalah umat yang lahir Islam daripada mereka yang belum Islam. Apa gunanya unit saudara Muslim di setiap pejabat agama, jika ia tidak bergerak? Lebih malang lagi, kita tidak memberikan kepercayaan kepada saudara Muslim untuk mengetuai unit tersebut bagi menyemarakkan lagi program dakwah kepada pelanggan bukan Islam kita? Agak lucu juga kadang kala apabila melihat unit dakwah kepada bukan Islam, mereka yang mengetuainya tidak faham banyak bahasa, apatah lagi selok-belok berdakwah kepada bukan Islam.

Bayangkan jika semua saudara muslim berjaya kita hasil sehingga mereka benar-benar menjadi penganut agama Islam yang komited dan pendakwah. Tidakkah kita sedar bahawa dakwah akan terus menyalir? Malangnya, kita tidak memberikan kepercayaan kepada saudara Muslim untuk mengetahui unit dakwah yang menjadi tanggungjawab kepada mereka merangka strategi berdakwah. Apatah lagi jawatan-jawatan yang lebih penting dan lebih besar, sudah tentu jauh panggang dari api. Dalam Ahli Majlis Agama negeri-negeripun, boleh dikatakan muka-muka saudara Muslim langsung tiada.

Kadangkala saya merasa pelik kenapa kita tidak memberikan kepercayaan kepada saudara Muslim? Kenapa mereka tidak diberikan sedikit keutamaan?

Berbalik kepada ibu tunggal tersebut, jika kita bantu dia dan anaknya, katakan RM1000.00 sebulan, bermakna setahun berjumlah hanya RM12,000.00. Berapa peratuskah RM12,000.00 daripada RM1000,000,000.00 (1 bilion) yang dikutip. Lagipun, mereka yang berpendapatan di bawah RM1000.00 di negeri-negeri tersebut masih dalam kategori miskin tegar.

Janganlah kita terlalu ghairah membina bangunan dan membeli asset melalui harta zakat, sedangkan di bawah sana, masih ramai lagi merintih dan meratap mengharapkan bantuan.

Seringkali saya bangkitkan, jika kita tidak dapat membantu melalui wang ringgit secara tetap, sekurang-kurangkan sediakan tempat tinggal untuk mereka. Namun, sehingga kini, masih belum menjadi realiti. Kita banyak berpolitik daripada berdakwah.

Kita tidak seharusnya mempolitikkan institusi yang mempunyai kaitan secara langsung dengan dakwah. Kita sepatutnya bekerja untuk memantapkan lagi institusi tersebut. Hiba rasanya dihati apabila melihat institusi dakwah turut berpolitik. Jawatan utama menjadi rebutan.

Akhirnya, kerja tidak berjalan. Pengalaman saya menyertai sebuah pertubuhan yang begitu berpengaruh, amatlah menyedihkan. Kerja-kerja dakwah terbengkalai. Kita sibuk berpolitik, saling jatuh menjatuhkan antara satu sama lain. Jika ada pemilihan, kita turut berkempen seperti kempen pilihan raya.

Ada yang sanggup menyebarkan risalah tolak calon India Muslim dan calon Cina Muslim dalam pemilihan tersebut. Mereka begitu giat aktif berkempen, bagi mendapat dan membolot jawatan. Saya masih tercari-cari apakah kepentingannya merebut jawatan dalam pertubuhan dakwah.

Lebih malang lagi, baru-baru ini ada mencadangkan pertubuhan tersebut mencetak buku berkaitan dengan Konfucius. Secara spontan, orang kuat pertubuhan tersebut menolak cetakan buku tersebut kerana dikatakan fahaman Konfucius tidak sesuai dengan Islam. Sedangkan semua orang tahu nilai-nilai yang dibawa oleh Konfucius tidak bertentangan dengan Islam. Jika kajian dibuat, berkemungkinan Konfucius adalah salah seorang daripada ribuan nabi dalam Islam.

Jika Konfucius bukan nabi sekalipun, tidakkah kita boleh melihat ia sebagai satu dialog peradaban, untuk menyampaikan dakwah Islamiyyah kepada bukan Islam.

Saya amat pelik kadang kala melihat umat Islam. Pada mereka, kerja-kerja Islam itu adalah mencetak surah Yassin. Justeru, kita lihat lambakan surah Yassin yang dicetak memenuhi masjid sehinggakan tidak ada ruang lagi untuk disimpan. Masalahnya jika kerap digunakan dan ramai yang membaca tidak mengapa. Ini tidak, kita hanya membaca Yassin pada malam Jumaat sahaja, itu pun dalam bilangan yang tidak ramai.

Dalam fahaman kita, mencetak buku Yassin sahaja yang mendatangkan pahala. Jika buku lain dicetak atau diletakkan di dalam masjid seperti buku dialog peradaban Islam - Konfucius, itu adalah tidak Islamik dan berdosa. Inilah mentaliti yang masih tidak berubah. Justeru, saya memohon kepada institusi dakwah, termasuk institusi zakat, supaya melihat isu yang dibangkitkan secara serius. Bertindaklah mengikut keutamaan bukan mengikut perasaan. Jika benar saudara Muslim memerlukan bantuan, janganlah kita terlampau berkira.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis.

5 comments:

Labu8455 said...

Kebanyakan yang diberi tanggungjawab "mengawal" keluar masuk wang zakat ini adalah orang yang tidak boleh dipercayai. Dalam urusan wang zakat ini pun banyak yang telah di "politikan" sehingga yang benar benar dalam kesempitan telah dipinggirkan tapi yang "pasang cable" dengan mudah boleh terima wang zakat.

Anonymous said...

he he he.......jom sume kite gi turun ka jalanraye wat demontrasi........ade brannnn

Anonymous said...

Saya amat bersetuju dengan penulis.saya sendiri menghadapi situasi yg sams seperti ibu tunggal terbabit.ini bukan bank,awak da masuk islam berapa tahun,peluk islam dimana,ada pergi kelas tak....so fedup with all the crappy questions..what about asnaf2 lain yg dapat bantuan,ada pergi kelas ke,ada tempoh tertentu je ke untuk mohon zakat...please la




Anonymous said...

Saya mualaf yg ingin memohon bantuan.malangnya,soalan pertama ialah dah berapa tahun peluk islam dan sda pergi kelas mualaf tak..bukannya nak prihatin,beri reaksi menyampah ada la..buat diri saya ni rasa hina sgt...

Anonymous said...

sya juga sorg muallaf.. sya pernah meminta bantuan baitumal, mrk kata susah..maksudnya tak dptlah tu.. pada masa itu sya msh belajar lagi. keluarga sya sekat pembelanjaan sya.