Geng Bas Sekolah

May 8, 2013

Orang Melayu Perlu Bangkit Dan Berjuang !


BAYANGKAN situasi yang membakar hati kami. Ketika kita orang Melayu mengaminkan doa, memohon restu ke hadrat Allah, sekumpulan kecil penyokong DAP berkahak dan berludah.

Apakah erti semuanya ini?

Kami melalui pengalaman yang mengguris hati ini ketika selesai keputusan pilihan raya di Parlimen Kluang, Johor baru-baru ini.

Penyokong DAP sudah tidak hormat lagi kepada orang Melayu. Mereka sudah tidak ada hormat lagi kepada agama Islam. Jika masih ada hormat, masakan ada yang berkahak dan berludah ketika kita sedang mengaminkan doa.

Orang Melayu tewas 1-2 kepada parti cauvinis Cina. Barisan Nasional (BN) tewas kepada DAP di Parlimen Kluang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol (kedua-kedua kawasan ini majoritinya orang Cina). Kita hanya menang di DUN Mahkota, kerana hanya di sini orang Melayu membentuk majoriti. Kita dibantu oleh orang India yang kenal erti setiakawan.

Maksudnya apa? Di Kluang, majoritinya adalah orang Cina. Justeru, hampir seluruh orang Cina Kluang mengundi untuk DAP (kecuali ahli MCA, Gerakan dan komponen lain). Pas yang bertanding di DUN Mahkota tewas kepada calon BN yang diwakili UMNO. Terima kasih orang Melayu Kluang kerana masih mahu negara ini ditadbir oleh BN yang tunjangnya adalah UMNO.

Orang Melayu masih yakin bahawa UMNO adalah parti tunjang BN yang akan membela nasib orang Melayu.

Ketika berkempen di kawasan orang Cina, kami orang Melayu sudah rasa bahangnya. Anak-anak muda yang saya pimpin untuk mengenal erti demokrasi dalam masyarakat berbilang kaum tergamam dengan sikap penyokong DAP.

Ketika menghulurkan tangan untuk bersalaman, mereka enggan menyambut salam orang Melayu! Penyokong DAP menggeleng kepala ketika orang Melayu menghulurkan risalah BN.

Penyokong DAP juga menunjukkan isyarat lucah kepada orang Melayu yang melintasi kawasan mereka. Malah, pekedai-pekedai Cina juga membuat mimik muka benci dengan kehadiran petugas BN di kedai mereka.

Malah, ada yang menjerit Melayu sampah!

Buang Melayu! Hancurkan Melayu!

Ya Allah, ini bukanlah masyarakat Cina yang kami kenal dahulu. Kami ada teman baik daripada masyarakat Cina seperti Hou, Chye, Choong dan beberapa lagi, tetapi jumlahnya adalah amat sedikit.

Kami pernah bersekolah di sekolah kebangsaan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan belajar dalam suasana yang harmoni kira-kira 20 tahun lalu. Namun, apakah racun dan tuba yang sudah meresapi jiwa mereka? Mereka begitu tegar menolak calon MCA dan calon UMNO yang mewakili BN.

Orang Melayu sudah terbakar hatinya. Anak-anak muda yang menyaksikan sikap perkauman penyokong DAP kelihatan membara dengan semangat perjuangan.

Orang Melayu kecewa kerana madu dibalas tuba. Sikap sederhana, seimbang (wasatiyah) dan toleransi kita dibalas dengan api perkauman yang menebal.

Semenjak itu, kami tidak lagi berucap dengan nada sederhana di depan anak-anak Melayu. Kami biarkan anak-anak muda meluahkan perasaan tidak puas hati mereka terhadap pembelotan kaum itu.

Sebagai pemimpin, kami tidak lagi mahu bersikap apologetik kerana anak-anak muda akan bingung dengan pemimpin Melayu yang tidak berani mempertahankan bangsa Melayu dan agama Islam.

Lebih seribu orang Melayu terutama anak muda berarak di seluruh bandar Kluang menaiki kenderaan dan motosikal diiringi panji-panji BN sepanjang 3 kilometer. Kita memberi ingatan kepada penyokong DAP bahawa orang Melayu juga ada had kesabarannya.

Di kiri kanan jalan raya, penyokong DAP mencemik muka, membuat isyarat lucah, meludah dan memekik ‘Melayu sampah’! Inilah ajaran DAP yang menyemai api perkauman dalam kalangan orang Cina.

Dalam perjumpaan dengan orang Melayu terutama anak-anak muda, kami ingatkan mereka bahawa ini adalah isyarat yang jelas bahawa penyokong DAP mahu tumbangkan kerajaan Melayu.

Insaflah bahawa DAP hanya mahu lebih banyak suara di Parlimen dan DUN untuk mereka boleh mendesak supaya agama Islam digugat, hak istimewa orang Melayu dilucutkan, sedangkan kitalah ‘Tuan’ di bumi bertuah ini.

Soalnya, bolehkah orang Melayu di negara besar China menuntut itu dan ini di negara besar mereka? Mungkin orang Melayu yang cuba berbuat demikian di negara China akan ditangkap dan dipenjarakan.

Kini, penyokong DAP di Malaysia rata-ratanya sudah kaya dan kukuh ekonominya. Namun demikian, yang mengayakan mereka adalah orang Melayu juga. Kerana kita membeli di kedai mereka tanpa ada sikap rasis dan cemburu. Kita berasakan mereka adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia yang berhak terhadap nikmat kemakmuran.

Tetapi penyokong DAP tidak berfikiran begitu. Bagi mereka, orang Melayu mesti dihapuskan kuasa politik mereka. Mereka cemburu kerana Perdana Menteri adalah orang Melayu. Mereka cemburu kerana kebanyakan Menteri adalah orang Melayu. Mereka cemburu kerana pelajar Melayu dibantu.

Mereka juga sakit hati kerana orang Melayu yang susah diberi perhatian, sedangkan kaum Cima yang layak turut beratur panjang ketika menerima pelbagai bantuan kerajaan.

Sesungguhnya, kerajaan BN sangat adil. Kita memberi bantuan kepada semua tanpa mengira kaum. Tetapi jika dalam sebuah kampung, terdapat 700 orang Melayu, 200 orang Cina dan 100 orang India, maka kerajaan perlu bersikap adil dan saksama. Kita tidak boleh bersikap sama rata.

Oleh itu, jika kerajaan ada peruntukan RM1,000 untuk dibelanjakan, sudah tentu kita akan beri RM700 untuk kaum Melayu, RM200 untuk kaum Cina dan RM100 untuk kaum India. Barulah setiap penduduk kampung tak kira sama ada Melayu, Cina atau India akan menerima RM1 seorang. Inilah adil dan saksama!

Jika prinsip pembangkang yang mahukan sama rata, kaum Melayu akan terima RM333.33, kaum Cina RM333.33 dan kaum India juga RM333.33.

Natijahnya, setiap penduduk kampung itu akan menerima jumlah yang berbeza. Setiap penduduk Cina akan terima RM1.60, India terima RM3.30 manakala orang Melayu akan menerima hanya 40 sen seorang. Prinsip sama rata ini akan menyebabkan yang kaya bertambah kaya dan yang miskin terus papa kedana!

Namun, inilah realiti penyokong DAP sekarang. Biarlah berjuta ringgit pun kerajaan dan orang Melayu berhabis untuk mereka, mereka tidak akan puas.

Mereka akan hanya puas jika mereka dapat menumbangkan kerajaan Melayu. Mereka enggan menyokong calon Cina daripada MCA atau Gerakan kerana golongan ini adalah golongan sederhana yang hormat kepada orang Melayu.

Sahabat-sahabat kita dari MCA dan Gerakan tidak boleh dipaksa mengikut telunjuk jari golongan pelampau Cina kerana mereka sedar akan realiti sejarah.

Sejarah menunjukkan orang Melayu sangat berjiwa besar dan berbesar hati menerima orang Cina sebagai rakyat negara ini. Mereka sedar bahawa selama ini formula BN yang menjamin keselamatan dan kepentingan orang Cina.

Apabila orang Melayu membentuk kerajaan, kita akan bersikap ihsan. Kerana agama kita mengajar kita bersikap ihsan kepada setiap makhluk Allah walaupun berbeza agama. Perjanjian Hudaibiyah di zaman Rasulullah SAW juga melindungi kaum kafir selagi mana mereka tidak mengancam agama kita.

Malah, kita orang Islam juga diseru supaya berbuat baik kepada sesiapa sahaja walaupun seekor anjing kurap yang menjadi najis besar kepada kita. Justeru, kita tidak pernah enggan bersalam dengan orang Cina yang membela anjing di rumah mereka.

Beginilah tingginya akhlak orang Melayu yang berteraskan agama Islam.

Inilah sikap orang Melayu apabila diberi kuasa pemerintahan. Kita akan bersikap adil dan saksama tanpa mengira kaum.

Walau bagaimanapun, kita puji dengan sikap dan ketegasan orang Melayu. Walaupun ada yang sudah kaya raya, bekerja sebagai profesional, tetapi masih mengundi untuk BN.

Hanya segelintir kelas pertengahan Melayu yang baru mengecap kaya mulai bersikap liberal dan mahu cuba menukar selera. Kini harap mereka insaf dan bertaubat kerana mengkhianati nenek moyang kita.

Sebilangan besar orang Melayu masih yakin bahawa UMNO yang mewakili kita mampu melindungi nasib anak cucu kita.

Kita sedar bahawa saudara mara dan jiran tetangga kita masih memerlukan kerajaan Melayu yang kuat untuk terus membela masa depan mereka.

Kita memerlukan wakil rakyat yang dekat di hati, yang menyantuni keperluan orang Melayu ketika berhadapan dengan kesusahan. Orang Melayu memerlukan wakil rakyat daripada BN untuk menyampaikan suara mereka kepada pucuk pimpinan negara.

Kita mahukan anak-anak kita mendapat pelajaran yang sempurna, buku teks pinjaman dan biasiswa untuk menampung persekolahan. Orang Melayu juga perlukan wakil BN untuk mendapatkan peruntukan membaiki masjid dan surau supaya kita selesa beribadat.

Namun demikian, orang Cina tidak perlukan wakil BN yang membuat semua khidmat ini. Mereka sudah kaya raya, menjadi peniaga dan bekerja di tempat-tempat ternama.

Orang Cina yang belot ini memilih wakil DAP kerana mereka tidak perlukan wakil rakyat daripada anak tempatan. Penyokong DAP seperti ini juga tidak pedulikan wakil rakyat yang menyokong persekolahan anak-anak mereka kerana mereka mampu menyara sendiri hasil perniagaan yang disumbangkan oleh orang Melayu.

Lagipun, mereka ada dewan perniagaan Cina yang boleh membina sekolah-sekolah swasta untuk terus menyemai semangat perkauman.

Sebab itu, Lim Kit Siang boleh menang di Gelang Patah menewaskan mantan Menteri Besar Johor. Kerana apa? Kerana penyokong DAP menolak orang Melayu menjadi pemimpin mereka. Datuk Ghani Othman yang melindungi orang Cina selama 18 tahun ditolak mentah-mentah dengan majoriti hampir 15,000 undi!

Di Kluang juga begitu, penyokong DAP memilih calon yang dibawa dari Bukit Bendera, Pulau Pinang. Emosi apakah yang dimainkan oleh DAP sehingga berjaya memujuk orang Cina Kluang membuang calon BN iaitu Dr. Hou Kok Chung yang ketika bertanding adalah masih seorang Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Begitu juga dengan pimpinan MCA yang lain seperti Senator Gan Ping Sieu yang mesra dengan anak muda Kluang, sesuai dengan kedudukannya sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Kita ada dua timbalan menteri daripada masyarakat Cina di Kluang, tetapi penyokong DAP tetap menolak bulat-bulat pengiktirafan yang diberi kerajaan BN.

Justeru, kita mahu Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Besar bertegas kali ini. Mereka tidak lagi perlukan suara Cina dalam Kabinet dan Exco negeri didengari melalui MCA atau Gerakan.

Mereka hanya mahukan wakil rakyat Cina yang boleh bersuara lantang dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Jika mereka ada masalah berkaitan pelajaran atau perniagaan, biarkan mereka merujuk kepada pemimpin-pemimpin DAP. Kita mahu lihat sama ada mereka mampu menyelesaikan masalah rakyat atau sekadar menyalak di Parlimen dengan api perkauman.

Namun demikian, orang Melayu usah berpatah hati. Seperti mana lagu Warisan, air mata orang Melayu kini bercampur darah dan keringat. Bumi dipijak seolah-olah milik orang lain.

Kita wajib bangkit meneruskan jihad supaya negara ini terus ditadbir oleh pemerintah Melayu yang adil dan berwibawa.

Usah gentar dilabel ultra Melayu, kerana mereka yang terlebih dahulu yang memainkan emosi perkauman. Usah bimbang dianggap jaguh Melayu, kerana mereka terlebih dahulu belot dengan semangat setiakawan kita.

Kita perlu terlebih dahulu menjadi juara kepada bangsa kita sebelum kita boleh menjadi ihsan kepada kaum lain. Hanya apabila keadaan agama dan bangsa kita selesa, barulah fikiran kita tenteram untuk meluaskan khidmat kepada masyarakat berbilang kaum.

Kita mesti buktikan kepada penyokong DAP bahawa kita bukanlah sampah seperti yang disorak setiap kali perhimpunan mereka, tetapi kita adalah bangsa Melayu yang bermaruah! Kepada Allah kita berserah!

DATUK KHAIRUL ANWAR RAHMAT
Ialah peguam, aktivis masyarakat dan pemimpin peringkat akar umbi.


2 comments:

Anonymous said...

saya kira utk menyatukan umat islam & melayu di negara ini, umno & pas harus melihat kepada satu titik persamaan iaitu tidak lain dan tidak bukan ialah Islam

di samping itu juga, saya amat berharap agar umno di semua peringkat dapat MEMBERSIHKAN imej & reputasi parti yg tercalar sehingga ke peringkat akar umbi

Di tempat saya sendiri misalnya, perbezaan ideologi berlaku kerana ramai melayu yg kecewa dgn tindakan ketua bahagian yg bukan saja tidak menyumbang kpd masyarakat melayu setempat malah menidakkan penyertaan anak muda ke dalam umno dgn melakukan pelbagai sabotaj. Malah tindakan beliau juga seolah2 memberi kredit kpd DAP yg berkuasa di situ sejak sekian lama

--anakPusing@BatuGajah

Anonymous said...

Umno banyak rasuah. Mi Maggie RM0.80 boleh dbeli dengan harga RM35, macam mana kita nak maju kalau terus sokong Umno. Jom sokong PAS.