Geng Bas Sekolah

April 5, 2013

Jeti Marina Tarik Pengunjung Seluruh Dunia


Jeti Marina berdekatan tapak Eye On Malaysia dekat sini yang pernah didakwa sebagai projek ‘gajah putih’ oleh pembangkang ternyata bukan pelaburan yang sia-sia.

Sebaliknya, bermula hari ini jeti berkenaan bakal menjadi pelabuhan untuk menurunkan 1,200 penumpang kapal pelayaran mewah Superstar Virgo

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Latiff Tamby Chik berkata, pengurusan Superstar Virgo memasukkan lawatan ke negeri itu sebagai sebahagian daripada pakej pelayaran dari Singapura ke Melaka.

Kapal berkenaan akan berlabuh sebanyak dua kali sebulan di jeti berkenaan bagi memberi peluang kepada penumpang-penumpangnya menghabiskan masa melawat kota Melaka.

Menurut Latiff, persinggahan kapal mewah itu ke Melaka sehingga April tahun depan secara tidak langsung meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini.

Melaka menyasarkan kedatangan pelancong pada tahun ini mencapai angka 14.5 juta berbanding 13.7 juta tahun lalu.

“Ini membuktikan dakwaan pembangkang dalam ceramah mereka mengatakan jeti Marina sebagai projek ‘gajah putih’ tidak benar," tegas Latiff.

Setiap kali singgah di jeti Marina, kira-kira 1,200 penumpang akan dibawa ke darat dengan feri dan bot pengangkut penumpang yang disediakan di samping 30 buah bas untuk membawa pelancong dari seluruh dunia melawat kawasan tarikan pelancongan.

Kesemua penumpang kapal itu yang singgah dalam pelayaran dari Singapura itu diberi sambutan meriah oleh kakitangan Bahagian Promosi Pelancongan (BBP) Melaka, Tourism Malaysia Melaka, Persatuan Pelancongan dalam Malaysia (MITA) dan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Melaka.

Latiff berkata, setiap seorang pelancong kapal pelayaran mewah itu dijangka berbelanja RM500 seorang sepanjang lapan jam berada di negeri ini.

Jumlah keseluruhan mereka dijangka berbelanja sekurang-kurangnya RM600,000 sehari.

“Ini secara tidak langsung memberi pulangan lumayan kepada pemilik bas, teksi, peniaga-peniaga di sekitar kawasan produk pelancongan di sekitar Banda Hilir untuk mendapat limpahan daripada kedatangan pelancong dari kapal mewah Superstar Virgo," ujar Latiff lagi.

Beliau turut memberitahu, kebanyakan penumpang kapal berkenaan terdiri daripada pelancong dari Jepun, India, Indonesia, Singapura, Taiwan, China, Hong Kong, Eropah dan Jepun.

Sementara itu William berkata, sejak pakej lawatan ke Melaka dimasukkan kepada penumpang yang menaiki kapal mewah itu, ia mendapat sambutan hangat.

Menurutnya, kapal itu yang boleh memuatkan 2,400 penumpang dan 1,000 krew akan berlabuh dua kali sebulan di jeti Marina dan penumpang akan dibawa untuk melawat sekitar bandar raya Melaka selama lapan jam.

“Kita merancang pada masa depan untuk memasukkan pakej bermalam di negeri ini pula berbanding sekarang sekadar persinggahan lapan jam sahaja di Melaka".

No comments: